Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe menggelar Perdana Menteri Britain, David Cameron sebagai 'syaitan' selepas bantuan dari Britain mungkin disekat ekoran negara Afrika itu tidak menghormati hak golongan gay.
Mugabe dalam ucapannya berkata, tindakan Cameron sangat teruk dan tidak ubah seperti syaitan kerana mahu negara lain menerima golongan gay jika ingin mendapatkan bantuan dari Britain.
"Ia merupakan tawaran yang bodoh dengan syarat-syarat yang tidak masuk akal," katanya ketika berucap di sebuah pekan perlombongan di Shurugwi, 300 kilometer di selatan Harare, kelmarin.
Pada sidang kemuncak Komanwel pada Oktober lalu, Cameron berkata, negara-negara yang menerima bantuan dari Britain perlu menghormati hak asasi manusia termasuk golongan gay.
Isu tersebut timbul ketika Zimbabwe merangka Perlembagaan baru, yang menimbulkan perdebatan, sama ada mengikut model negara jirannya Afrika Selatan dan termasuk hak golongan gay.
Mugabe menentang kegiatan homoseksual sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan dalam ucapan terbarunya, beliau turut memberi amaran untuk menghukum golongan gay di Zimbabwe.
"Jangan terjerumus dengan golongan tersebut (homoseksual). Anda semua merupakan golongan muda dan jika didapati terlibat, kami akan menghukum kamu.
"Ia merupakan perbuatan terkutuk. Malah ia lebih teruk daripada khinzir dan anjing," katanya.- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan