IKLAN

Khamis, 22 Disember 2011

Kurang Upaya Tak Halang Keputusan Cemerlang Dalam PMR

Kurang upaya tak halang keputusan cemerlang

PENDANG,KEDAH - Meskipun dilahirkan sebagai insan istimewa, Muhammad Hadi Darus, 15, membuktikan mampu   mencapai kejayaan setelah mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Anak kedua daripada lima beradik ini ternyata begitu teruja apabila menerima keputusan berkenaan walaupun pada mulanya hanya menyasarkan 8A daripada sembilan mata pelajaran yang diambil.

Menurutnya, ia diperolehi hasil sokongan dan dorongan semua pihak termasuk keluarga, guru dan rakan.

"Sewaktu peperiksaan percubaan, saya mendapat 8A 1B (B untuk subjek sejarah), dan dalam peperiksaan sebenar saya agak khuatir terhadap tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

"Saya selalu berdoa dan menunaikan solat hajat. Kini gembira dan bersyukur kerana berjaya mencapai keputusan cemerlang yang membanggakan semua pihak, khususnya kedua ibu bapa saya," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, semalam.

Anak kepada pasangan yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Felda Sungai Tiang, Darus Dariman, 51, dan Halimah Che Pa, 49,  turut mendapat keputusan cemerlang 4A1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), bercita-cita menjadi pensyarah.

"Sewaktu kecil, ada juga yang mengejek tetapi kini tidak lagi, sebaliknya rakan dan guru-guru sentiasa memberi galakan dan semangat kepada saya.

"Malah, saya juga ada seorang rakan karib, Muhammad Fikri Ishak (15), yang banyak membantu sewaktu saya berada di sekolah," katanya yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Kedah.

Sinar Harian difahamkan, Muhammad Hadi yang menulis menggunakan kaki tidak memerlukan masa tambahan sewaktu menjawab soalan peperiksaan.

Sementara itu, ibunya, Halimah, yang menemani Muhammad Hadi untuk mengambil keputusan peperiksaan, bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu anaknya di sekolah.

Menurutnya, mereka sekeluarga sentiasa memberi sokongan penuh kepada Muhammad Hadi agar anaknya itu tidak merasai sebarang kekurangan walaupun dilahirkan sebagai insan istimewa.

"Muhammad Hadi suka berdikari dan tidak mahu terlalu bergantung kepada orang lain,. Setiap pagi ayahnya akan menghantar dan menjemput Muhammad Hadi pulang dari sekolah.

"Malah, jika hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di SMA Kedah, salah seorang daripada kami akan memohon untuk ditukarkan ke Alor Setar bagi memastikan Muhammad Hadi dapat meneruskan pelajaran dengan selesa," katanya.

Pengetua SMK Sungai Tiang, Mohd Khirruddin Idris berkata, sekolah menyediakan kemudahan untuk Muhammad Hadi belajar dengan selesa termasuk menempatkan kelas Muhammad Hadi di aras bawah untuk memudahkan pergerakannya.

"Dia adalah pelajar istimewa pertama di sekolah ini yang berjaya mendapat keputusan cemerlang.

"Muhammad Hadi adalah seorang pelajar yang suka berdikari dan aktif seperti pelajar normal lain," katanya./ 
sinarharian.

P/s: Tahniah adik Hadi,Kami semua mendoakan semoga Hadi berjaya didunia lebih-lebih lagi di akhirat..Amin.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik