IKLAN

Sabtu, 20 Ogos 2011

Kelebihan Orang-orang Yang Mati Syahid (Syuhada)

Gambar Senyum Meninggal Dalam Syahid

Gambar Senyum Meninggal Dalam Syahid

Assalamualaikum,Sahabat satu Dunia.Semalam Saya ada menceritakan akan kelebihan mengingati mati .Kali ini Saya nak berkongsi Kelebihan  Orang yang Mati Syahid pula.Semoga kita dapat menghayatinya dan tergolongan dalam kalangan mereka. Insya-Allah. 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan mati dan kematian datang bila-bila masa samaada manusia sudah buat persiapan atau belum membuat persiapan. Kematian ditentukan oleh Allah SWT samaada kematian dengan  mendapat husnul khatimah atau su'ul khatimah.

Nabi SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa setiap saat dan masa semoga Allah SWT kurniakan kita husnul khatimah (kematian yang baik) dan menjauhkan daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk).


Di kalangan hamba-hamba Allah SWT ada diantara mereka dipilh oleh Allah SWT mendapat mati syahid iatu kematian yang sangat mulia, dan menjadi idaman para mukmin dan solihain kerana mati syahid adalah kematian yang terlepas daripada seksa kubur dan kegawatan di Padang Mahsyar. Mereka yang mati syahid akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.


Dalam Islam, mati syahid (bahasa Arab: شَهيد ‎ šyahīd, jamak: شُهَداء šyuhadā’) ertinya muslim yang mati ketika berperang atau berjuang di jalan Allah membela kebenaran atau mempertahankan hak dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah. Siapa yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya, dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fi sabilillah atau mati syahid. Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam. Salah satu jalan menuju mati syahid adalah berjuang di jalan Allah (jihad fi sabilillah).


Sejarah membuktikan bukan sedikit umat Islam yang gugur sebagai syahid terutama melalui perjuangan menentang golongan kafir.


Dalam perjuangan peringkat awal kebangkitan Islam dibawah pimpinan Rasulullah SAW jumlah yang syahid ialah perang Badar (14) , perang Uhud (71), perang Khandak/Ahzab (6), perang Khaibar (21), perang Muktah (12) serta perang Hunain dan Taif (16).


Dalam perang Uhud,  bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah bin Abd Mutalib, gugur syahid.


Orang pertama gugur syahid dalam Islam ialah Sumayyah binti Khayyat, ibu kepada Ammar bin Yasir yang mati kerana mempertahankan agama Allah di tangan pemuda Quraisy Makkah, Abu Jahal.


Hakikat sebenarnya mereka yang mati syahid bukanlah mati tetapi mereka hidup di sisi Allah SWT dan sentiasa mendapat rahmat dan rezeki daripada Allah SWT.


Firman Allah SWT yang bermaksud : "dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki;(169)

 
(dan juga) mereka bersukacita Dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.(170). Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman" (171)
(Surah Ali-Imran ayat 169-171)

Asbabun Nuzul ayat 169-171 :


Ibnu Abbas r.a. menjelaskan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda,"Allah telah menjadikan ruh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang tergantung di bawah Arasy. Saat mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, 'Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat ini.(Hadis sahih riwayat Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)


Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud :


"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". (Surah al-Baqarah ayat 154)


Asbabun Nuzul ayat 154 :


Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Umar bin al-Hammam r.a gugur dalam Perang Badar, Allah lalu menurunkan ayat ini, terkait dengan Umar r.a dan sahabat-sahabat lain yang gugur sebagai syuhada. (Hadis Riwayat Ibnu Mandah. Lihat al-Wahidi : 36-37)


Sahabat yang dimuliakan,

Alangkah mulianya mereka yang mendapat gelaran para syuhadah , sentiasa mendapat rezeki dan nikmat yang sungguh besar dikurniakan oleh Allah SWT  jika boleh mereka ingin kembali kedunia dan mereka ingin mati syahid sekali lagi kerana betapa nikmatnya mati sebagai para syuhadah.

Anas bin Malik ra.berkata : Dari Nabi SAW. baginda bersabda maksudnya : "Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah kerana dia dapat kembali ke dunia bukan kerana untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Kerana ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid."(Hadis Riwayat Muslim : 3488)


Dalam hadis riwayat Jabir ra., ia berkata: Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah, di mana aku nanti bila telah mati terbunuh? Baginda menjawab: "Di syurga." Lelaki itu lalu segera melemparkan beberapa buah kurma yang berada di tangannya, kemudian ia berperang hingga gugur. Dalam hadis Suwaid: Seorang lelaki berkata kepada Nabi saw. pada waktu perang Uhud."(Hadis Riwayat Muslim : 3518)


Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  
"Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:

1. Diampunkan semua kesalahannya.

2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan kedahsyatan yang besar(pada hari kiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan."


Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

 
"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:

1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar


2. melihat tempatnya didalam syurga.


3. dilindungi dari azab kubur - dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar


4. merasakan kemanisan iman,


5. dikahwinkan dengan bidadari, dan


6. diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya"


(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)


Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?

Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.
Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."
Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."
(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

Sahabat yang dikasihi,

Golongan syahid tidak wajib disolatkan dan dimandikan sekalipun berada dalam hadas kecil atau besar.Perkara itu seperti arahan Rasulullah ke atas syuhada perang Uhud.Sabda baginda maksudnya: "Jangan kamu mandikan mereka kerana setiap luka dan darah itu adalah wangi semerbak pada hari kiamat dan tidak usah solat ke atas jenazah mereka."

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang meminta mati syahid dengan benarnya, Allah akan menyampaikan hajatnya itu pada kedudukan mati syahid, walaupun dia meninggal di tempat tidur-nya."

(Hadis riwayat Muslim (al-Nawawi, 1972, jil.13: 56).

Hadis tersebut mempengaruhi orang Islam supaya bercita-cita mati syahid, iaitu kematian yang termulia dalam Islam, dengan menjanjikannya akan mendapat kedudukan yang dimintanya itu, walaupun dia hanya meninggal di rumah.. Sesiapa yang tidak bercita-cita mahu mati syahid dan di dalam hatinya tidak ada niat langsung maka matinya dalam kehinaan kerana tidak mendapat ganjaran mati syahid sedangkan semulia-mulia kematian adalah mati syahid, setiap amalan bergantung pada niatnya.

 

Sumber :  AbuBasyer 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik