KL 12 Ogos 11: 3 Cara Along atau ceti haram memerangkap mangsa menjelang Aidilfitri. Golongan itu dikesan mengambil kesempatan memerangkap umat Islam yang kini sibuk membuat persiapan Aidilfitri dengan menawarkan pelbagai pakej pinjaman khas termasuk dinamakan Promosi Hari Raya 2011.
Berdasarkan hebahan yang dibuat melalui pelbagai cara termasuk pengedaran risalah, tampalan poster di tepi jalan raya, malah melalui paparan iklan di akhbar, wartawan Harian Metro menghubungi beberapa along dan menyamar sebagai bakal peminjam untuk mendapat maklumat lebih lanjut.
Along pertama yang dihubungi berkata, pihaknya mempunyai banyak cawangan di sekitar Lembah Klang dan mampu memberikan pinjaman sehingga RM10,000 khas untuk umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, kadar faedah atau bunga dikenakan lima peratus dan menyasarkan pinjaman itu kepada pekerja sektor awam, swasta dan kakitangan serta pesara kerajaan. Namun, syarat utama ialah semua peminjam dikehendaki membuat pembayaran selepas musim Aidilfitri berakhir.
“Kami hanya mahu tolong, kalau anda sudah buntu, kami sedia bantu,” katanya.
Menurutnya, setiap peminjam harus melangsaikan jumlah pinjaman sebanyak RM10,000 secara ansuran selama setahun atau dua tahun dan jumlah faedah dikenakan RM5,677 setahun.
“Untuk meminjam kami mahukan penyata gaji terbaru selama tiga bulan, kad ATM, bil air dan elektrik serta penyata bank selama tiga bulan. Kami berjanji tidak mengapa-apakan peminjam sekiranya mereka gagal membayar hutang,” katanya.
Along kedua yang dihubungi pula berkata, pihaknya memberikan pinjaman khas berikutan mahu membantu orang Melayu mendapatkan perabot baru, kuih, pakaian dan juga duit raya menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
“Kami mempunyai banyak skim antaranya pinjaman jangka panjang, pinjaman bulanan, pinjaman bayaran bunga dan pinjaman mingguan,” katanya.
Along yang berpangkalan di Shah Alam itu mendakwa mengenakan bunga serendah 1.5 peratus dan proses permohonan hanya memakan masa selama 30 minit.
“Jika anda mahu kami boleh beri pinjaman dari RM5,000 sehingga RM10,000 khas untuk Aidilfitri ini,” katanya.
Katanya, untuk meminjam pelanggan dikehendaki membawa surat pengesahan kerja, buku bank, penyata gaji tiga bulan dan bil air.
Sementara itu, along ketiga yang dihubungi berkata, pihaknya menyediakan pinjaman khas Aidilfitri sehingga RM20,000 tetapi ia terhad untuk kakitangan awam atau pekerja swasta yang bekerja di syarikat besar saja.
“Kami ada tawaran untuk raya, tapi kalau kerja kilang kerja biasa-biasa saja kami tak mahu,” katanya.
Begitulah kisah along seperti yang didedahkan oleh myMetro Online./ IH
P/s: Bagi mengelak kita berhutang dengan along,kad kredit dan lain orang.. ada baiknya kita menyimpan wang selepas raya ni.Raya akan datang taklah mengelabah cari duit..dapat bonus gunakan setengah aje,setengah lagi simpan jangan pulun semua..pandai-pandailah buat bajet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan