Menziarahi Kuburan pada ‘Eidulfitri
Telah
menjadi suatu budaya juga pada 1 Syawwal itu untuk umat Islam di
Malaysia menziarahi tanah perkuburan. Sememangnya perkara ini dapat
dilihat pada pagi 1 Syawwal bahawa orang ramai akan bertandang di
tanah-tanah perkuburan. Jika dilihat dari aspek psikologikal, antara
sebab mengapa orang ramai mengunjungi kubur mereka yang telah pergi
meninggalkan yang hidup ialah disebabkan rakyat Malaysia telah biasa
menyambut hari perayaan bersama ibu bapa, saudara mara yang mereka
cintai, justeru apabila orang yang telah mereka cintai itu meninggal
dunia, maka mereka yang masih hidup akan bertandang ke kubur-kubur
orang-orang yang mereka cintai itu.
Selain
itu, antara sebab mengapa orang ramai berkunjung ke tanah perkuburan
pada hari perayaan ialah kerana kebanyakan orang kota yang sibuk ada
yang hanya akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari perayaan,
maka peluang yang ada digunakan untuk menziarahi kuburan yang telah
lama tidak mereka kunjungi.
Maka,
pada pagi 1 Syawwal itu, para peniaga mengambil peluang berniaga di
tapak-tapak perkuburan, menjual buku Yassin, bunga rampai, air wangian,
hatta botol yang disi air paip juga dijual pada mereka yang datang
berlenggang. Hal sebegini menggalakkan lagi beberapa upacara untuk
dilakukan di sekitar kuburan. Ada juga yang sempat mengadakan
‘mesyuarat’ sampingan bersama ahli keluarga untuk membaikpulih atau
membangunkan tanah kuburan yang mereka kunjungi itu.
Ironinya,
sekadar pembacaan yang terhad, tidak terdapat mana-mana dalil yang kuat
dan sahih tentang amalan menziarahi orang yang telah meninggal dunia
pada 1 Syawwal, atau pada hari eid. Malah jika difikirkan secara logik
akal, ia juga agak bertentangan dengan roh ‘Eidulfitri itu sendiri yang
menggalakkan umat Muhammad untuk bergembira, kuburan itu pula selalu
disinonimkan dengan perasaan kesedihan. Menjadi lumrah mereka yang
menziarahi kuburan akan menangisi pemergian pemilik kubur.
Amalan
menziarahi kuburan pada hari perayaan ini juga umpama meniru amalan dan
ritual agama Buddha pada hari perayaan QinMing, hari khusus bagi kaum
Cina untuk menziarahi kubur bersama ‘peralatan-peralatan’ yang ingin
‘disampaikan’ kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Disebabkan asal
usul menziarah kuburan pada hari perayaan ini tidak wujud dalam sejarah
Islam, apakah ini bermaksud mereka yang mengamalkannya meniru amalan dan
ritual penganut agama Buddha? Maka akhirnya kita kembali kepada
persoalan adat vs. ibadat.
Akibat
ritual-ritual sebegini saban tahun, kunjungan ke kuburan ini telah
menjadi budaya di kalangan umat Islam di Malaysia, maka wujud pula
beberapa ritual seperti tahlil, bacaan Yassin di kuburan bagi mengisi
tentatif kedatangan ahli keluarga di kuburan walaupun tiada sebarang
petunjuk wahyu yang jelas berkenaan ritual-ritual ini.
Walhal,apa
yang perlu ditekankan berkenaan tujuan menziarahi kubur ialah supaya ia
memberi manfaat kepada penziarah dan bukan orang yang telah meninggal
dunia itu. Hal ini telahpun dijelaskan oleh Nabi Shallallahu'alaihi Wa
Sallam yang bersabda:
"Dahulu
aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah
kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan
mengingatkan kepada Hari Akhirat. "(Hadis Hasan Riwayat Imam al-Hakim)
Bak kata Shaikh Wahid Abdussalam Bali, “Bukan
merupakan petunjuk Nabi s.a.w atau salah seorang sahabatnya
mengkhususkan Hari Raya untuk berziarah kubur. Hari Raya adalah hari
kegembiraan dan kesenangan, bukan hari kesedihan dan tangisan.Hari Raya
adalah hari saling berkunjung orang yang masih hidup, dan bukan untuk
mengunjungi orang yang sudah mati.” (474 Kesalahan Dalam Akidah &
Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 429).
Menjadi suatu kepentingan untuk dijelaskan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh para pengunjung kuburan:
(i) Membaca Qur’an (seperti surah Yasin) di kuburan
Nabi
Shallallahu'alaihi Wasallam melarang membaca Quran di kubur seperti
mana hadisnya yang bermaksud. “Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti
perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di
dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).
Dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga bersabda:
“Laksanakanlah
dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian
jadikannya kuburan”.(Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Pemahaman
ringkas daripada hadis-hadis tersebut ialah bahawasanya perkuburan itu
bukanlah tempat dibacanya al-Qur’an ataupun tempat didirikan solat,
kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadikan
perkuburan sebagai perumpamaan rumah yang tidak dibacakan al-Qur’an di
dalamnya.
Sekiranya
ahli keluarga ingin menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada ahli
keluarganya yang telah meninggal dunia, dia boleh melakukannya di mana
jua dan tidak semestinya perlu duduk di sebelah perkuburannya.
(ii) Bersandar di kubur-kubur
‘Amr
bin Hazm al-Anshari radhiallahu ‘anh menceritakan: Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam melihat aku bersandar kepada sebuah kubur
lalu baginda berkata: “Jangan menyakiti ahli kubur ini” (Hadis Riwayat
Imam Ahmad)
Perkara
ini berpotensi berlaku akibat para tetamu yang menghadirkan diri di
kuburan menjalankan ritual-ritual seperti membaca al-Quran di kuburan,
maka ada yang bersandar di kubur-kubur akibat keletihan.
(iii) Membangunkan kuburan dengan hiasan
Menjadi
kelaziman dan ikut-ikutan masyarakat Islam untuk membangunkan kuburan
mereka yang telah meninggal dunia dengan batu simen, marmar yang ratusan
dan ribuan harganya. Akibat tiada keselarasan, sesetengah tapak
perkuburan akan berwarna warni, malah menjadi tempat kebanggaan ahli
keluarga yang dapat membangunkan kubur keluarga mereka dengan pelbagai
hiasan yang unik-unik.
Walhal
perkara ini telah diharamkan oleh syarak sebarang perbuatan menghias,
membuat batas, meninggikan tanah di atas kubur, memayungkan, mendirikan
kubbah, bangunan, menulis apa pun tulisan dan mengecat kubur berdasarkan
hujjah syarak dan fatwa Imam as-Syafie rahimahullah serta disokong pula
oleh para ulamak di kalangan Syafiiyyah seperti Imam Ibn Hajar dan Imam
Nawawi berdasarkan hadis-hadis yang jelas.
Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam melarang dari mengkapur kubur, menulis di
atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya. (Hadis Riwayat Imam
Tirmidzi)
Pengharaman
ini juga boleh dilihat dari pelbagai sudut, tanah perkuburan
kebanyakannya merupakan tanah wakaf yang telah diwartakan, justeru
pengharaman mendirikan apa-apa binaan adalah berasas. Setiap binaan di atas tanah wakaf tanpa izin adalah dilarang di dalam Islam.
Yang
dibenarkan hanyalah perbuatan meletakkan batu sebagai penanda untuk
mengenali kubur umpama susunan batu berdasarkan tindakan
Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam yang meletak batu di sebelah kubur ‘Utsman
bin Mazh’un radhiallahu ‘anh (Hadis Hasan Riwayat Imam Abu Daud)
Kesimpulan
Ada
baiknya untuk kita sama-sama menilai semula amalan ziarah menziarahi
yang telah menjadi budaya oleh masyarakat Malaysia sekian lamanya, sama
ada adat itu boleh dianggap ibadat, atau hanya adat yang merugikan si
pelakunya.
Hendaklah
kita semua merenung kembali budaya dan ikutan selama ini, kerana
dikhuatiri kita tergolong dalam golongan yang mengkhususkan kunjungan ke
kuburan pada tempoh atau hari perayaan dalam Islam walhal ianya
bertentangan dengan roh ‘Eid yang menuntut umatnya bergembira.
Oleh
yang demikian, perbuatan ziarah-menziarahi sempena ‘Eidulfitri ini
boleh menjadi rangkaian ibadah, pada masa yang sama boleh juga menempah
dosa akibat daripada perbuatan dan budaya yang tidak berpaksikan kepada
ajaran al-Quran dan as-Sunnah.
Kunjungilah
mereka yang masih hidup, dengan harapan mengeratkan ukhwah dan tautan
cinta kerana Allah. Dan kunjungilah mereka yang telah pergi pada
bila-bila masa, dengan harapan kita menyusul dengan berkat dan keredhaan
Allah.
“Semoga Allah menerima (amal) dari kami dan dari kamu.”
Sumber: www.ibnyusof.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan