IKLAN

Khamis, 16 Ogos 2012

Peluang 'Last Minute' & Lailatul Qadar


Moon 1 Sky Night

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Sedar tidak sedar, kita telah menamatkan separuh bulan Ramadhan, berbaki lagi 15 hari sahaja. Allah s.w.t sahaja yang mengetahui samada prestasi kita dalam 15 hari yang berlalu adalah cemerlang atau temberang. Kita juga mungkin mempunyai sedikit 'clue' tentang prestasi kita sendiri.
Semenjak dua menjak ini soalan-soalan agama yang sampai kepada saya menunjukkan minat orang kepada ilmu Islam secara agak luar biasa, mungkin kerana ia merupakan bulan Syaitan dibelenggu. Alhamdulillah. Kita mengharapkan prestasi dan minat yang sama akan berterusan setelah tamatnya Ramadhan nanti.
Tidak terkecuali juga, soalan-soalan yang menggambarkan agak keringnya umat Islam kini dari ilmu Islam. Dari bentuk soalan-soalan yang diutarakan, seseorang pasti dapat mengandaikan tahap ilmu dan kefahaman seseorang.
Saya tiada masalah dengan soalan sebegini, cuma adakalanya merasa sayu dengan pengetahuan si penanya. Jangan bimbang saya tidak kenal anda, tidak perlu merasa malu. Lebih penting adalah kesungguhan dan minat yang masih berbaki untuk pelajari, ia jauh lebih baik dari menjadi orang yang langsung tidak mengendahkan keredhaan dan ketetapan hukum yang ditentukan Islam. Tahniah.
Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir
"Orang kita memang suka benda-benda 'last minute' ni" kata seorang rakan saya
"Study last minute"
"Buat kerja suka dan lebih bersemangat bila last minute"
"Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute"
Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.
Setakat pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.
Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai 'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sohihnya.
Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :
وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ   فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ 
Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim, 1/348)
Jika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.
Wallahu 'alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute' kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.
Memang benar tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat. 
Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.
Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.
Moga Perolehi Lailatul Qadar

Kehebatan Malam Al-Qadr 
Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-
1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;
Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.  (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )
2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.
Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ 
Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)  
Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang,  rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )
Imam Al-Qurtubi mencatatkan

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki  (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126) 
Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadarjuga membawa bermaksud mulia atau agung.
Adakah kita sudah BERSEDIA untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?
Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?
Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.
Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.
Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.
Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.
Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.
Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.
3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.
Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر 
Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr ( selain bulan Ramdhan)  ( At-Tabari, 30/259)
Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).
4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.
5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.
6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;
Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)
Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik