Pura-Pura Beli Minuman
SEREMBAN - Dua lelaki berpura-pura menyamar sebagai pelanggan sebelum cuba menyamun seorang peniaga dan menantu perempuannya di sebuah kedai makan di Jalan Tampin Lama, Rahang dekat sini, Khamis lalu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Raja, 70-an, berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 7 petang itu dia dan menantunya yang berumur sekitar 30-an sedang mengemaskan kedai sebelum menutup premis berkenaan.
“Semasa kami sedang sibuk berkemas, dua lelaki datang dengan menaiki motosikal dan singgah di kedai makan saya. Seorang daripada mereka memberitahu ingin membeli air.
“Saya cuba menjelaskan kedai sudah ditutup namun mereka tetap bertegas mahu membeli sebotol air minuman menyebabkan saya tidak dapat menolak permintaan itu,” katanya di sini, semalam.
Menurut Raja, lelaki terbabit tidak meninggalkan kedainya selepas membuat bayaran tetapi memerhatikan keadaan sekeliling dan gerak-gerinya mencurigakan.
Dia berkata, suspek tiba-tiba meluru ke arahnya sebelum meletakkan sebilah pisau memburu ke lehernya sambil mengugut akan mencederakannya jika tidak menyerahkan wang.
“Rakan suspek pula cuba meragut rantai leher yang dipakai menantu saya namun mujurlah dia sempat melarikan diri.
“Dua lelaki berkenaan kemudian menjadi panik dan meninggalkan kedai saya tanpa sempat mengambil apa-apa pun,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata Raja, lehernya cedera akibat terkena pisau memburu digunakan suspek mengakibatkannya menerima lima jahitan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin ketika mengesahkan menerima laporan tentang kejadian berkata, orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati sekiranya ternampak individu yang mencurigakan di kawasan masing-masing.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan