Acute
Gastroenteritis adalah satu penyakit yang sering melanda ketika
majlis-majlis perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri diadakan
ataupun sekadar majlis kenduri kahwin kecil-kecilan . Ia menyerang tidak
kira peringkat usia, tua, remaja sehinggalah ke budak kecil. Ada yang
menggelarkannya "keracunan makanan". Hakikatnya tiada racun di dalam
makanan itu tetapi ia adalah "makhluk halus" atau mikroorganisme yang
menyebabkan anda mengalami gejala penyakit.
Acute
Gastroenteritis atau AGE didefinisikan sebagai penyakit yang
menyebabkan gejala cirit-birit yang kerap dengan atau tanpa
gejala-gejala lain seperti loya, muntah, demam dan sakit perut. Cirit
birit ialah konsistensi najis yang cair dengan kekerapan yang lebih
daripada biasa.

Air yang tidak dimasak seperti
dalam kiub ais boleh menjadi penyebab utama kepada AGE. Pernah suatu
ketika di Kelantan, penyebaran penyakit Demam Kepialu oleh Salmonella
Typhi berasal daripada sebuah kilang ais yang tercemar. Makanan yang
telah lama dimasak dan sudah sejuk seperti rendang (yang juga kaya
dengan santan dan minyak) merupakan tempat yang baik bagi bakteria
membiak. Kuman juga boleh merebak dari seseorang yang lain melalui
sentuhan seperti bersalam-salaman ataupun berkongsi makanan yang
tercemar.

Untuk kanak-kanak kecil
terutamanya, AGE boleh menyebabkan kekurangan air yang serius. Demam
yang tinggi, muntah-muntah dan cirit-birit boleh mendatangkan dehidrasi
yang boleh membahayakan nyawa mereka. Dehidrasi menjadi bertambah dengan
ketakutan untuk meminum air dikhuatiri menyebabkan muntah yang
berterusan sekiranya mereka makan atau minum. Mereka akan kelihatan
tidak bermaya, asyik terbaring dan mata bertambah cengkung. Sekiranya
dehidrasi teruk berlaku, adalah lebih baik mereka di hantar ke hospital
untuk dimasukkan air melalui saluran darah.
Sekiranya cirit-birit atau muntah tidak begitu teruk, maka pe
ngambilan
air yang bersih adalah digalakkan. Ini termasuk pengambilan Oral
Rehydration Salt (ORS) bergantung kepada kekerapan pembuangan najis.
Kanak-kanak mungkin boleh mengambilnya sedikit-sedikit di dalam beberapa
sudu selama selang 3 minit sekiranya kerap muntah. Untuk orang dewasa,
pengambilan ubat seperti loperamide/lomotil di dalam kes cirit berdarah
adalah tidak dibenarkan. Buscopan boleh mengurangkan gejala sakit perut
dengan berkesan.

Membasuh
tangan sebelum dan makan adalah salah satu cara yang sangat efektif
untuk mengelakkan daripada AGE. Ini adalah kerana setelah bersalaman
dengan ramai tetamu di kalangan saudara mara dan sahabat handai, anda
tidak mahu kuman-kuman yang baru melekat di tangan anda itu masuk sekali
ke dalam mulut anda bersama-sama dengan juadah hidangan hari raya.
Jangan jadikan hari raya ini satu tragedi. Elak sebelum kena. Ikut
sunnah Rasulullah SAW yang sangat mudah. Basuh tangan sebelum makan.
Sumber: drazwan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan