Jemaah haji sedang menyelesaikan ibadat haji mereka. Hampir 3 juta umat Islam setiap tahun menunaikan ibadat haji. Usai kerja haji mereka dan pulang ke tanahair, diucapkan kepada mereka: ‘Moga haji anda mabrur.’ Doa itu baik. Sebagaimana doa yang diucap di waktu yang lain ‘Taqabbalallahu minkum‘ (Moga Allah terima amalan kamu).
Tapi adakah haji dan amalan itu sebenar-benarnya diterima Allah? Terima tak terima hanya diketahui oleh Allah dan Dia membalasnya. Tapi tanda terima itu ada. Solat yang sebenar boleh mencegah perkara keji dan munkar. Puasa yang sebenar boleh menghasilkan taqwa. Haji yang BERSIH boleh menjadi mabrur.
Di antara tanda haji mabrur, ia berubah menjadi lebih baik. Dari tak menutup aurat kepada menutup aurat. Dari menentang perjuangan Islam kepada menyokong perjuangan Islam. Dari menggunakan seni untuk fasiq kepada menggunakan seni sebagai wasilah dakwah. Dari sekat royalti kepada beri royalti. Dari boros kepada jimat. Dari beramal dengan rasuah kepada membanteras rasuah. Pendekata dari segala sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Dari jiwa yang kotor kepada jiwa yang BERSIH.
Apakah perkara yang menghalang mabrurnya haji? Dalam hadis, Nabi menyebutkan tentang perkara fasiq dan berbalah yang menghalang mabrurnya haji. Dalam hadis lain, Nabi menyebutkan tentang seorang yang punca rezekinya dari perkara haram sehingga doanya tidak diterima. Bukankah dalam ibadat haji penuh dengan doa? Mulai doa musafir ke Mekah hingga doa kembali dari musafir. Buku doa Tabung Haji pun tak lekang dari tangan.
Sumber pendapatan yang haram juga boleh menghalang dari mabrurnya haji. Rasuah, tipu angka, tipu orang, tipu rakyat, rompak harta awam (syarikat, agensi, negara), samun harta jemaah haji secara terhormat (contohnya BEDAL haji bukannya BADAL haji), hasil dari judi, Toto, 4D, rezeki dari riba, hasil seni yang haram dan pelbagai sumber yang kemudiannya digunakan untuk ke tanah suci menghalang mabrurnya haji.
Haji mabrur besar pahalanya.Pahala yang besar tidak diberikan melainkan kepada mereka yang layak menerimanya. Mereka yang layak menerimanya tentunya mereka yan g bersedia tunduk kepada Allah, bukan sahaja di hadapan Kaabah tetapi dalam setiap aspek kehidupan seperti yang ditunjukkkan oleh Nabi Ibrahim.
Pergi ke tanah suci, belum bererti jiwa suci. Menuju ke tanah suci, belum bererti sumber rezeki menujunya suci. Selesai menunaikan haji dan mendapat title haji, tidak bermakna mabrurnya haji. Kalau nak tengok hajinya mabrur, tengok sikap si HAJI/ HAJJAH itu, makin baik dan berubahkah ia sekembalinya dari Mekah?"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan