Datuk Ahmad Jais yang bulan lalu dimasukkan di Pusat Perubatan Darul Ehsan Shah Alam kerana sesak nafas meninggal dunia pagi ini.
Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9 pagi tadi.
Penyanyi veteran itu yang nama sebenarnya Mohd Jais Ahmad, 75, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan itu akibat sukar bernafas bulan lalu dan dilaporkan sudah sedar dan boleh bercakap walaupun agak terhad pada 1 Oktober lalu.
Ahmad Jais dimasukkan ke unit rawatan separa rapi di pusat perubatan itu pada 22 September lepas akibat sesak nafas sebelum dipindahkan ke ICU.
Penyanyi yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar 1960-an mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lalu tetapi sakitnya mula serius pada malam 20 September sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Seksyen 20 Shah Alam.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim menerusi mesej Twitter mengucapkan takziah atas pemergian seniman itu.
“Salam takziah, Dato Ahmad Jais telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi,” kata beliau.
Dalam pada itu Bernama Online melaporkan Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 9.20 pagi dipercayai akibat masalah paru-paru.
Menantunya, Amirul Izwan Razak, 28, berkata jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam hari ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu “Selamat Hari Raya” dan “Budi Setahun Segunung Intan” yang dinyanyikan bersama Kartina Dahari itu dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak dua minggu lepas kerana kesukaran bernafas.
Allahyarham Ahmad Jais meninggalkan lima orang anak dan isterinya Mas Halilah Mas Nayeem telah meninggal dunia pada 22 Jun 2009.
Persembahan terakhir Allahyarham ialah pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 11 September lalu.
P/s: Al-fatihah semoga Rohnya dicucuri rahmat..Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan