Oleh: Prof Muhd Kamil Ibrahim
Ada dua tips yang menjadi kesukaan saya apabila dikaitkan dengan ibadat haji.
Pertama tentang "jangan ubah waktu tidur. Tidurlah waktu Malaysia kerana Mekah atau Madinah lewat 5 jam daripada Malaysia".
Waktu bangun malam di sana bersamaan waktu jaga atau bekerja di Malaysia.
Waktu bangun malam di sana bersamaan waktu jaga atau bekerja di Malaysia.
Kedua, tips tentang kekuasaan dan kehebatan Allah.
Kenapa?
Bila saya usulkan supaya kita membayangkan apakah wajah dan tingkah laku kita apabila pulang daripada menunaikan fardhu haji yang boleh dikaitkan dengan haji mabrur, ia menerima pelbagai respons.
Ketika saya nyatakan, kita bayangkan solat berjemaah di masjid, membaca al-quran setiap hari, puasa sunat Isnin dan Khamis, menjaga hati dan bangun malam terdapat mereka yang mula memikirkan kesukaran betapa ia tidak boleh dilakukan.
Sekadar contoh, apabila disebut solat berjemaah lima waktu, isu yang selalu disebut ialah, suasana kerja yang tidak membantu untuk melaksanakan keinginan tersebut. Ada yang berfikir "tidak boleh, tidak boleh, tidak boleh" atau "sukar, sukar, sukar".
Dalam konteks yang lain, seorang pramugari yang ingin melaksanakan fardhu haji, siang-siang lagi sudah memberitahu,
"Prof, saya tidak fikir yang saya boleh menutup aurat apabila pulang daripada menunaikan fardhu haji. Kerja saya tidak membenarkan saya memakai tudung"
Lalu saya bertanya kembali, "puan benar-benar mahu menutup aurat? Benar-benarkah puan?"
Apakah yang sebenarnya berlaku apabila kita memikirkan yang kita akan gagal melakukan suatu kebaikan? Hakikatnya, kita menggunakan akal fikiran yang terbatas. Kudrat dan kuasa Allah tidak begitu. Kehebatan Allah tidak sampai dek akal fikiran manusia.
Maka saya tumpukan kuliah di Masjid Bandar Baru UDA – siri kedua – bagi menerangkan tentang tips yang menjurus kepada pembentukan akidah dan tauhid manusia, iatu kepercayaan yang sungguh-sungguh Allah itu Maha Berkuasa, Allah itu mampu memberi yang terbaik kepada hambaNya, sesuatu yang tidak terjangkau dek akal manusia.
Ibadat haji memberi peluang untuk kita memikirkan soal ini dengan cara yang bersungguh-sungguh.
Apalah sangatnya dengan niat dan keinginan untuk solat berjemaah dan kemahuan untuk menutup aurat. Jika kita bersungguh dan mahu melakukannya, InsyaAllah Dia akan memberi keizinan.
Jadi tipsnya bagaimana?
Mulai sekarang, ketika bangun bersolat malam, mohon, rayu dan rintih kepadanya keinginan yang telah kita gambarkan. "Ya Allah aku ingin bersolat malam ya Allah, aku ingin menutup aurat ya Allah, aku ingin sentiasa solat berjemaah di masjid ya Allah. Namun aku manusia yang lemah ya Allah, aku tidak upaya ya Allah, aku bergantung kepadaMu, Kaulah yang Maha Berkuasa, ......... Kaulah satu-satunya penolong dan pembantuku. Kau bantulah daku ya Allah, bantulah daku ya Allah"
Sepanjang di Mekah dan Madinah, teruskan usaha-usaha meminta pertolongannya. Kita benar-benar bersungguh dan ikhlas mahu melakukannya semata-mata kertana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah. Allah sudah berjanji yang Dia akan membantu mereka yang benar-benar mahu beramal ibadat keranaNya.
Tips saya, "jangan berburuk sangka dengan Allah".
Saya berdoa agar maksud sebenar "kekuasaan Allah" menyerap masuk ke seluruh jiwa dan perasaan. Jika begitu, kita akan terus berdoa dan berusaha meskipun ia mengambil masa yang panjang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan