Ramadhan hampir berlalu, Syawal pula
hampir menjelang tiba sebagai tanda berakhirnya ibadat puasa yang
merupakan rukun Islam yang ke empat. Moga setiap amalan yang dikerjakan
di bulan Ramadhan berterusan dilaksanakan sehingga bertemu yang
seterusnya,insyaAllah.
Syawal merupakan bulan
kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah berjaya menahan nafsu amarah,
dari lapar,dahaga serta mengawal anggota badan daripada melakukan
perkara yang dilarang. Namun tidak bermakna berakhirnya Ramadhan di
situlah juga penamat kepada segala amalan yang dilakukan bahkan
seharusnya ia menjadi pemangkin diri bagi setiap individu muslim untuk
terus berada dalam nikmat ketenangan yang telah dirasai semasa Ramadhan
dengan meneruskan dan meningkatkan lagi amal ibadat.
Antara penerusan amalan yang boleh dilaksanakan di bulan Syawal ini adalah puasa Enam, sabda Rasulullah s.a.w :
‘Jika seseorang berpuasa semasa Ramadhan kemudian mengikuti dengan
enam hari Syawal,ia adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.’ (RIwayat
Muslim). Oleh itu marilah kita bersama-sama usahakan untuk
melaksanakan puasa enam ini di sepanjang bulan Syawal.Selain itu,
Syawal juga merupakan peluang untuk umat Islam berkumpul dan merapatkan
lagi hubungan silaturrahim serta bermaaf-maafan sesama kita.
Persiapan Hari Raya
1.Mulakan Syawal lebih awal dalam memanifestasikan makna fitrah iaitu fitrah badaniah.
Dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya: “Sepuluh perkara dikira
sebagai fitrah (sunnah): mengunting misai, merapi janggut, bersugi,
memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut
bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, beristinja, dan berkumur.” [Hadis
riwayat Muslim]
2. Banyakkan bertakbir pada malam 1 Syawal.
Firman Allah Ta‘ala yang bermaksud “Dan hendaklah kamu mencukupkan
bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang
diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 18]
Disunatkan kepada kita melafazkan takbir dengan mengangkat suara,
bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam
mengangkat takbiratul ihram solat Hari Raya. Boleh dilakukan sama ada
secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah
bersama-sama keluarga. Bahkan pada zaman Rasulullah SAW takbir itu
dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.
3. Berdoa dan berbuat kebaikan pada malam Aidil Fitri
Imam Al-Syafie r.a. telah menegaskan bahawa malam Aidil Fitri itu adalah
antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau
berkata di dalam kitabnya Al-Umm:
“Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya
doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidil
Adha, malam Aidil Fitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Sya‘ban.
Sunat beribadah pada malam hari raya antaranya solat sunat, bacaan
Al-Quran, berzikir, bertakbir dan seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW :-
"Barang siapa menghidupkan dua malam Hari Raya (Aidilfitri dan
AidilAdha), ALLAH SWT akan menghidupkan hatinya di hari matinya hati-hati
manusia."
4. Ambil kesempatan untuk berqiamulail.
Imarahkan malam dengan ibadat, bukan kerana bakar lemang atau masak
ketupat. Lebih teruk lagi jika kita mengambil peluang untuk berbuat
maksiat serta berhibur dengan pelbagai program yang melalaikan hingga ke
pagi. Walaupun amalan menghidupkan malam Hari Raya adalah antara
perkara khilaf. Namun Imam Syafie Rahimahullah menyukai amalan ini walau
pun hadithnya dhaif.
5. Jangan berpuasa pada siang 1 Syawal.
Sesungguhnya pada 1 Syawal, Allah haramkan kita berpuasa.
6. Haram ‘kongsi raya’.
Jangan menganggap Aidil Fitri sama seperti perayaan-perayaan lain.
7. Disunatkan mandi pagi.
Hal ini dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar dalam kitab al-Muwatta’, bahawa
Rasulullah SAW mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bergerak ke
masjid.
8. Sunat memakai pakaian yang terbaik dan tercantik, walaupun tidak baharu,dan juga mengenakan harum-haruman atau bau-bauan.
Imam Baihaqi ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda
Rasulullah SAW mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi
meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.
Seorang hukama pernah berkata: “Bukanlah hari raya itu dengan baju
yang baru, tetapi hakikat hari raya itu adalah dengan takwa yang semakin
jitu.” Semangat ketakwaan yang semakin menebal dan kukuh di jiwa setiap
calon yang telah berjaya menamatkan latihan Ramadan selama sebulan,
itulah makna hari raya sebenarnya yang dikehendaki syarak.
9. Makan terlebih dahulu.
Sebelum berangkat ke masjid makanlah dulu. Selain ketupat rendang, dodol
lemang atau segala macam menjadi hidangan jangan lupakan kurma. Jangan
habiskan semua kurma dalam bulan Ramadan. Simpankan sekotak untuk 1
Syawal.
Sebuah hadis dari Anas bin Malik telah menjelaskan bahawa Baginda SAW
tidak menikmati hidangan melainkan makan terlebih dahulu buah kurma
dengan bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi
menunaikan solat sunat Aidilfitri.
10. Sebelum solat bermaaf-maafan sesama keluarga.
Benarlah, tidak ada masa tertentu atau musim yang khusus untuk kita
bermaaf-maafan. Pintu kemaafan ini sangat luas daunnya. Cuma apabila
sudah berada pada hari kebesaran Islam ini dan berkumpul bersama-sama
keluarga, eloklah kita gunakan kesempatan tersebut. Kikiskanlah perasaan
ego dan takbur diri dengan memaafkan segala kesalahan sesama
adik-beradik atau saudara-mara dan jiran tetangga kita. Kesempatan
berjumpa, bukan selalu ambillah peluang berpeluk cium sesama keluarga.
Malah kalau nak bergambar pun, bergambarlah sekeluarga masa ini.
Barangkali selepas solat aidil fitri.
Dalam sepotong hadis, Baginda bersabda maksudnya: Harta itu tidak
akan luak atau berkurangan akibat sedekah, tidaklah bertambah di sisi
Allah SWT bagi seseorang yang sudi memaafkan, melainkan kemuliaan dan
tidaklah seseorang itu merendah diri, melainkan akan diangkat oleh Allah
SWT kemuliaannya (Riwayat Muslim)
11. Disunatkan seluruh umat Islan samada tua atau muda, lelaki dan perempuan termasuk yang dalam haid untuk menghadiri perhimpunan solat sunat Hari Raya.
Ummu 'Athiyah R.A berkata :- "Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan
wanita-wanita yang haid pada dua hari raya (Aidilfitri dan AidilAdha)
agar mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum muslimin, tetapi
wanita-wanita yang sedang haid itu terpisah dari tempat solat."
[Hadith Riwayat : Muttafaq'alaih]
12. Bersegera pergi ke tempat solat.
Tuntutan bersegera menunaikan solat Aidil Fitri sama ada ke masjid atau
surau, sama seperti tuntutan bersegera untuk solat Jumaat.
13. Berjalan kaki ke Masjid.
Sunat pula pergi menunaikan solat hari raya itu dalam keadaan berjalan
kaki sebagaimana hadis dari Sayidina Ali bin Abi Talib. Cuma sunnah ini
gugur kepada golongan yang agak jauh jarak rumahnya dengan masjid, maka
bolehlah mereka menaiki kenderaan nanti gugur pula bedak dan celak atau
masam pula ketiak.
14. Pergi ke masjid melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain.
Mengapa Nabi memilih jalan yang berbeza? Hikmahnya supaya bertemu dengn
ramai orang. Maklumlah bukan selalu balik ke kampung. Barangkali rupa
pun sudah berubah. Berkenal-kenalanlah kalau berselisih dengan orang.
Tengok-tengoklah jalan kampung yang semak dengan lalang atau jalan
berlubang, jambatan patah dan lain-lain. Sama ada dia wakil rakyat atau
tidak, hulurkanlah sedekah masuk ke dalam tabung masjid. Ini bertepatan
dengan gesaan Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menginginkan agar
murah rezeki dan dilanjutkan ajalnya, maka hubungkanlah silaturahim.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
15. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan solat
Aidilfitri.
16. Solat sunat Aidilfitri mendahului khutbah.
Oleh sebab Hari raya Aidil fitri setahun sekali diingatkan kepada para
imam bahawa solat sunat Aidil fitri didahulukan daripada khutbah. Dari
Al-Bara’ beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW berkhutbah, sesungguhnya
yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah
solat. [Riwayat Bukhari].
Malah Solat sunat Aidil Fitri sunat dilambatkan sedikit,
sedangkan solat hari raya korban perlu disegerakan. Melewatkan solat
Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa belum mengeluarkan zakat
fitrah.
17. Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah.
Solat Aidil Fitri berbeza dengan solat Jumaat kerana solat hari raya
tidak dilaungkan azan dan iqamah. Malah tiada sunat qabliah dan ba’diah.
(Walau bagaimanapun solat tahiyatul masjid dan solat dhuha boleh
dilaksanakan) Turut berbeza solat sunat Adidil fitri dari sudut takbirnya.
Biasanya 7 kali takbir pada rakaat pertama dan 5 kali takbir pada
rakaat kedua. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunnat bukan
wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap
sah.
18. Pemilihan surah ketika solat.
Bagi imam, ayat yang sunat dibaca seperti yang disabdakan oleh Nabi
dalam Sahih Imam Muslim disebutkan bahawa Baginda menunaikan solat sunat
Aidilfitri dengan membaca surah al-’Ala (Sabbihis Marabbikal A’la) pada
rakaat pertama dan al-Ghasyiah (Hal Ataka Hadisul Ghasyiah) pada rakaat
kedua.
19. Solat di lapangan, atau di tengah-tengah padang yang terbuka.
Ambillah kesempatan mendengar khutbah terutama bagi kaum wanita, tidak
kira yang tua atau muda, yang ‘uzur’ atau sebaliknya. Oleh sebab itu,
solat ‘Aidain (Aidil Fitri dan Aidil Adha) ini dituntut menunaikannya di
kawasan lapang memberi peluang kepada wanita yang uzur untuk turut
serta seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummi ‘Atiah dalam Sahih
Bukhari dan Muslim.
20. Ambillah peluang untuk mendengar Khutbah.
Sebenarnya kemuncak Hari Raya Aidil Fitri, bukan baju baru, kuih raya,
lemang atau ketupat. Tak ada pun tak mengapa. Kemuncak Aidil Fitri ialah
mendengar khutbah. Jangan jadi macam budak-budak belum habis salam lagi
berderau enjin motor balik. Kadang-kadang bapak budak lebih daripada
anak lagi.
21. Mendoakan kawan-kawan selain memberi ucapan tahniah dan selamat.
Mengambil teladan sunah Nabi s.a.w. sebagaimana diceritakan oleh
al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, yang dinukilkan daripada Jubair Nufair
katanya yang bermaksud: “Sahabat – sahabat Rasulullah SAW apabila mereka
berjumpa di Hari Raya, mereka mendoakan kepada para sahabat yang lain: تقبل الله منا ومنكم ‘‘Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.’’
Tidak sekadar melafazkan: Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin
hinggakan kita terlupa ucapan yang lebih bermakna daripada itu, iaitu;
mendoakan agar segala amalan sebulan Ramadan ini diterima dan
dimakbulkan Allah.
22. Bermaaf-maafan dengan rakan mahupun musuh.
Daripada Uqbah bin Amir katanya, Rasulullah SAW bersabda: Wahai Uqba,
mahukah aku nyatakan kepadamu sebaik-baik akhlak penduduk dunia dan
akhirat? Iaitu kamu memaafkan orang yang telah menganiaya dirimu. Kamu
memberi atau menolong orang yang telah memutuskan pemberiannya kepada
kamu dan kamu menghubungkan silaturahim dengan orang yang telah
memutuskan perhubungan denganmu. [Riwayat al-Hakim dalam Kitab
al-Mustadrak]
Setiap makhluk bernama manusia tidak terlepas daripada dosa dan
kesalahan, sama ada kepada Tuhan atau sesama makhluk, khususnya sesama
manusia. Sama ada dosa itu secara sedar atau tidak, zahir mahu pun
batin. Malu dan rasa bersalah sekalipun, gunakanlah teknologi sms,
sekurang-kurangnya.
23. Ziarah-menziarahi sesama islam.
Bersabit dalam hadis riwayat Jabir bin Abdullah, Baginda akan mengambil
suatu jalan semasa pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri dan akan
mengambil jalan yang lain pula semasa pulang daripada solat tersebut.
Hikmahnya adalah bagi meramaikan sahabat-sahabat dan jiran tetangga yang
ditemui atau diziarahi untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan beroleh
kemenangan berpuasa selama sebulan Ramadan.
Ziarah-menziarahi bagi tujuan mengeratkan hubungan kekerabatan
(silaturrahim). Sabda Rasulullah SAW :-
"Hubungan silaturrahim adalah jalinan dengan arasy. DIA (ALLAH SWT) berfirman : Sesiapa yang menyambungKU, ALLAH SWT juga akan berhubung dengannya dan siapa yangmemutuskanku, ALLAH SWT memutuskan hubungan dengannya."
[Hadits Riwayat : Muslim]
"Barang
siapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka
hendaklah dia menyambung silaturahim."
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan
Muslim).
24. Bersikap sederhana dalam menyambut Hari Raya.
Jangan melakukan pembaziran dan keterlaluan dalam berbelanja.
25. Membataskan pergaulan dalam sambutan.
Jangan berlaku pergaulan yang terlalu bebas dan melanggar hukum yang ditetapkan syara'.Contohnya bersalam-salaman,bertepuk bertampar dengan rakan juga saudara mara berlainan jantina yang bukan mahram kita.
26. Bersedekah menerusi pemberian duit raya.
Adakah ia satu keperluan dalam agama atau hanya suatu budaya?
Kalau pemberian itu suatu keperluan, maka ia akan menjadi suatu perkara
yang rumit bagi golongan yang kurang berkemampuan. Jika amalan tersebut
menjadi suatu budaya pula, ditakuti ia hanya tradisi masyarakat atau
adat kebiasaan dan bukan dilihat sebagai ibadat bersedekah yang
dianjurkan dalam Islam.
Oleh itu, konsep pemberian duit raya seharusnya berpaksikan tujuan
dan niat yang jelas bertepatan dengan sepotong hadis Nabi yang
menganjurkan umatnya bertukar-tukar hadiah kerana ia mengundang perasaan
mahabbah sesama Islam. Nabi SAW bersabda bermaksud: Bertukar-tukarlah
hadiah atau pemberian, nescaya kamu akan berkasih sayang dan
menghilangkan perasaan benci. [Riwayat Baihaqi]
27. Menziarahi kuburan.
Sebenarnya, menziarahi kubur adalah sunah yang disyariatkan Nabi
Muhammad SAW dalam agama Islam kerana ia mengingatkan seseorang kepada
Hari Akhirat. Dalam sepotong hadis, Baginda menegaskan:
"Aku dahulunya
pernah melarang kamu semua menziarahi kubur, sekarang ziarahlah ia,
lantaran ia dapat mengingatkan kamu dengan Hari Akhirat." [Riwayat
Muslim]
Pun begitu, sekiranya ziarah kubur pada hari mulia tersebut boleh
membawa kepada kesedihan yang berpanjangan dan memudaratkan, maka ia
menjadi makruh pula.
Walau bagaimanapun, amalan tersebut bolehlah diteruskan, cuma biarlah ia
tidak dijadikan amalan bermusim atau mengikut sempena tertentu.
Ziarahlah kubur pada hari-hari yang lain juga, lebih-lebih lagi semasa
jenazah dikebumikan, lantaran banyaknya pahala yang terdapat dalam
amalan mengiringi jenazah ke kuburan.
28. Sambutan hari raya hanya pada 1 Syawal.
Pada 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa ganti dan
sunat. Bagaimanapun tidak dilarang untuk terus melakukan sambutan
Aidilfitri selagi amalan itu tidak bertentangan syariat.
29. Puasa sunat enam Syawal.
Ambillah sunnah dengan berpuasa dalam bulan Syawalnya. Manifestasi
bahawa Ramadan bukanlah bulan yang taatnya adalah suatu yang terpaksa.
Dalilnya ialah sabda Nabi SAW:
“Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa
enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun”
[Riwayat Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.]
30. Memelihara seluruh ibadah
Dalam menyambut Hari Raya khususnya solat samada solat qasar, jama' atau solat tamam (sempurna).
Kehadiran Syawal yang sewajarnya disambut dengan gembira di samping
terus menanam rasa kehambaan kepada Allah S.W.T. setelah berjaya
mengekang hawa nafsu untuk memenuhi tuntutan sebulan Ramadan. Kun
Rabbaniyyan wala takun Ramadaniyyan.
Sumber Rujukan:
- iLuvislam.com
- http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com/2009/09/18/25-tips-meraikan-syawal/