IKLAN

Selasa, 18 Oktober 2011

Menara Jam Di Mekah Rekaan Anak Malaysia

Makkah: Rakyat Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Makkah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai 'sentuhan anak Malaysia'.

Wan Nazri Wan Aria, 31, adalah jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.

Katanya, menara itu memerlukan 'struktur keluli tidak berat' untuk menyokong jam gergasi itu, dan kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar Syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawab berkenaan.
Uniknya, 14 tenaga pakar Premier Composite Technology itu juga adalah daripada kumpulan anak muda Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia mengerjakan haji dan umrah.
 
Dengan ketinggian 601 meter, ia adalah menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.

Nazri (gambar) bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui kumpulan media Tabung Haji yang menikmati teh tarik di Restoran Felda D'saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini.

Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian tenaga pakar yang melakar sejarah di Makkah, apabila dibabitkan dalam kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di Tanah Suci itu.

Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.

Selain itu, 90 juta kaca mozek keemasan digunakan menghiasi keempat-empat permukaan jam berkenaan.

Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai RM9 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya, Kumpulan Binladin pada Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar Premier Composite Technology akan terus berada di Makkah bagi memantau dan menyelia kerja akhir pembinaan menara jam itu.

Sementara itu, menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata, beliau mengambil masa lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu.

Rakannya, jurutera Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata, bahan komposit adalah satu bidang baru dan tidak banyak syarikat dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu.

Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama menjadi satu kelebihan, dan menurutnya, beliau bersama kumpulannya turut terbabit dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu.

Beliau bersama kumpulan rakannya juga terbabit dalam pemasangan kubah bergerak di Masjid Al-Nabawi di Madinah dan juga kubah di Masjid Putrajaya. – BERNAMA/ GreenBoc

1 ulasan:

  1. Pehhh...la ni sentuhan anak mesia ada diserata dunia..tp yg ni mmg unik bro...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik