IKLAN

Memaparkan catatan dengan label Kenali Emas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenali Emas. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Mac 2012

Cara Membeli Emas Perak Patuh Syariah

Ditulis oleh  
Syariat Islam secara prinsipnya adalah tetap dan tidak berubah sehingga hari kiamat. Apa yang dinamik adalah aplikasi sesuatu prinsip itu yang berubah mengikut peredaran zaman dan tempat. Misalnya pada zaman Nabi S.A.W, tidak ada urusniaga menerusi internet, tetapi itu tidak bermakna Islam tidak ada panduan untuk berurusniaga dalam talian.
Hukum Pembelian Emas menggunakan Matawang
Berdasarkan perbincangan dalam artikel Riba Disebalik Pembelian Emas yang lepas, mari kita lihat apakah aplikasi hukum yang diguna pakai pada hari ini berdasarkan prinsip-prinsip yang tetap itu tadi.
Memandangkan kebanyakan kita membeli emas dengan matawang kertas maka kita perlu memahami hukum penggunaan matawang kertas terlebih dahulu.

Hukum Matawang Kertas

Secara umumnya ulama berbeza pendapat dari sudut adakah matawang hanya terhad kepada emas dan perak sahaja. Sebahagian ulama berkata hanya emas dan perak sahaja yang menjadi matawang.
Manakala sebahagian ulama yang lain berkata apa-apa sahaja dapat menjadi matawang, selagi mana ia dapat berfungsi sebagai medium pertukaran yang diterima dalam masyarakat.
Hukum Matawang Kertas
Selepas emas tidak lagi menjadi sandaran matawang bermula dari 1971. Maka ulama-ulama semasa telah berbincang untuk mendepani situasi ini kerana medium pertukaran (medium of exchange) yang standard, adalah sesuatu yang penting dalam hidup kita semua.
Maka pada 1986 Akademi Fiqh Sedunia yang berpusat di Jeddah telah mengeluarkan fatwa. Sesungguhnya matawang kertas mempunyai kesan, dan sifat yang sama seperti matawang emas dan perak atau matawang bersandarkan emas dan perak.

Halal Digunakan Untuk Tujuan Tertentu

Justeru matawang kertas adalah halal digunakan untuk tujuan zakat, perniagaan dan lain-lain termasuklah hukum riba juga terguna pakai dalam penggunaan matawang kertas.
Akademi Fiqh Sedunia atau Majma Fiqh al-Islami merupakan badan fatwa antarabangsa yang membincangkan pelbagai isu berkaitan umat Islam. Manakala AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions) adalah badan fatwa antarabangsa yang fokus, terhadap isu-isu berkaitan kewangan dan ekonomi Islam.
Maka berdasarkan konsep Qiyas yang diterima pakai dalam situasi ini, maka matawang kertas merupakan barang ribawi yang mempunyai sama ‘illahnya dengan emas dan perak tetapi berbeza jenis.
Kerajaan-kerajaan negara umat Islam juga menerima pakai pandangan fatwa ini. Justeru adalah wajib untuk kita mengikut fatwa yang telah menjadi undang-undang negara.

Fatwa yang Disahkan Oleh Akademi Fiqh Sedunia

Keputusan Akademi Fiqh Sedunia ini diterima pakai oleh Majlis Syariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), yang berpusat di Bahrain pada tahun 2000.
Malah dokumentasi fatwa AAOIFI berkaitan urusniaga matawang ini, adalah dokumentasi fatwa yang pertama kerana medium pertukaran merupakan rukun penting dalam perniagaan.
Pembelian emas & perak melalui urusniaga matawang
Justeru pembelian atau pertukaran matawang kertas dengan emas dan perak wajib berlaku secara serah tunai, dan bayar tunai dalam satu sesi urusniaga tanpa ada sebarang penangguhan. Contohnya seperti berikut:
  1. RM 100 untuk membeli 1 gram emas mesti berlaku secara tunai.
  2. RM 1000 untuk membeli 250 gram perak mesti berlaku secara tunai.
Maka, kita mesti mengelakkan daripada membuat urusniaga emas secara tempah, sama ada bayar dulu hari ini dan dapat emas 7 hari kemudian, atau pun bayar dulu hari ini dan pos kemudian tanpa ada mekanisma urusniaga yang betul.
Kita juga jangan membeli secara hutang ataupun installment. Tunggu cukup duit dahulu baru beli.
Sekiranya kita mahu ‘menempah barang kemas’ pula, jual beli emas mesti berlaku secara tunai. Kemudian barulah urusan upah membuat barang kemas dibuat.

Bagaimana Urusniaga Emas Perak yang Patuh Syariah?

#1 – Emas dan Perak Mesti Ada
Emas & Perak mestilah ada
Sekiranya stok emas cuma ada 1025 gram, maka penjual emas hanya dapat menjual 1025 gram sahaja, walaupun permintaan melebihi dari jumlah yang ada. Penjual tidak boleh menjual emas yang dia tidak ada atas dasar tempahan.
Penjual juga tidak boleh menjual emas yang mempunyai sekatan tertentu seperti emas yang masih dalam pajakan atau gadaian (ar-rahnu). Selepas emas itu tiada sekatan lagi barulah ia boleh dijual seperti biasa.
Apa yang dibenarkan cuma janji sebelah pihak (wa’ad / promise) untuk membeli atau menjual emas dan bukan transaksi jual beli. Aplikasi wa’ad ini perlu diteroka dengan lebih terperinci, untuk mewujudkan mekanisma ‘lock’ harga yang patuh Syariah.
Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI, mengenai pertukaran matawang.
#2 – Bayar Secara Tunai
Pembayaran tunai tidak bermaksud mesti duit fizikal berubah tangan. Atas sebab-sebab tertentu duit fizikal tidak dapat dibawa, maka apa yang penting duit mesti cukup dalam akaun bank.
Kemudian kita dapat mengeluarkan cek, telegraph transfer, ATM transfer, debit card transfer mahupun internet banking transfer. ‘Kad kredit’ dari perbankan Islam yang berdasarkan kontrak Bai’ Inah mahupun Tawarruq, dapat digunakan untuk membeli emas dan perak.
Kerana ‘kad kredit’ perbankan Islam adalah berbeza prosesnya dengan kad kredit perbankan riba. Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI mengenai pertukaran matawang.
#3 – Serah Emas Perak Secara Tunai
Serah Emas Perak secara tunai
Penyerahan emas secara tunai juga tidak bermaksud emas dan perak fizikal berubah tangan. Penjual dapat memberikan resit atau sijil yang membuktikan kewujudan emas dan perak sama, dan status resit atau sijil ini perlu sama seperti geran hartanah.
Apa yang penting, sijil itu dikeluarkan berdasarkan emas dan perak yang memang ada dalam simpanan penjual, dan bukannya resit atau sijil emas yang belum ada lagi.
Selepas resit atau sijil ini dikeluarkan, maka barulah kita uruskan proses penghantaran emas perak fizikal kepada pembeli dengan cara yang dipersetujui.
Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #18 AAOIFI mengenai qabadh (posession).
Mekanisma urusiniaga ini dapat berlaku dalam urusniaga secara online mahupun offline. Cara yang paling baik adalah syarikat-syarikat pengeluar emas yang sudah kaya raya inimenubuhkan Majlis Syariah, yang terdiri daripada sekumpulan ulama’ yang pakar dalam bidang kewangan Islam.
Ini bagi membolehkan operasi jual beli syarikat disemak dan diaudit secara Syariah. Kepakaran mereka ini dapat mewujudkan mekanisma jual beli emas patuh Syariah, yang seragam untuk industri emas dan perak.
Ini adalah amat penting bagi memastikan umat Islam terselamat daripada aktiviti riba.
P.S. Artikel seterusnya membincangkan mengenai pelaburan forex dan numismatic pula!s
Kredit gambar yang diambil dari Flickr (neeloyunus, gnerk, digitalmoneyworld, Apih Marang)


Riba Disebalik Pembelian Emas

Ditulis oleh  
Hari ini kita dapat mengelakkan riba dalam hutang piutang dengan menghentikan semua urusan dengan institusi kewangan konvensional. Namun itu belum cukup untuk meninggalkan riba sepenuhnya kerana riba wujud dalam kontrak jual beli menerusi urusniaga pertukaran barang tertentu.
Riba ini diterangkan melalui hadis-hadis antaranya hadis dari Ubadah b Samit berikut:
Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam (ditukarkan) sesama jenis, pada kadar yang sama, secara tunai (spot), sekiranya berlainan jenis, maka jual belilah sesuka hatimu selama mana ia adalah pertukaran tunai.” - (Muslim, Abu Daud, al-Nasai, dan Ahmad)
Hadis ini memberitahu kita ada 6 jenis barang ribawi iaitu emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam. Maka, pertukaran barang yang sama jenis perlu berlaku secara tunai dan sama nilai. Contohnya, emas 10 gram mesti ditukarkan dengan emas 10 gram juga. Gandum 10 kg mesti ditukarkan dengan gandum 10 kg juga.

‘Illah Bagi Emas dan Perak

Dari hadis ini juga ulama menerusi kaedah qiyas telah menyatakan ‘illah, bagi emas dan perak adalah matawang manakala 4 jenis barang yang lain pula ‘illahnya adalah makanan ruji.
Qiyas merupakan kaedah mengeluarkan hukum selepas sumber al-Quran, hadis, dan kata sepakat para ulama (ijma’). Kaedah ini memerlukan ulama mencari sebab atau ‘illah kenapa sesuatu perkara itu haram berdasarkan sumber al-Quran dan hadis.
Berdasarkan kaedah ini apa-apa perkara baru yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis yang dikenalpasti mempunyai sebab yang sama dengan hukum asal yang disebut dalam salah satu dari dua sumber tersebut, maka hukum asal itu terpakai untuk perkara baru itu tadi.
Ini bermaksud menggunakan analogi dari hukum asal diaplikasikan dalam situasi yang baru.Kita ambil contoh qiyas dalam pengharaman arak. Ulama menyatakan sebab arak itu haram adalah kerana arak memabukkan. Maka, apa-apa minuman yang memabukkan adalah haram.
Maka air tuak misalnya menjadi haram sekiranya air tuak itu memabukkan walaupun ia tidak dinamakan sebagai arak.
Seterusnya jual beli dan pertukaran barang ribawi yang berbeza jenis walaupun illahnya sama perlu berlaku secara tunai tetapi tiada syarat nilai juga mesti sama. Maka penjualan 10kg gandum dapat berlaku dengan 11kg barli dengan syarat mesti berlaku secara tunai.

Fokus Perbincangan Kita adalah Emas, Perak dan Matawang

Dalam hadis yang lain pula dari Abu Sai’d al-Khudri pula menyatakan:
Jangan kamu menjual emas dengan emas melainkan sama berat dan jangan dijual secara hutang melainkan mesti berlaku secara tunai. - (Bukhari)
Maka walaupun emas dan perak mempunyai ‘illah yang sama iaitu matawang tetapi emas dan perak dua barang ribawi yang berlainan jenis. Maka 10g emas dapat ditukarkan dengan 25g perak asalkan urusniaga ini berlaku secara tunai.
Inilah prinsip dan hukum asal dalam urusniaga barang ribawi.
  1. Barang ribawi yang berlainan jenis dan berbeza ‘illahnya maka kita bebas berurusniaga mengikut cara yang kita mahu. Berbeza nilai mahupun berjual beli secara hutang. Seperti 5g emas ditukarkan dengan 50kg gandum.
  2. Barang ribawi yang berlainan jenis tetapi ‘illahnya sama maka kita perlu berurusniaga secara tunai sahaja dan perbezaan nilai adalah dibenarkan. Seperti 25g perak ditukarkan dengan 1g emas ataupun 10kg gandum ditukarkan dengan 5kg kurma.
  3. Barang ribawi yang sama dan sama ‘illahnya maka kita perlu berurusniaga secara tunai dan sama nilai. 1g emas ditukarkan dengan 1g emas. 1kg kurma ditukarkan dengan 1kg kurma.

Bagaimana dengan Isu Kualiti?

Timbul persoalan kalau 1g emas 99.9 ditukarkan dengan 2g emas 91.6 atau 1kg gandum gred A ditukarkan dengan 2kg gandum gred B? Adakah dua barang yang berbeza kualiti pun mesti sama nilai pertukarannya?
Situasi ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw sebagai pedoman hukum kepada kita semua.
Dari Abu Sa’id al-Khudri, satu hari Bilal r.a. membawakan Nabi saw 1 sa’ (timbangan kurma) kurma yang berkualiti dan baginda pun bertanya sumber kurma tersebut. Bilal pun menjawab, “Saya ada 2 sa’ kurma yang berkualiti rendah dan saya tukar dengan 1 sa’ kurma berkualiti ini.”
Lantas baginda pun berkata, “Tidak! Ini adalah riba, jangan buat begitu. Kamu sepatutnya menjual dulu 2 sa’ kurma berkualiti rendah dan hasil jualannya barulah digunakan untuk membeli kurma yang berkualiti tinggi.” - (Muslim & Ahmad)
Ada satu lagi hadis lain yang direkodkan dalam Shahih Bukhari, Muslim dan Nasai’ yang membawa prinsip yang sama. Maka kita perlu faham bahawa barang ribawi yang sama jenis walaupun berbeza dari sudut kualiti maka hukumnya tetap sama jika mahu membuat pertukaran sesama jenis.
Inilah prinsip asas dan hukum asal riba jual beli yang kita mesti tahu dan amalkan. InsyaAllah kita akan bincangkan aplikasi qiyas riba jual beli ini dalam bentuk-bentuk pelaburan semasa seperti pelaburan emas, perak, matawang (forex) dan juga koleksi numismatik.
Kredit gambar yang diambil di Flickr (reezgoof), (miong) & (nickmard)

Ahad, 19 Februari 2012

Tabiat Simpan Emas Orang Vietnam yang Patut Di Ikuti


TABIAT zaman berzaman orang Vietnam yang suka menyorokkan emas di rumah daripada menyimpan wang di bank dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kerajaan negara itu. Semuanya gara-gara harga emas yang terus melambung tinggi.Berdasarkan Majlis Emas Dunia tahun lalu, Vietnam membeli lebih banyak emas perkapita berbanding India dan China. Harga emas domestik di Vietnam pula meningkat 18 peratus jauh lebih tinggi daripada harga pasaran emas dunia yang menyaksikan kenaikan 11 peratus.Sememangnya tabiat yang sudah diamalkan turun temurun itu sukar dikikis.
Walaupun harga satu auns (28.4 gram) jongkong emas di Hanoi lebih RM300 berbanding di tempat lain, tetapi penduduk negara komunis itu tetap membelinya, kata pesara berumur 60 tahun, Truong Van Hue.“Saya masih suka melihat simpanan saya dalam bentuk emas. Ia lebih selamat bagi pesara macam saya. Saya boleh jual emas pada bila-bila masa, di mana-mana apabila memerlukan wang,” katanya.
Walaupun emas dianggap sebagai simpanan selamat, tetapi tindakan penduduk yang ‘menyerbu’ kedai emas membuka mata kerajaan Vietnam apabila mereka berhadapan dengan kadar inflasi sebanyak 18 peratus dan ketidakstabilan mata wang tempatan, dong.
Kerajaan cuba memperlahankan ‘demam emas’ dengan cuba mengawal perniagaan logam berharga itu selepas hampir 20 tahun mereka memberikan kebenaran rasmi kepada penduduk memiliki dan berniaga emas, walaupun perkara itu sudah diamalkan sejak berzaman lalu.
Antara langkah yang cuba dilakukan kerajaan tahun lalu ialah memasukkan dekri atau perintah yang meletakkan perniagaan jongkong emas Saigon Jewelry Company, pembuat dan pedagang emas terkemuka di Vietnam di bawah kawalan bank pusat.
Dekri itu juga mengehadkan perniagaan peniaga emas kecil-kecilan, mengurangkan lonjakan harga dan mencegah pelabur borong daripada merancakkan perniagaan logam berharga itu yang akan terus menjejaskan mata wang dong yang sememangnya sudah goyah.Buat masa ini, kerajaan juga menimbangkan langkah kedua yang akan memaksa lebih 10,000 kedai emas keluar daripada perniagaan jongkong emas dan hanya memberi fokus kepada penjualan barang kemas saja.“Mereka mahu kawal emas. Saya tidak boleh kata sama ada ia langkah yang baik atau tidak. Tetapi di sini (Vietnam), kami perlukan kestabilan ekonomi,” kata pengurus di Phu Quy Jewelry Company.
Atas sebab yang praktikal, kebanyakan penduduk Vietnam lebih suka melihat simpanan mereka dalam bentuk emas. Malah kadar faedah sebanyak 14 peratus yang ditawarkan oleh pihak bank kepada penduduk yang menyimpan dong tidak mampu menarik perhatian mereka apatah lagi ia jauh lebih rendah daripada kos sara hidup yang meningkat 18.6 peratus tahun lalu.
Kata pakar ekonomi, kejatuhan harga hartanah dan pasaran saham baru-baru ini menyemarakkan lagi pembelian emas dan bank pusat juga memberi isyarat bahawa nilai mata wang dong mungkin akan terus terjejas lewat tahun ini.“Orang cuba mengawal kesan kemerosotan ini dengan membeli emas,” kata bekas pakar ekonomi kanan kerajaan, Le Dang Doanh.Minat terhadap emas sebenarnya memang sudah lama tertanam dalam masyarakat Vietnam malah sejarah peperangan dan perbalahan yang tidak berkesudahan membuatkan logam ini lebih bernilai.
“Empayar boleh jatuh, mata wang boleh berubah tapi emas akan terus bertahan,” kata pakar sosiologi, Vu Duc Vuong.
Kerajaan Vietnam bukan saja mengehadkan perdagangan emas tetapi akan mengadakan kempen besar-besaran untuk menggalakkan penduduknya menyimpan emas di bank dan tidak lagi menyorokkannya di rumah.
Bagaimanapun butir terperinci mengenai rancangan itu belum diuar-uarkan lagi tetapi pihak bank berkata, kerajaan sedang menimbangkan cara untuk menarik minat penyimpan dengan membuat tawaran daripada segi faedah dan keselamatan.Bulan lalu gabenor bank pusat berkata, kerajaan menganggarkan penduduk Vietnam mempunyai antara 300 hingga 500 tan emas yang disimpan di luar sistem perbankan.
Menyimpan emas milik peribadi ini di bank akan memberi kelebihan kepada pihak berkuasa kerana ia boleh dijadikan alat untuk menstabilkan ekonomi.
“Jika faedah yang diberikan itu lebih tinggi dan pihak bank dapat membuktikan kredibiliti mereka, saya rasa 80 peratus penduduk akan menyimpan emas mereka di bank,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Agribank Jewelry Company, Nguyen Thanh.
Langkah untuk mengekang perdagangan emas ini dimulakan selepas peningkatan dramatik taraf hidup penduduk Vietnam yang mencetuskan perubahan pada ‘sosialisme berasaskan pasaran’. Ini adalah sistem ekonomi Vietnam yang memberikan hak kepada penduduk memiliki perniagaan penghasilan komoditi, barangan dan perkhidmatan.Pertumbuhan ekonomi selama dua dekad berjaya menaikkan status Vietnam kepada negara berpendapatan sederhana pada awal 2011, berdasarkan ukuran Bank Dunia.Tetapi perkembangan ekonomi itu diancam oleh isu makro-ekonomi (isu ekonomi yang lebih besar) termasuk kadar inflasi yang sentiasa tinggi dan rasuah.
Penurunan kadar inflasi akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan sekali gus meredakan ‘demam emas’, kata Daonh. Dia menambah kerajaan perlu membentuk polisi yang seiring dengan kepercayaan rakyat bahawa memiliki emas itu langkah yang ‘lebih selamat’.“Jika polisi ini bertentangan dengan kehendak rakyat, mereka akan beralih kepada perniagaan tidak formal yang lebih sukar untuk dikawal,” katanya lagi.
Dia menganggarkan sebanyak 20 hingga 60 tan emas diseludup masuk ke Vietnam setiap tahun.
Bagaimanapun penduduk di Jalan Ha Trung di Hanoi, pusat perniagaan emas yang paling sibuk, agak skeptikal dengan langkah kerajaan itu.
“Mereka akan membuat peraturan yang lebih ketat tetapi saya percaya ada jalan untuk perniagaan jongkong emas,” kata peniaga emas, Tran Hoang Long.
Sumber :Harian Metro/emaskini

P/s: Takkan tenguk, baca aje kawan...beli,simpan seketul walaupun setengah dinar..beli sportrim kereta boleh takkanlah mula dengan setengah dinar tak boleh..renung-renungkan dan selamat beramal :)

Selasa, 10 Januari 2012

Batu Jalan Hablur Emas, Orang Kampung Melayu Majidee Bakal Jadi Jutawan


GEMBIRA...Rawi Ilias menunjukkan batu untuk membaiki jalan yang mengandungi hablur emas.
GEMBIRA...Rawi Ilias menunjukkan batu untuk membaiki jalan yang 
mengandungi hablur emas.

JOHOR BAHRU: Ratusan individu bakal bergelar jutawan sekiranya puluhan ketulan batu didakwa bersalut hablur emas yang dikumpul keluarga masing-masing sejak empat hari lalu di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee disahkan emas tulen.

Setakat semalam, kumpulan berkenaan tinggal selangkah lagi untuk bergelar jutawan selepas wakil pemilik kedai emas yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di Tampoi mengesahkan ia emas tulen.

Penduduk memaklumkan, mereka mendapat kerjasama wakil kedai emas berkenaan yang datang ke lokasi dan melakukan pemeriksaan ke atas ketulan batu itu, kelmarin.
Hasilnya, wakil berkenaan mendakwa ketulan batu diselaputi warna kuning tua itu adalah emas tulen yang mempunyai gred terbaik.

Bagaimanapun, perkara itu belum ditentukan kesahihannya 100 peratus kerana banyak lagi kajian serta ujian perlu dilakukan sebelum menyatakan ketulan batu berkenaan sahih diselaputi emas tulen.

Idham Mohd Diah, 36, berkata, wakil pemilik kedai emas yang mengunjungi tapak pencarian itu turut dikatakan menempah batu kononnya mengandungi hablur emas.
“Ada penduduk yang mendakwa batu yang dikumpul mereka itu sudah ditempah pembeli emas dengan harga hingga RM15,000.

“Saya dan bapa menemui beberapa ketulan emas sejak mencarinya empat hari lalu,” katanya.
Suri rumah dari Stulang, Munawarah Rashid, 29, berkata, sejak jam 10 pagi hingga 3 petang semalam, dia serta suami mengumpul 40 batu bersalut hablur dipercayai emas.
“Kami bercadang kembali semula ke sini pagi ini dengan harapan dapat menemui lebih banyak batu berkenaan.

“Saya mendapat tahu berkaitan penemuan batu terbabit menerusi rakan yang mendakwa mengumpul 20 ketulan batu bersalut hablur emas dalam tempoh dua jam, kelmarin.
“Sekiranya benar ia emas tulen, kami menganggapnya rezeki,” katanya.
Munawarah berkata, dia turut tahu berkaitan kesahihan yang dimaklumkan wakil kedai emas berkenaan dan berharap ia benar.

Penduduk, Mohd Diah Abdullah, 63, berkata, suasana perkampungan itu bertukar riuh selepas penemuan batu bersalut warna keemasan terbabit.
Menurut Diah, individu pertama menemui batu itu adalah keluarga besannya, empat hari lalu. (myMetro)


Ahad, 8 Januari 2012

Harga Emas Dijangka Naik RM5,662 Seauns

Gambar Carian Dari Google


HARGA emas dijangka kekal di paras tinggi tahun ini apabila bank pusat global dijangka akan terus membeli logam berharga itu yang dianggap selamat ketika keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kata OCBC Bank.

Ia berkata, komoditi itu kemungkinan meningkat naik kepada AS$1,800 (RM5,662) seauns menjelang akhir tahun apabila bank-bank pusat mengumpul emas bagi mempelbagaikan rizab masing-masing.

Dalam laporan penyelidikan Prospek Komoditi 2012 bank itu, OCBC berkata, pembelian emas yang dibuat oleh bank-bank pusat tahun lalu adalah tujuh kali lebih tinggi berbanding 2010.
Langkah itu menyebabkan berlaku aliran peningkatan bagi logam berharga itu apabila jongkong emas dianggap sebagai penyimpanan nilai bagi pelabur dan pihak berkuasa global.

“Kini, kami melihat harga emas semasa sekitar AS$1,600 seaun sebagai agak wajar,” kata bank itu.

Emas, katanya, telah mencatatkan prestasi cemerlang, meningkat hampir 20 peratus, bagi gabungan kadar pertumbuhan tahunan, bagi tempoh 10 tahun lalu.

OCBC percaya aliran itu akan berterusan tahun ini kerana kenaikan harga emas didorong oleh persekitaran kadar faedah sebenar negatif apabila bank-bank pusat dijangka menurunkan kadar faedah atau mengekalkannya pada paras terendah untuk menyokong pertumbuhan.
Buat masa ini, emas masih dicadangkan sebagai komoditi yang selamat, kata bank itu.

Memetik kaji selidik Bloomberg baru-baru ini, bank itu berkata daripada 26 peniaga, 70 peratus masih yakin dengan kedudukan harga emas yang tinggi disebabkan keperluan untuk melindungi aset. – BERNAMA- 2012/01/07


Sumber:www.bharian.com.my



Isnin, 28 November 2011

Chavez bawa pulang simpanan emas negara RM35.1 bilion


BEBERAPA kereta perisai membawa jongkong emas melintasi Istana Miraflores di Caracas kelmarin. - Reuters




CARACAS - Venezuela kelmarin menerima penghantaran pertama simpanan jongkong emas negara berkenaan yang berada di seberang laut, kata Presiden Hugo Chavez.
Chavez berkata, penghantaran tersebut dibuat selepas Venezuela meminta semua simpanan emasnya di luar negara dipulangkan.
Simpanan emas Venezuela itu di beberapa buah bank Eropah termasuk Britain itu dibawa dengan sebuah penerbangan dari Paris.
Askar-askar kemudian mengawal emas tersebut yang diisi ke dalam sekurang-kurangnya lima buah kereta perisai menuju ke Bank Pusat di Caracas.
Pada Ogos lalu, Chavez mengumumkan rancangan mendapatkan kembali simpanan emas Venezuela di luar negara berjumlah 211.35 tan dan bernilai AS$11 billion (RM35.1 bilion).
Beliau juga mengisytiharkan hasratnya untuk memindahkan aset cair Venezuela berjumlah AS$6.2 (RM19.5 bilion) bilion yang disimpan di Bank Switzerland, Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) ke negara rakan seperti China, Rusia dan Brazil. - AFP


Kosmo!





Rabu, 9 November 2011

Mencari Emas Dalam Sungai Sampah

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..

Walaupun bau busuk, bahaya sampah runtuh dan hujan lebat tiba-tiba menaikkan paras air boleh membahayakan nyawa, tetapi berdozen-dozen orang sibuk mencari barang-barang kemas dan sisa logam dari satu timbunan sampah setinggi 300m di Guatemala..


Setiap hari, kira-kira 300 orang yang menggelar diri mereka "pelombong" turun ke bawah jurang dan mengharungi air sampah busuk untuk mencari cincin dan gelang yang diperbuat daripada perak atau emas yang mungkin terdapat di situ.

"Saya mendapat lebih banyak wang datang ke sini daripada pergi ke syarikat di mana mereka terus-menerus akan memarahi saya," kata Eddie Miranda yang berusia 41 tahun.

Dia bernasib baik baru-baru ini apabila mendapat gelang dengan 9 gram emas dan mendapat 2000 quetzals ($ 256) untuk itu. Ia mungkin tidak kelihatan seperti banyak, tetapi ia hampir sama seperti gaji bulanan $ 270 minimum di negara Amerika Tengah.

Walaupun nyawa jadi taruhan akibat air sampah yang berasid, ramai pekerja dan penganggur memilih cara hidup seperti tu apabila mampu mendapat $20 dollar sehari iaitu dua kali ganda gaji sehari jika bekerja.



 



Ahad, 30 Oktober 2011

Banjir Di Thailand, Penduduk Terpaksa Jual Emas Mereka

















Simpan sumber bekalan bimbang keadaan bencana alam di Thailand semakin buruk
BANGKOK: Penduduk Thailand dilaporkan mula mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menjual emas untuk ditukarkan dengan wang tunai selain menyimpan bekalan makanan dan air minuman berikutan keadaan banjir yang dilaporkan semakin buruk. 


Pelanggan di sekitar Bangkok datang ke kedai kami sama ada The Old Siam atau Wong Wian Yai untuk menjual emas. Mereka berpendapat lebih baik menyimpan wang tunai berbanding emas dalam keadaan kecemasan sekarang, kata Pengerusi MTS Gold Futures, Kritcharat Hirunyasiri yang dipetik The Bangkok Post, semalam.


Kedai kami biasanya tutup jam 5.30 petang tetapi kini kami melanjutkan operasi hampir jam 9 malam untuk menunggu wang tunai dari bank pusat berikutan overdraf wang tunai harian kami di bank sebanyak 500 juta baht (RM50 juta) tidak mencukupi.

Syarikat itu menjual kira-kira 3.5 tan emas sehari bernilai 7 bilion baht (RM70.71 juta) sejak Jumaat hingga Isnin, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding jualan biasa berikutan permintaan tinggi. 



Perniagaan kedai emas menyusut sehingga 40 peratus ketika banjir berikutan orang ramai lebih memerlukan wang tunai, kata Kritcharat. 

Pada masa Menteri Perdagangan Thailand, Kittiratt Na-Ranong menasihatkan pendudu tidak membeli telur jika harga terlalu mahal. 
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan peruncit dikatakan menjual telur sehingga 8 baht (80 sen) sebiji. 

Jika harga telur terlalu tinggi sehingga 8 baht sebiji, jangan beli. Cari makanan lain, katanya sambil menambah harga barang mahal berikutan kos termasuk pengangkutan kian meningkat. 

Jabatan Perlindungan Buruh dan Kebajikan melaporkan lebih 2,800 daripada 740,000 pekerja kehilangan pekerjaan disebabkan banjir buruk yang berterusan melanda Thailand sejak tiga bulan lalu. 

Bagaimanapun, kebanyakan majikan berjanji bahawa akan terus mengambil 280,000 pekerja berkenaan. 

Selain itu, 600,000 pekerja asing dilaporkan terperangkap di kawasan banjir menantikan bantuan bekalan selain terpaksa berhadapan dengan masalah pemotongan gaji berikutan kerugian yang dialami majikan mereka, kata sebuah kumpulan penasihat yang dipetik The Nation, semalam. 

Seramai 2,893 pekerja yang diberhentikan diberikan pampasan penuh di mana 343 daripada mereka adalah pekerja separuh masa dengan tiga syarikat manakala yang lain adalah pekerja sepenuh masa bersama enam firma. - Agensi

P/s: Kalau terdesak terpaksalah ..tapi jangan jual semua...



Isnin, 17 Oktober 2011

Mari Simpan Dinar, Dirham dan Fulus.

KOTA BHARU, 17 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan akan meminda Enakmen Kewangan Kelantan 1995 bagi membolehkan negeri itu membeli, menyimpan serta melabur emas dan perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pindaan itu akan dibuat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula minggu ini.

“Dengan adanya pindaan ini ia bertujuan mengizinkan Kerajaan Negeri membeli, menyimpan dan melabur logam-logam berharga seperti emas, perak dan lain-lain supaya mata wang ini diguna pakai di Kelantan dan tidak bergantung kepada mata wang kertas yang semakin lemah nilainya," lapor Sinar harian.

Beliau berkat demikian pada sidang media selepas Forum Rakyat di sini, kelmarin.

Beliau memberi contoh negeri Utah di Amerika Syarikat sudah membuat undang-undang seperti ini peringkat negeri itu yang membolehkan mata wang jenis ini diterima kembali.

"Begitu juga Singapura juga sudah melaksanakannya sejak tahun 1965 lagi,” tambahnya.

Menurutnya lagi, Kelantan mahu menjadi perintis memperkenalkan enakmen itu di Malaysia dan menegaskan ia bidang kuasa Kerajaan Negeri dan tidak perlu kelulusan Kerajaan Pusat.

Negara-negara lain juga mengambil pendekatan sama seperti China yang mengalihkan polisi mereka apabila menyedari US Dollar lemah lalu menetapkan 10 peratus simpanan antarabangsa mereka dalam bentuk jongkong emas.

Katanya, langkah itu turut diikuti India dan Korea Selatan tetapi apa yang menghairankan Malaysia masih lagi tidak melakukan sebarang tindakan bagi mengatasi masalah itu.

Husam berkata, lazimnya masyarakat Islam diminta membahagikan simpanan mereka mengikut portfolio yang merangkumi emas, perak, mata wang kertas dan sebagainya.

“Bagaimanapun dalam negara kita sekarang ringgit disimpan dalam mata wang kertas terutama sekali US Dollar dan juga Euro. Dalam sejarah mata wang Islam terdapat dinar, dirham dan fulus.

“Fulus boleh menjadi ringgit Malaysia. Setiap mata wang memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing tetapi apabila ada tiga kombinasi itu ia menjadi kuat,” katanya.

Menurutnya, sebagai komoditi harga emas akan naik dan turun, apabila harga emas turun, fulus boleh berperanan tetapi apabila harga emas naik, dinar pula sebagai ganti.

Dengan cara itu, katanya, kekayaan yang dimiliki dapat diselamatkan kerana kombinasi mata wang jenis itu diguna pakai. /harakahdaily



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik