IKLAN

Memaparkan catatan dengan label Kisah Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Melayu. Papar semua catatan

Rabu, 28 Ogos 2013

Cara Orang Melayu Dahulu Beraya?

Menjelang Hari Raya Aidilfitri kali ini aku ada terbaca info pasal cara orang Melayu dahulukala menyambut hari raya. Tida aku ketahui ianya benar atau tidak. tetapi mungkin dapat kita menambahkan sedikit pengetahun kita lagi.
SEBELUM kedatangan sebarang agama ke Alam Melayu, penduduk di rantau ini seperti juga di lain-lain tempat di Asia Tenggara menganut kepercayaan alam roh, maknanya semua benda dipercayai ada roh, pokok, binatang dan lain-lain.
 
 
Maka roh paling utama ialah pada padi. Tanpa beras, orang Melayu akan mati.
 
Justeru perayaan paling besar tentunya ketika menyambut hari menuai padi. Seperti mana hari perayaan pribumi Sarawak, Sabah dan Orang Asli, maka begitu jugalah apa yang dilakukan oleh orang Melayu dan semua kaum di Nusantara.
 
Dipanggil sambutan ini sebagai Hari Raya kerana ia merujuk kepada kebesaran sesuatu perayaan. Ia merupakan hari meraikan atau merayakan kejayaan penanaman padi. Tetapi cara hidup orang Melayu kemudian berubah apabila mereka bukan saja menjadi masyarakat petani tetapi juga menjadi bangsa berdagang. Mereka mampu membina kapal-kapal besar untuk berlayar. Menjadi bangsa maritim bermula dengan keupayaan orang Melayu mewujudkan kerajaan di pesisiran pantai dan kuala sungai. Mereka membina pelabuhan bagi menarik kunjungan kapal-kapal dagang dari China, India, Parsi dan Arab.
 
Di sinilah munculnya kerajaan Sri Wijaya. Daripada kunjungan kapal-kapal ini, maka agama Hindu pun bertapak di alam Melayu. Sebagai bangsa maritim, orang Melayu sudah tidak lagi menyambut hari menuai sebagai hari kebesarannya yang utama. Dengan beragama Hindu, orang Melayu turut menyambut hari Perayaan Cahaya mengatasi Kegelapan. Dalam sambutan Diwali atau Deepavali, lampu-lampu dipasang di keliling rumah. Suatu amalan Hari Raya yang kini sudah menjadi sebahagian daripada budaya Melayu.
 
Merantau
Orang Melayu kuat merantau. mereka berlayar di sekitar kepulauan Melayu. Walaupun terdiri daripada banyak kerajaan, tetapi Nusantara adalah Dunia Melayu.
 
Maka setiap Hari Raya, mereka akan balik ke kampung halaman seboleh mungkin untuk menemui ibu, bapa dan sanak saudara. Amalan balik kampung menjadi suatu kemestian semasa Hari Raya kini terus diamalkan oleh orang Melayu.
 
Tetapi menarik untuk mengetahui bagaimanakah orang Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika mula memeluk agama Islam.
 
Cuba bayangkan bagaimana orang Melayu zaman kesultanan Melaka menyambut Hari Raya. Lebih-lebih lagi pada tahun pertama mereka memeluk Islam. Tentu sukar bagi istana Melaka, apatah lagi rakyatnya berpuasa.
 
Bagaimanakah pihak istana membuat keputusan untuk menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai Hari Raya bagi orang Melayu? Mengapa mereka memilih Hari Raya Puasa dan bukannya Hari Raya Haji?
Dalam ibadat, dikatakan orang Melayu lebih menekankan tentang puasa berbanding ibadat lain. Pendakwah berjaya meyakinkan keseluruhan masyarakat Melayu supaya berpuasa, bertarawih dan mengharapkan Lailatul Qadar. Maka Hari Raya menjadi begitu bermakna bagi orang Melayu dengan dikaitkan dengan kejayaan beribadat puasa.
 
Pada Hari Raya pula, ulama Melayu dahulu membuat keputusan untuk mengambil takbir raya yang bernada syahdu. Ini kerana di lain-lain tempat, takbir mereka bernada semangat juang. Ini kerana takbir itu berasal daripada laungan semasa Perang Badar, yang kemudian diabadikan dalam sambutan meraikan kemenangan perang itu.
 
Tetapi bagi orang Melayu di Nusantara, nada takbir adalah berbentuk sayu dan sedih mengenangkan sanak saudara yang sudah tiada atau pergi tidak kembali. Ini kerana bagi masyarakat Melayu, balik kampung waktu Hari Raya adalah penting. Jika tidak dapat balik, maka si ibu atau bapa akan teringatkan anaknya terutama semasa takbir yang bernada sedih dan sayu.
 
Sumber : http://www.budakladang.com/
 

Rabu, 1 Februari 2012

Sejarah Kuala Lumpur Menurut Hj. Abdullah Hukum


Sumber gambar-malaysiatravelblog


Ketika meneliti keratan-keratan akhbar lama, saya menemui suatu rencana yang ditulis oleh Adnan Hj. Mohd Nawang tentang sejarah Kuala Lumpur. Rencana ini rasanya ditulis sekitar tahun 80-an atau awal 90an di akhbar Berita Harian. Agak menarik kerana rencana ini ditulis berdasarkan pengamatan seorang tokoh yang pernah tinggal lama di Kuala Lumpur. Tokoh tersebut ialah Hj. Abdullah Hukum iaitu ketua masyarakat Kuala Lumpur pada zaman Sultan Abdul Samad. Jika dibaca rencana ini, anda akan dapat melihat bahawa penjajahlah yang bertanggungjawab meminggirkan bangsa melayu daripada arus pembangunan di Kuala Lumpur. Penjajah jugalah yang memberi ruang yang luas kepada para imigran untuk menjadi kaya raya di Kuala Lumpur. Bacalah dengan teliti dan rasai sendiri peranan penjajah tersebut:


Hj. Abdullah Hukum

Apabila Haji Abdullah Hukum mula-mula sampai di Kuala Lumpur, beliau menumpang tinggal di rumah Haji Abdul Ghani, orang Air Bangis yang berkedai di suatu Lorong yang kemudiannya dikenali sebagai Java Street. Selain itu pekan Kuala Lumpur hanya mempunyai satu lorong lain, iaitu dikenali kemudiannya sebagai Market Street; ketika itu Ampang Street (Lorong Ceti) belum muncul lagi. Di kawasan ini ada kolam-kolam ikan yang dimiliki oleh Sutan Puasa. Beliau bersama Raja Bilah ialah pembesar bagi masyarakat Kuala Lumpur ketika itu. Mereka mengutip hasil dagangan yang lalulintas melalui Sungai Klang atau Sungai Gombak. Cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul).

Di tahun 1850-an rumah kedai di Kuala Lumpur beratap bertam, dinding pelupuh (buluh) dan orang yang berniaga di situ seperti menjual kain-kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu keturunan Rawa dan Mendahiling.

Jalan keluar masuk Kuala Lumpur ialah menggunakan perahu atau berjalan kaki. Perahu dagang mengambil masa di antara 10-15 hari bergalah dari Klang untuk sampai ke Kuala Lumpur, kalau airnya dalam boleh sampai dalam tiga hari.

Bermula dari 1856, penduduk Kuala Lumpur menjadi semakin bertambah. Pembesar-pembesar Melayu mula menggunakan ramai pekerja Cina untuk membuka kawasan lombong di sekitar Kuala Lumpur, terutamanya di Ampang. Akibatnya orang Cina juga mula terbabit dalam perniagaan. Yap Ah Loy, Kapitan Cina (1869-1885) memiliki kira-kira separuh daripada rumah kedai di Kuala Lumpur.

Sehingga awal 1880-an hanya 70 daripada 220 rumah kedai berada di tangan orang Melayu. Menurut Haji Abdullah Hukum, orang Melayu yang kaya pada masa itu kebanyakannya ialah orang Minangkabau seperti Haji Abdul Samad, Haji Abdul Majid Panjang, Haji Abdul Samad Panjang, Haji Abdul Samad Kecil, Haji Muhamad Ali, Haji Osman, Haji Zainal Abdidin, Hajah Fatimah, Haji Abdullah Panjang, Hashim, Baginda Kaya Haji Arshad dan Datuk Maharaja.



Orang Mendahiling pula ialah Sutan Puasa, orang Kerinci ialah Haji Arshad, orang Melaka ialah Datuk Abdullah, orang Pulau Pinang ialah Che Din, orang Acheh ialah Haji Salleh dan seorang dari Linggi serta Che Soh dari Terengganu.

Selain peniaga ada juga orang Melayu yang membuka beberapa kawasan penempatan dan kebun di Kuala Lumpur. Antaranya ialah di Setapak yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Tapak, di Pudu, Bukit Nenas, Petaling, Batu dan di Sungai Putih (Jalan Bangsar).

Antara tanaman penduduk Melayu di tempat-tempat ini ialah padi, sayuran-sayuran, tebu, pisang, sirih dan pokok cepat berbuah. Tanaman kontan yang disukai oleh orang Melayu yang menerokai pembukaan Kuala Lumpur ini ialah kopi dan lada hitam.


Setapak (dulu Hulu Sungai Tapak) dan Air Panas (dulunya Hulu Gombak) adalah kawasan sawah padi milik Sutan Puasa. Beliau pernah mengambil upah membuat tali air selama tiga tahun di Serambut (Batu Lima Gombak sekarang). Ketika itu, Sutan Puasa adalah ketua yang disenangi penduduk tempatan kerana semua orang boleh mengerjakan sawahnya dengan kadar upahan sepuluh gantang padi daripada setiap seratus gantang. 

Abdullah Hukum juga pernah pergi menghadap Raja Laut (Putera Raja Muhamad) kerana ingin meminta sebidang tanah untuk dijadikan kampung baru. Raja Laut memberikan surat kebenaran untuk membuka tanah di Pudu dan menjadi ketua penduduk di situ. Ada ramai orang Kerinchi mengikutnya dan tinggal di Pudu (di kawasan Bukit Bintang sekarang).

Di sana, Abdullah Hukum dan pengikutnya menjalankan aktiviti menanam sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih dan bersawah padi. Abdullah Hukum menjadi Ketua Kampung di Pudu selama tujuh tahun. Dikatakan juga beliau pernah menjadi nakhoda yang mengambil upah membawa beras dengan perahu dari Klang ke Kuala Lumpur. Dia mendapat upah empat puluh ringgit untuk sekoyan guni beras.

Selepas membuka kawasan Pudu, Abdullah Hukum mendapat surat kebenaran daripada Raja Mahmud (Putera Sultan Muhamad) untuk membuka kebun di Bukit Nanas. Beliau juga mendapat surat kebenaran daripada Maxwell dan Raja Laut membuka Sungai Putih (kawasan Jalan Bangsar sekarang).

Ketika tinggal di Sungai Putih, Abdullah Hukum membuka Bukit Candi Putra (kini Bukit Putera) yang menempatkan Kompleks Angkasapuri dan Kampung Kerinchi). Abdullah Hukum diangkat menjadi Ketua Kampung di Sungai Putih dengan persetujuan Penghulu dan Datuk Dagang. Selepas dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kampung dan Penghulu, Abdullah Hukum menghentikan perniagaan kerbau kerana beban tugas semakin bertambah.

Ketika beliau menjadi Penghulu inilah Abdullah Hukum cuba menyatukan tiga kaum utama di situ, Melayu, Cina dan India. Sebagai menghargai kejayaannya itu, dia menamakan jalan utama di situ sebagai Jalan Bangsa,sempena penyatuan ketiga-tiga kaum. Bangsa kemudian bertukar menjadi Bangsar.


Disebabkan penduduk Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur ketika itu agak ramai, maka didirikan juga dua buah masjid. Yang pertama didirikan oleh Encik Baki, orang Melaka yang juga bapa mertua kepada Haji Abdullah Hukum. Ini dinamakan Masjid Melaka kerana ia didirikan atas pakatan orang Melaka dan tukang dan pegawainya juga dari Melaka.


Tempat masjid itu ialah Kampung Melaka (Batu Lane kemudiannya), tetapi masjid itu akhirnya diambil alih oleh masyarakat India Muslim dan sejak itu dikenali sebagai Masjid Keling atau Masjid Chulia. Pada peringkat ini, orang Minangkabau juga mendirikan sebuah masjid lain, iaitu berbetulan dengan gedung Gian Singh pada 1930-an.

Disebabkan adanya dua masjid bagi masyarakat Melayu Kuala Lumpur, telah menjadi perselisihan kerana masing-masing hendak mendirikan Jumaat. Ini hampir menimbulkan perkelahian besar, tetapi dengan campur tangan Sultan Abdul Samad, sembahyang Jumaat diadakan secara bergilir-gilir.

Sejak Kuala Lumpur dibuka hingga 1890-an, Bukit Nanas adalah pusat kuasa bagi masyarakat Melayu kerana wakil Sultan menetap di situ. Jika ada sebarang keramaian tradisional seperti perlantikan ketua pembesar masyarakat Melayu, maka ia diadakan di Bukit Nanas. Menurut Haji Abdullah Hukum, sempena dengan perlantikan Tuk Alam Setapak, Tuk Bela Sungai Cantik, Imam Perahg Muhammad Arif, Raja Utih dan Tuk Dagang Dianjak, (Haji Abdullah Hukum sendiri), satu keramaian selama tujuh hari tujuh malam diadakan menurut adat keramaian zaman dahulu. Menurutnya lagi,

Gelanggang judi pun dibuka setiap hari Jangan disebut sabung dan gelanggang Pencak silat berbagai-bagai rupa dan gaya Serta berpuluh-puluh ekor kerbau tumbang Dan orang-orang yang dilantik itu diarak Ke hadapan Yang Maha Mulia Sultan

Sungguhpun Kuala Lumpur menjadi semakin maju dan berkembang pesat selepas campur tangan British pada 1874, penduduk Melayu yang berjaya mengongsi kemajuan awal Kuala Lumpur sejak 1850-an itu sudah mula tersisih daripada arus pembangunannya pada akhir kurun ke-19. Beberapa alamat perkembangan ini dapat dilihat daripada perpindahan masyarakat Melayu dari pusat bandar Kuala Lumpur untuk membuka perkampungan baru di pinggir kota; maka berakhirnya pemilikan Masjid Melaka oleh orang Melayu Melaka; penutupan perkuburan Islam (Melayu) di kuala antara Sungai Gombak dengan Sungai Klang; terbentuknya Kampung Baru, Kuala Lumpur atas usaha pentadbiran British untuk melihat masyarakat Melayu berterusan berada di sekitar bandar Kuala Lumpur. Mereka berada dalam dunia mereka yang tersendiri, iaitu dibuai nostalgia hidup dalam alam perkampungan yang aman damai.

Haji Abdullah Hukum telah menyaksikan bagaimana Kuala Lumpur berkembang dan disebabkan ia terbabit secara langsung dan tidak lansung dengan kemajuan yang beriaku itu, sudah tentu ia dapat merasai akan proses perubahan yang berlaku di sekitarnya. Ia telah melihat betapa fungsi pembesar Melayu menjadi semakin merosot; kekuasaan British semakin teguh dan meluas bukan saja di Kuala Lumpur, tetapi di seluruh Tanah Melayu dan melihat juga betapa golongan, imigran seperti ketua orang Cina, iaitu Liu Ngim Kong (yang dikatakan oleh Haji Abdullah Hukum bernama Kaptan Keledek, nama Asli) yang menjadi Kapitan Cina kedua Kuala Lumpur dan Yap Ah Loy, kapitan Cina ketiga serta Loke Yew, Loke Chow Kit dan sebagainya menjadi kaya raya.

Golongan imigran Cina, walaupun pada awalnya mereka hanya menjadi pekerja kepada pembesar Melayu dan ada yang mendapat gelaran Seri Indera Perkasa Wijaya Bakti dari raja Melayu seperti Yap Ah Loy, mereka sebenarnya lebih bergantung kepada kuasa kerajaan kolonial British. Apabila harga bijih melambung dan pembukaan ladang getah meningkat serta pembinaan irifrastruktur berkembang, mereka banyak menerima faedah daripadanya. Oleh itu tidak hairanlah kenapa golongan ini dapat menguasai kekayaan bumi Selangor bermula dari 1870-an lagi.

Satu persepsi Haji Abdullah Hukum yang boleh dianggap sebagai bayangan kepada perkembangan Kuala Lumpur dan nasib yang menimpa bangsa Melayu dapat dilihat daripada catatan pengalamannya apabila beliau menziarahi ketua kampung halaman-nya di Kerinchi, Sumatera. Beliau singgah di suatu tempat, iaitu Tapan. Kebetulannya pada hari itu ia-lah Hari Balai Situ (hari perhimpunan pekan), katanya:

“...Maka saya pun berjalan-jalan melihat pekan itu. Saya dapati beribu-ribu manusia berjual beli semuanya bangsa Melayu daripada berbagai-bagai bangsa. Di situ saya lihat segala perniagaan dan pertukangan dipegang oleh orang Melayu semata-mata. Tukang-tukang besi, tukang ayan, tukang tembaga malah tukang pangkis (tukang cukur) pun Melayu belaka. Serba rupa kain-kain boleh didapati semuanya tenunan orang-orang Melayu. Begitu pula hidup-hidupan seperti kerbau, kambing ayam, itik dijual orang Melayu belaka. Pendeknya pada pendapat saya pekan itu bukan sahaja ahli penjual dan pembeli di situ semuanya Melayu tetapi ialah jua warna dan baunya semua Melayu.” 

Begitu persepsi Haji Abdullah Hukum pada Disember 1929, iaitu setelah tinggal di Selangor selama 79 tahun.



Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 1898, Abdullah Hukum menumpukan baktinya kepada putera baginda, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Abdullah Hukum pulang ke Sumatera pada 1929, selepas menjadi ketua kampung selama tujuh atau lapan tahun. Menurut cerita, beliau meninggal dunia pada usia 125 tahun.




Gambar ini diambil pada 16/03/1935, sempena sambutan ulang tahun yang ke seratus usia Hj. Abdullah Hukum atau Datuk Dagang Dianjuk atau Arya Jaya . Lihat pada tulisan jawi yang tertera pada gambar di atas. Rumah yang menjadi latarbelakang gambar ini, merupakan rumah Hj Abdullah Hukum di Kampong Hj Abdullah Hukum. Rumah ini masih wujud lagi pada masa ini. Untuk pengetahuan, yang duduk ditengah-tengah sambil memegang tombak (salah satu senjata yang pernah digunakan dalam perang Selangor) itulah Hj. Abdullah Hukum pada usia ke 100 tahun.

Haji Mahmud, seorang daripada enam anaknya mengambil tugas ketua kampung selepas bapanya mengundur diri. Cucunya, Kamaruddin Mahmud mewarisi pusaka kampung ini hingga sekarang, dan kesan peninggalan termasuklah sebuah rumah milik Abdullah Hukum masih ada di kampung Abdullah Hukum.



Gambar Terbaru Rumah Haji Abdullah Hukum
sumbangan Yatie

Kini, Kampung Abdullah Hukum terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur sudah jauh berubah. Harga tanah dan rumah kediaman di situ melambung berpuluh kali ganda. Sudah tidak ada orang yang bersawah padi atau berkebun sayur di situ lagi. Sungai Klang yang menjadi terusan di Kampung Haji Abdullah Hukum sekarang bukanlah aliran sungai yang asal. Sungai ini dulunya melingkari bahagian Jalan Syed Putra yang kini menjadi tapak pusat beli-belah Mid Valley.



Selasa, 22 November 2011

Fakta Penting Tentang Bangsa Melayu Yang Telah Dilupakan.



* Dalam tahun 1879 Parlimen Hawaii di Honolulu telah membincangkan kemungkinan penyatuan Dunia Melayu-Polinesia yang luas.

* Sembilan tahun selepasnya (1898) Apolinario Mabini di Manila mencadangkan“Federation Malaya” dengan gagasan yang sama.

* Muncul di Filipina ialah wiranya yang terbilang, Jose Rizal yang diberi nama jolokan“The Pride of the Malay Race” atau “The Great Malayan”.

* Berikutan ialah peranan Wancelao Vinzons yang menyampaikan pidato bersejarah“Malaysia Irredenta” yang memaparkan mimpi penyatuan seluruh bangsa Melayu - Polinesia. Waktu itu beliau berusia 22 tahun dan seorang pemuja Rizal. Beliau selanjutnya mengarang buku mengenai “History and civilization of Southeast Asian countries belonging to the Malay race”.

Di samping itu di Indonesia ialah peranan Muhammad Yamin, berasal dari Talawi. sebuah kampung kecil di Sumatera Barat.

Menurutnya “Selat Melaka ialah corong kepulauan kita, Malaya ialah batang leher kepulauan Indonesia daerah yang delapan. Menceraikan Malaya dari Indonesia dalam perhubungan internasional”.

Keagamaan

Pada peringkat akhir syarahan perdananya Ismail Hussein menyebut: Dunia Melayu ini penuh keragaman dari segi keagamaan, kebudayaan, kesenian serta adat resam, tetapi di bawah keragamannya itu selalu terasa ada kesatuan yang mengikutnya”.

Dalam kertas kerjanya pula berjudul The Study of Malay Literature, Ismail Hussein menyebut mengenai kira-kira 2,000 manuskrip asli Melayu dihantar ke Eropahkebanyakannya untuk perpustakaan-perpustakaan Inggeris dan Belanda.

Lanjutan kisah ialah karya berjudul Malay, World Language of the Ages oleh Profesor James T. Collins, yang mengkaji bahasa dan pelbagai loghat Melayu di seluruh Asia Tenggara.

Beliau menyebut antara lain mengenai kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15 memeluk agama Islam. Ketika itu Melaka mempunyai kira-kira 200,000 penduduk dan berupa kota terbesar di Asia Tenggara. Kerana kaitan dengan Islam, tulisan Jawi menjadi bahan utama penulisan Melayu.

Pada 10 Ogos 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis yang kemudian meranapkan masjid-masjid serta istana-istana untuk mengubah segalanya. Namun, pada tahun 1522 kamus Melayu terbit hasil usaha seorang peniaga bangsa Itali, bernama Antonio Pigafetta. Antara contoh kata-kata:

Melayu 1522, Apenomaito?, Tida tahoSudah Macan,

Melayu 1996, Apa nama tu?, Tidak tahu, Sudah makan?,

Melayu 1534, Baparim de Pungor, Ange’ dia malu, Sita pa tau dor,

Melayu 1996, Berperang di Punggur, Nggak dia malu, Setapak tak undur.

Juga catat ialah surat tulisan Jawi dari Sultan Brunei pada tahun 1599 kepada Gabenor Manila setelah diserang oleh tentera Sepanyol. Surat tersebut masih disimpan di Sepanyol.

Mendapat perhatian ialah peranan seorang Paderi Kristian, Francisco Javier di Melaka setiba pada tahun 1545. Beliau mempelajari bahasa Melayu hingga boleh menterjemah ayat-ayat sembahyang penganut Katolik. Beliau mengadakan pelajaran-pelajaran agama Kristian dalam bahasa Melayu.

Pada tahun 1632, bahasa Melayu digunakan dalam mahkamah-mahkamah pemerintahan Belanda di Ambon. Seorang bangsa Maluku beragama Kristian, Jan Paijs menjadi petugas mahkamah menulis kenyataan-kenyataan dalam bahasa Melayu tulisan rumi. Surat-surat berumur 364 tahun itu masih disimpan di negeri Belanda.

Bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca di Batavia semasa pemerintahan Belanda.( BUKAN BAHASA JAWA DAN BUKAN JUGA BAHASA INDONESIA)

Pada tahun 1856, suratkhabar bahasa Melayu terbit di Surabaya untuk keperluan ahli-ahli perniagaan. Menjelang akhir abad ke-19, akhbar-akhbar Jawi dan Rumi terbit dipelbagai tempat Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago).

Semasa tentera Jepun menyerang dan menewaskan bala tentera British di Malaya dulu, pegawai-pegawai tentera Jepun membawa kamus Malay-English susunan Wilkinson, tulisan Rumi.

Menurut Profesor Collins, sepanjang sejarah 1,300 tahun bahasa Melayu telah menerima kata-kata bahasa Arab, Sanskrit, Portugis dan Belanda.


Selasa, 25 Oktober 2011

Senjata Api MELAYU Yang Digelapkan Dalam Sejarah

Beribu-ribu tahun dahulu, di Lembah Bujang, terdapat satu peradaban yang makmur. Kota-kota yang besar dan istana-istana yang mengagumkan. Di satu kawasan, terdapat kilang-kilang membuat peralatan logam;kilang melebur besi.

Zaman berganti zaman, tahun berganti tahun, peperangan demi peperangan, hasad dengki, khianat, kekejaman dan penipuan menghiasi tabir. Jatuh dan bangun. Bina kembali peradaban. Berperang lagi…hancur semuanya….bangkit kembali membina empayar…perang saudara…kedatangan bangsa Eropah yang tamak….dijajah…dijajah…dijarah…

Bangkit kembali…tentang penjajah…akhirnya merdeka. Kemudian bina negara…bina peradaban kembali.Perlahan-lahan.

Anak-anak Melayu pun membuka buku sejarah. Apa yang dilihat mereka? Hulubalang Melayu memegang tombak. Panglima Melayu menghunus keris.Selak lagi..apa dilihat lagi? Tak cukup dengan itu , anak-anak zaman sekarang ini dihidangkan lagi dengan filem 'buta sejarah' seperti Puteri Gunung Ledang. Logikkah, tentera dari sebuah empayar yang kaya, pergi berperang memakai baju senipis tisu? Logikkah, pahlawan Melaka dahulu berperang memakai keris dan tombak sahaja? Setahu saya, zaman Arab Jahiliyah pun mempunyai pedang. Agaknya, inilah sebab mengapa filem berbajet RM 20 juta itu gagal meraih trofi ketika Festival Filem Malaysia.

Gambar lukisan raja Melayu di atas gajah, dengan askar-askar Melayu menentang penjajah Portugis menggunakan tombak dan keris. Bertembokkan pancang-pancang kayu dan batang pisang . Gambar askar Melayu mati ditembak istinggar musuh. Gambar rumah beratap rumbia musnah dibedil meriam. Selak lagi, gambar gabenor British bercekak pinggang dengan orang-orang Melayu berpakaian selekeh di satu sudut.

Selak lagi, selak lagi, gambar orang-orang Melayu pasca-penjajahan yang berimejkan selekeh, miskin dan nampak kurang berpendidikan. Membosankan. Bagaimana seorang berpendidikan seperti Menteri Kebudayaan, Tenaga dan Komunikasi boleh membiarkan sejarah tamadun bangsanya dipadamkan dari peta sejarah?

Dalam artikel ini, penulis akan mendedahkan realiti sebenar peperangan yang disertai orang-orang di Semenanjung mahupun di pulau-pulau Nusantara (Indonesia). Penulis akan mendedahkan betapa antara orang-orang Melayu pada masa dahulu pandai mencipta meriam dan menggunakan senjata api. Ini sekaligus menafikan anggapan popular ketika penjajahan dahulu “hendak buat sebatang jarum pun tak mampu”

Benarkah begitu?

Apabila teknologi meriam semakin maju pada abad ke-14, seluruh dunia berlumba-lumba mendapatkan teknologi ini. Kerajaan-kerajaan Eropah, wilayah-wilayah bekas Empayar Abbasiah dan Turki Uthmaniyyah, Empayar China dan kerajaan Ayutthia berusaha tidak ketinggalan dalam soal mengambil tahu atau memiliki meriam malah merekrut rakyat mereka mempelajari cara membuat meriam.

Adakah Sultan-sultan Melaka yang memiliki PELABUHAN PALING KAYA DI TIMUR menjadi pekak, tuli, buta dan bisu dengan perkembangan ini?

Padahal raja-raja Melayu Brunei dan Sulu ketika itu sudah biasa bermain dengan pistol dan menjadi pengeluar meriam kecil terbaik dunia? Sebab itu Sepanyol gerun dan tidak mampu mencabut ‘kemelayuan’ mereka.

Adakah para pedagang yang tiba di pelabuhan Melaka semuanya berpakat untuk menyorokkan berita-berita tentang meriam, istinggar (musket) dan ubat bedil? Adalah amat tidak logik jika Sultan Melaka yang pernah menakluk sebahagian Sumatera dan tanah semenanjung malah mengalahkan tentera Siam menggunakan keris dan lembing sahaja. Tiada satu pun kerajaan yang boleh mengalahkan Melaka ketika itu kecuali gabungan tentera Portugis, kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera dan Jawa, askar-askar upahan dari Goa, Jawa dan Siam ditambah dengan pembelot dan pengkhianat dalaman dari para pedagang asing dan orang Melayu sendiri.

Hang Tuah juga pernah dikerahkan ke Rome untuk membeli persenjataan canggih yg besar yaitu bedil (meriam) untuk memperkukuhkan pertahanan kerajaaan Melaka. Memang terdapat riwayat bagaimana semasa serangan Portugis terhadap Melaka, Melaka tidak mudah tumbang.
Hanya filem-filem dan drama pendekar di Malaysia sahaja menggambarkan pendekar Melayu berperang menggunakan keris dan lembing selepas bergaduh di warung berdinding buluh dan beratapkan rumbia. Sungguh memalukan.

Apabila orang luar membuat filem tentang Melayu, mereka menggambarkan pendekar Melayu menggunakan pistol, meriam dan senapang. Malah pendekar Melayu memakai baju kulit dan sesetengahnya memakai baju zirah, baju besi untuk mengelakkan serpihan peluru meriam melukai daging kulit. Dari mana mereka mengorek rahsia ini? Dari catatan-catatan sejarah mereka yang diluar kawalan Raffles, Winsted, Swettenham dan Leyden.


Malah semua senjata-senjata ini, yang diwar-warkan asing bagi bangsa Melayu, mempunyai istilah Melayunya sendiri:

Cannon : Meriam, Lela

Portable Cannon/swivel gun : Lela Rentaka

Flintlock Musket : Istinggar

Blunderbuss : Pemuras

Pistol : Terakol

Mari kita lihat antara senjata-senjata ‘terahsia’ Melayu ini:


*pemuras


Pemuras adalah antara senjata yang gemar digunakan oleh orang-orang Melayu dahulukala. Dalam Perang Naning, catatan askar Inggeris menyatakan orang-orang Melayu amat pandai menggunakan Pemuras ini sehingga Inggeris terpaksa menghantar beberapa kali pasukan tenteranya menentang Dol Said dan Perang Naning juga berlaku dalam beberapa siri. Orang-orang Melayu Borneo khususnya orang Brunei dan Sulu adalah mereka yang selalu menggunakan Pemuras. Pemuras atau dalam bahasa Inggeris, blunderbuss adalah sejenis alat bedil muat hadapan dengan laras berkaliber pendek, besar, yang mempunyai muncung peledak hadapan yang berbentuk kembang (funnel-shaped muzzle ). Pemuras ini menggunakan peluru timah hitam (lead).

Ia digunakan untuk menembak dalam jarak dekat dan selalu digunakan oleh pasukan berkuda (Dragoons).


*terakol


Orang-orang Melayu memanggilnya sebagai Terakol atau Tarkul. Dragoon atau Terakol inilah asal-usul pistol pada hari ini. Pemuras juga adalah senapang atau bedil yang pertama sekali dicipta untuk tujuan pertahanan. Dalam masyarakat Melayu, senjata Pemuras dan Tarkul adalah agak popular berbanding di dunia barat. Penggunaan Pemuras adalah lebih kerap digambarkan di dalam peristiwa perang Melayu berbanding istinggar atau Flintlock Musket. Mengapa?

Ini kerana pada masa dahulu orang Melayu adalah pelaut dan pengembara yang gigih. Penggunaan blunderbuss ini adalah amat popular dikalangan pelaut, lanun dan pedagang. Ini kerana ia sesuai untu pertempuran secara pantas dan berdepan kerana ia mampu mencederakan beberapa orang musuh dengan hanya satu tembakan dari jarak dekat.

Pemuras biasanya amat pendek, dengan laras kurang dari 60 cm (dua kaki), pada ketika laras senapang lantak biasanya melebihi 90 cm (tiga kaki) panjang.Satu sumber menggambarkan senjata dari awal hingga pertengahan abad ke-17, menyenaraikan panjang laras Terakul kancing roda (wheel lock) sekitar 28 cm (sebelas inci), berbanding 41 cm (enam belas inci) panjang bagi Pemuras.





Terakol atau Tarkul adalah antara senjata popular dikalangan pelaut, pedagang dan lanun-lanun Melayu. Tarkul pada awalnya menggunakan teknologi ‘wheel lock’ (kancing roda) di mana kemajuan teknologi ini membolehkan ia membakar serbuk bedil secara automatik tanpa memerlukan ‘fius’. Terakol berbentuk seperti pistol dan ia adalah perubahan bentuk dari Pemuras yang dikecilkan. Terakol digunakan di dalam peperangan Rajah, Datu dan Sultan-sultan di Filipina melawan Sepanyol, juga askar Brunei menentang Rajah Brooke.

Terakol juga digunakan di Patani dan Melaka. Dalam Perang Naning juga senjata ini digunakan. Sekitar tahun 1530, Terakol telah menjadi maju dengan penggunaan teknologi flintlock (kancing batu api) dan sejak itu ia lebih dikenali sebagai pistol di Barat.


*Istinggar


Istinggar (Bahasa Inggeris:musket) pada awalnya ialah sejenis senjata api jenis berat dengan penggunaan fius atau wheel lock. Kemudian ia menjadi sejenis senapang yang menggunakan teknologi flintlock (kancing batu api). Penggunaan flintlock ini meningkatkan kadar tembakan dan mengurangkan kos pembuatan senjata api. Mula diperkenalkan pada 1630 sebagai flintlock musket, istinggar dengan pantas menggantikan teknologi picu senjata api lebih awal,seperti mekanisme kancing sumbu (matchlock) dan kancing roda (wheel lock).

Istinggar juga kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikatakan bahawa Megat telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban. Tun Saban dikatakan sebagai seorang yang tidak lut kepada segala jenis senjata kecuali istinggar yang dibuat khas pelurunya. Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari Hadra-maut kepada raja Pagar Ruyung.

Istinggar inilah yang dikumpulkan terlalu banyak di dalam kota Melaka oleh tentera-tentera Portugis. Istinggar juga digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang Portugis. Istinggar juga digunakan oleh penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-loji di Sungai Perak.


                                                       *Rentaka



Rentaka,adalah sejenis meriam mudah alih,ringan dan kecil dari meriam biasa.Dalam Bahasa Inggeris, ia disebut Lantakas (gabungan Lela dan Rentaka). Rentaka adalah senjata khas orang Melayu, kerana mereka sendiri yang menciptanya, sebab itu orang Inggeris menyebutnya dengan Lantakas. Ini adalah sesuatu yang menarik kerana Rentaka adalah setanding dengan keris dan ia adalah senjata Melayu yang terkenal di dunia Barat. Rentaka inilah yang saya lihat di dalam filem tahun 80-an itu.

Kebiasaannya rentaka dibuat menggunakan tembaga atau besi dan berukuran diantara 50cm hinggalah 2 meter. Bagi yang berukuran lebih daripada 1 meter kebiasaannya ia di panggil Lela dan ada yang dipanggil sebagai ekor Lotong kerana mempunyai pelaras yang panjang dan lentik seperti ekor Lotong. Bangsa penjajah pertama yang merasa penangan rentaka ialah Sepanyol. 

Mereka menggelarnya sebagai arquebuses, portable cannons or swivel gun yakni meriam mudah alih. Berbanding dengan meriam biasa, rentaka kebiasaanya mempunyai hiasan yang lebih terperinci dan cantik seperti ukiran awan larat, naga, buaya, cicak, ikan lelumba malahan turut diukirkan corak pucuk rebung.



Apa yang unik mengenai senjata ini ialah ianya adalah sebuah meriam mudah alih yang pertama didunia. Rentaka mempunyai mekanisme yang membolehkan ianya dipusing-pusingkan keatas dan kebawah serta boleh dipikul dan dipacakkan di kota, tanah atau belebas kapal dan perahu. Hal ini amat berbeza dengan meriam barat yang sedia di ketahui adalah amat berat dan tidak mudah dialihkan. Ciri mudah alih Rentaka juga menyebabkan bidikannya lebih mudah untuk kena pada sasaran.

Pahlawan Moro adalah diantara pahlawan rumpun Melayu yang dikatakan sebagai pembuat rentaka yang terbaik . Orang Moro telah menggunakan rentaka sebagai senjata api utama ketika diserang oleh Sepanyol dan ketika mereka menyerang kapal-kapal Sepanyol. Tentera Sepanyol dikatakan amat takut dengan senjata tersebut kerana diantara banyak-banyak senjata, rentaka adalah salah satu senjata yang menyebabkan kematian dan kerugian terbesar bagi pihak mereka. 

Selain daripada orang Moro, Kerajaan Brunei juga dikenali umum di kalangan para pedagang dan penjajah sebagai pengeluar rentaka terbanyak dan terbaik di Alam Melayu. kebanyakan daripada rentaka yang ada di Muzium di seluruh dunia sekarang ini adalah berasal dari Brunei kalau tidak Filipina. Di Semenanjung, Jawa dan Sumatera, penggunaan rentaka adalah kurang terutama setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.


Kehebatan senjata api buatan bangsa Melayu ini menjadi buah mulut dan kekaguman para penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda sehinggakan mereka telah meniru teknologi pembuatan rentaka bagi melengkapkan persenjataan mereka. Sehingga abad ke 18 dikatakan penghasilan rentaka di Alam Melayu semakin berkurangan malahan negara yang mengeluarkan rentaka terbaik dan terbanyak adalah negara Belanda.



*Meriam Seri Patani yang diletakkan dihadapan bangunan Kementerian Pertahanan Thailand



Meriam mempunyai sejarah yang panjang,terahsia dan digelapkan dalam sejarah Melayu.Meriam digunakan di tembok-tembok kota Melaka. Meriam digunakan di semasa peperangan melawan penjajah di Selangor. Meriam digunakan di Pasir Salak. 

Meriam digunakan di Singgora melawan Thai dan Inggeris dan Belanda. Meriam adalah cukup sinonim dengan seni peperangan Melayu. Jika Brunei dan Sulu terkenal mengeluarkan Rentaka (meriam mudah alih) terbaik, maka Patani pula adalah pengeluar meriam paling terbaik di Asia Tenggara suatu ketika dahulu.

Sebelum kemunculan meriam,pada awalnya teknologi artileri atau bedilan ini diperkenalkan oleh orang-orang Cina. Kemudian meriam diperkenalkan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah, yang juga merupakan pembuat meriam yang menggerunkan seluruh Eropah ketika itu.Kemudian pedagang Belanda pula memperkenalkannya.

Meriam yang paling terkenal dalam masyarakat Melayu ialah Seri Nagara,Seri Patani dan Mahalela. Dan meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara. Menariknya bukan orang lain yang membuat dan memilikinya, tetapi orang Melayu juga.

Meriam-meriam ini adalah milik Kerajaan Patani.Sebagai tindak balas berikutan khabar angin akan serangan Siam ke atas Patani, Raja Kerajaan Melayu Pattani pada waktu itu iaitu Raja Biru (1616-1624) telah menugaskan seorang lelaki Cina-Islam yang bernama Tok Kayan (Lim To Khiam) untuk mengetuai pembinaan meriam-meriam kerajaan. 

Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.

Selepas kejatuhan Ayutthaya pada 1767, kerajaan Patani di bawah pemerintahan Sultan Muhammad (1776-1786) telah cuba untuk membebaskan diri daripada ancaman Thai (yang telah mengalahkan kerajaan Ayutthaya).

Bagaimanapun, pada 1785 pasukan tentera Thai di bawah kepimpinanan Panglima Phraya Kalahum telah berjaya menewaskan Patani. Dua buah meriam besar iaitu Sri Patani dan Sri Nagara telah diambil sebagai rampasan perang, bagaimanapun Sri Nagara telah jatuh ke dalam laut di Kuala Patani semasa hendak dipindahkan ke dalam kapal. Meriam Mahalela pula telah hilang tanpa dapat dikesan.

Selepas kejatuhan Ayutthaya pada 1767, kerajaan Patani di bawah pemerintahan Sultan Muhammad (1776-1786) telah cuba untuk membebaskan diri daripada ancaman Thai (yang telah mengalahkan kerajaan Ayutthaya). Bagaimanapun, pada 1785 pasukan tentera Thai di bawah kepimpinanan Panglima Phraya Kalahum telah berjaya menewaskan Patani. Dua buah meriam besar iaitu Sri Patani dan Sri Nagara telah diambil sebagai rampasan perang, bagaimanapun Sri Nagara telah jatuh ke dalam laut di Kuala Patani semasa hendak dipindahkan ke dalam kapal. Meriam Mahalela pula telah hilang tanpa dapat dikesan.

Meriam-meriam Melayu boleh dilihat juga di Kota Melawati dan Pasir Salak pada hari ini.


*petikan gambar filem Langkasuka, dalam filem ini bukti yang menunjukkan senjata api sudah digunakan oleh orang melayu sejak zaman kesultanan lagi. Dalam filem ini juga menunjukkan yang putera pahang yang pakar dalam menembak menggunakan terakol atau lebih dikenali sebagai pistol. Di sini amatlah sedih sekali kerana orang melayu pada zaman kini tidak dapat mengunkapkan sejarah-sejarah hebat orang Melayu ini ke layar perak malah diambil kesempatan oleh pembikin filem dari thailand. Jika dilihat pada babak-babak filem itu prob2 dan ketamadun yang ditonjolkan dalam filem itu sudah dikaji dengan lebih terperinci dan apa yang ditunjukkan adalah ketamadunan sebenar orang melayu bukan hanya keris dan lembing.


*putera Pahang yang pakar dalam menembak.


*putera Pahang yang menembak menggunakan terakol.

Jangan berpandukan filem ini jika mahu mengkaji secara mendalam sejarah Patani. Ini filem Thai dan nama ‘Langkasuka’ itu pun tidak tepat. Asalnya penerbit mahu meletakkan nama ‘Queen of Patani’ namun dibantah oleh pihak berkaitan kerana tidak mahu mencetuskan sensitiviti dengan apa yang berlaku di Selatan Thai. Jadi diletakkan ‘Langkasuka’ padahal Langkasuka dan Patani adalah dua kerajaan berbeza.’Lanun’ dalam cerita ini hanyalah fantasi kerana dalam sejarah ketika pemerintahan Ratu Biru, kerajaan Patani diserang oleh Thai, bukannya lanun-lanun Melayu, Jawa dan Jepun seperti dalam filem ini. Dan tiada pula kerabat diraja yang membelot sebenarnya, ia cuma ‘rempah-ratus’ dalam membuat filem itu lebih sensasi.

Fakta sejarah sebenarnya, ketika itu Patani berperang dengan Thai dan seorang Cina Muslim, Lim To Khiam diarahkan oleh Ratu Patani untuk mengetuai tukang-tukang meriam Patani menyiapkan meriam besar. Penglibatan orang Belanda itu hanyalah sensasi sahaja padahal Thai pernah bekerjasama dengan orang-orang Eropah yang tamak ini untuk menjajah Patani.

Saya hanya sarankan untuk membayangkan suasana meriam-meriam Melayu ini beraksi dengan menonton filem ini, bukannya menjadikan filem itu sebagai rujukan sejarah Patani.

Setelah mengetahui fakta sejarah yang digelapkan dari pengetahuan kita ini,adakah kita masih berfikir nenek moyang kita berperang menggunakan sumpit,lembing dan keris? Jika nenek moyang kita berperang dengan senjata-senjata itu sahaja, alamat kita sekarang bukanlah duduk di Malaysia, tetapi di sebuah negeri Inggeris lain,seperti Australia. Sebab orang-orang Melayu mempunyai senjata-senjata beginilah mereka mampu mempertahankan takhta raja-raja mereka dan sedikit sebanyak mengawal tindak tanduk penjajah yang ganas dan tamak. 

Bayangkan betapa gigih nenek moyang kita dahulu memikul rentaka, membawa Pemuras di samping parang dan keris, menentang ketamakan dan kebuasan penjajah. Jika nenek moyang kita dahulu lembik tidak berjuang mempertahankan tanah air,mungkin hari ini kita akan menjadi seperti Red Indian atau aborigine Australia. Inggeris walaupun buas dan kejam, namun masih menjaga ‘standard’ mereka cuba menghormati perjuangan orang-orang Melayu mempertahankan warisan. Mereka cuba mengawal alter amuk para musketeers (ahli senjata api) dan gunners (ahli meriam) Melayu dengan cuba meletakkan para Residen mereka terlebih dahulu di setiap negeri Melayu. Apa salahnya Inggeris membawa balatenteranya meranapkan takhta-takhta raja-raja Melayu ini terus atau menghalau mereka sepertimana mereka menumbangkan raja-raja Tamil, Hindi dan Maharaja Moghul di India. 

Sultan Abdullah memang dibuang ke Pulau Seychelles, namun yang peliknya Inggeris berusaha mengadakan raja baru di Perak dengan membiarkan institusi beraja Perak menabalkan pengganti Sultan Abdullah. Pelikkan? Apa salahnya Inggeris melantik sahaja Hugh Low menjadi ‘Rajah Perak’ sebagaimana James Brooke menjadi Rajah Sarawak.Biar warisan raja-raja Perak hancur sebagaimana mereka berjaya menghancurkan dinasti raja China dan India. Tetapi ini tidak berlaku. Bukan sahaja orang Melayu, malah ‘Mat Salleh’ pun berdegil ‘mempertahankan’ takhta raja-raja Melayu. Lucu dan aneh.
Sebenarnya jika kita bersemangat mempertahankan warisan budaya kita sendiri, orang lain pun akan segan dan hormat pada kita. Seperti juga hari ini, jika kita acuh tak acuh dengan warisan kita sendiri, sebagai contoh Tulisan Jawi, Cina Komunis pun tidak segan silu mahu membuang tulisan Jawi dari papan-papan tanda jalan. Jika kita sendiri tidak berusaha mengambil berat diri kita sendiri, siapa lagi hendak diharapkan menjaga segala warisan dan identiti bahkan pegangan agama kita sendiri? Orang asing?

Kesimpulannya, dengan pendedahan ini yakinlah kita bahawa orang Melayu adalah bukanlah bangsa yang lemah dan hanya mengenal keris dan tombak sahaja malah pandai menggunakan meriam dan membuatnya juga. Orang Melayu juga biasa menggunakan musket (Istinggar) dan pistol (Terakol).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik