KOMPUTER riba bukanlah gajet yang dianggap terlalu mewah pada hari ini. Jika dahulu penggunaannya terhad kepada golongan profesional atau setidaknya mereka yang telah bekerja, tetapi hari ini ia digunakan secara meluas termasuk golongan pelajar.
Faktor mobilitinya menyebabkan ia menjadi pilihan ramai. Sungguhpun begitu faktor bateri ada kalanya menyebabkan aktiviti dengan komputer mudah alih ini agak terhad. Langkah-langkah berikut dapat membantu memanjangkan nyawa bateri komputer anda.
Kebanyakan bateri komputer riba hari ini digerakkan oleh bateri lithium ion (li-ion). Bateri jenis ini lebih ringan, mempunyai nisbah kuasa dengan berat yang lebih baik, mampu menyimpan cas lebih lama, mempunyai jangka hayat dan tidak memberi kesan kepada ingatan komputer sekiranya ia menemui kegagalan pra-matang.
Kos pengeluaran bateri lithium ion ini juga lebih rendah berbanding bateri generasi sebelumnya – nickel metal hydride. Satu-satunya kekurangan pada bateri jenis lithium-ion ialah ia boleh menyebabkan litar pintas malah meletup sekiranya terlampau panas. Setiap bateri yang didatangkan dengan komputer riba mempunyai tempoh bekalan kuasa tertentu. Periksa tempoh bekalan kuasa yang tertera pada katalog sebelum membeli sesebuah komputer riba.
Anda boleh memilih pengunaan bateri yang optimum ialah dengan memadankan tetapan bateri selari dengan mod penjimatan kuasa pada komputer anda.
Tetapan ini akan meletakkan cakera keras pada mod tidur ketika beban tugasan berkurangan dan ini akan mengurangkan prestasi unit pemproses bagi memaksimumkan hayat bateri. Pilih longest battery life pada tetapan kuasa komputer anda.
Di sini, digariskan beberapa langkah-langkah penjimatan bateri yang boleh diamalkan. Semoga ia dapat memanjangkan lagi hayat cas bateri komputer riba kita. Maka, anda dapat menggunakan komputer riba dengan lebih lama!
Langkah penjimatan bateri
*** Sekiranya komputer tidak digunakan untuk satu tempoh yang agak panjang, letakkannya pada mod bersedia atau standby. Mod bersedia akan memastikan data semasa disimpan di dalam RAM dengan pengunaan kuasa yang minimum.
*** Menambahkan ingatan sementara atau RAM komputer anda akan menjimatkan kuasa bateri kerana ia akan mengurangkan pergantungan sistem operasi pada virtual memory swap pada cakera keras anda.
*** Tetapkan kecerahan skrin LCD anda serendah yang mungkin tetapi selesa pada mata anda. Semakin cerah paparan skrin, semakin banyak kuasa bateri yang digunakan.
*** Elakkan daripada mengecas bateri dan pada masa yang sama mengoperasikan komputer menggunakan adapter AC anda. Seboleh-bolehnya, cas ketika komputer tidak digunakan. Ini membolehkan bekalan elektrik dapat disalurkan dengan sempurna tanpa gangguan.
*** Sekali-sekala bersihkan sambungan bateri (berwarna keemasan) bagi memastikan ia bebas daripada habuk. Anda boleh menggunakan sedikit alkohol dan lapkan dengan kain bagi mencuci bateri.
*** Nyahaktifkan fungsi atau ciri yang tidak digunakan pada komputer riba anda. Sebagai contoh, keluarkan disk optikal (CD/DVD) dari pemacunya apabila tidak digunakan. Pemacu CD/DVD akan cuba membaca media di dalamnya dan ini menggunakan kuasa bateri yang lebih.
*** Cabut kabel perkakasan tambahan seperti pencetak, pengimbas atau gajet digital lain daripada komputer anda kerana ia akan memakan bekalan kuasa walaupun ketika tidak digunakan.
*** Hentikan carian automatik wifi dan bluetooth anda apabila tidak diperlukan. Sekiranya anda tidak menggunakannya langsung, matikan semua fungsi ini dan sekali gus anda dapat membuat penjimatan kuasa yang lebih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan