Penjelasan Datuk Jamil Khir tentang Isu "Najib Selesai Haji Lebih Awal" Menjawab Berita beberapa hari yang lalu..
[Bernama] SEPANG: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menjelaskan bahawa kenyataan daripada Twitter Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad lepas yang beliau selesai menunaikan ibadah haji sedangkan masih ada rukun haji yang belum dilaksanakan ketika itu, telah disalah tafsir.
Sambil menolak sebarang andaian kononnya Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa kenamaan lain tidak selesai mengerjakan ibadah haji, beliau berkata sebagai tetamu diraja kerajaan Arab Saudi, Perdana Menteri serta jemputan yang lain dapat menjalankan ibadah dengan baik.
Bercakap kepada pemberita sejurus tiba dari Tanah Suci di KLIA, Jamil Khir berkata Perdana Menteri dan rombongan telah mendapat kawalan yang baik dan teratur bagi menyempurnakan semua ibadah semasa mengerjakan haji.
"Yang dimaksudkan (dalam Twitter Perdana Menteri), bukan selesai ibadat haji (tetapi) selesai wukuf. Wukuf ini dari Zohor 9 Zulhijjah sehingga Maghrib hari yang sama. Jadi yang dimaksudkan selesai itu, selesai wukuf.
"PM selesai (menunaikan ibadah haji). Haji ialah kita mesti pergi di Arafah. Kalau kita tidak berada di Arafah, maka tiadalah haji itu.
"Jadi pada petang itu mungkin...barangkali soalan itu ditanya petang itu...selesai itu, selesai arafah. Haji itu belum selesai lagi.
"Kita masih ada untuk nak melontar selama tiga hari pada hari-hari Tasyrik. Jadi ini yang mungkin disilap faham," kata beliau.
Aku nak kongsikan pergerakan ibadah haji yang mungkin ramai kurang tahu dan kurang faham.
1. Kebiasan jemaah haji Malaysia dan jemaah Asia Tenggara mula bergerak dari Mekah dengan berihram untuk bermalam di Padang Arafah pada 8 Zulhijjah. Setelah wukuf pada 9 Zulhijjah, jemaah haji akan bergerak untuk mabit di Mudzalifah dan kemudian bergerak ke Mina untuk melontar jamrah kubra dan bertahlul maka terlepaslah 10 larangan berihram. Jemaah akan bermalam di Mina selama 3 malam untuk lontaran 3 jamrah. Selesai melontar jemaah haji akan bergerak ke Mekah untuk Tawaf Haji dan Sa’i Haji maka terlepaslah lagi 3 larangan berihram dan sempurnalah ibadah haji rukun Islam ke lima. Gerakan ibadah haji ini mengambil masa 6 hari untuk lepas daripada 13 larangan berihram.
2. Kebanyakan jemaah haji selain Asia Tenggara dan sebagaian kecil jemaah haji pakej dan VIP Malaysia melakukan ibadah haji dengan gerakan yang berbeza. Majoriti jemaah haji mula bergerak dari Mekah dengan berihram untuk bermalam di Mina pada 8 Zulhijjah. Pagi 9 Zulhijjah akan bergerak dari Mina ke Padang Arafah untuk Wukuf selepas gelincir matahari. Setelah selesai wukuf jemaah akan bergerak untuk mabit sebentar di Mudzalifah dan terus bergerak ke Mekah melakukan Tawaf Haji, Sa’i Haji dan Tahlul maka terlepaslah 10 larangan berihram. Kemudian pada 10 Zulhijjah jemaah haji akan bergerak menuju ke Mina untuk melontar jamrah kubra maka terlepaslah 3 lagi larangan berihram. Jemaah haji hanya mengambil masa 3 hari untuk bebas dari 13 larangan berihram dan yang tinggal hanya melontar 3 jamrah pada 3 Hari Tasyrik. Gerakan ibadah haji kedua ini memang cepat berbanding dengan gerakan haji pertama dan aku yakin PM Najib pasti melaksanakan ibadah hajinya dengan kaedah ini kerana itu beliau berani menghantar pesanan Twitter Haji Telah selesai pada 10 Zulhijjah, selesai tu maksudnya telah bebas daripada 13 larangan berihram.
3. Terdapat juga gerakan yang seperti dari Mekah ke Padang Arafah ke Mudzalifah kemudian ke Mina untuk melontar jamrah kubra dan bertahlul kemudian berjalan kaki ke Mekah untuk Tawaf Haji dan Sa’i Haji maka terlepas daripada 13 larangan berihram kemudian kembali semula ke Mina untuk lontaran 3 jamrah.
Sebenarnya ada berbagai gerakan ibadah haji yang dilakukan oleh jemaah mengikut kefahaman yang berbeza tetapi tidak melanggar rukun-rukun haji. Jadi jangan pelik apabila kita melihat kepelbagaian cara menyempurnakan ibadah haji. Hak untuk menentukan haji mabrur hanya pada Allah SWT kita manusia berusaha semaksimum yang boleh untuk mencapai haji mabrur. Pasti tidak akan ada jemaah haji yang datang untuk mengerjakan ibadah haji dengan tertib yang salah melainkan ustaz yang mengajar memberi panduan yang salah tetapi ada ke ustaz yang nak mengajar ilmu yang salah?/Denaihati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan