ALOR SETAR: Siapa sangka seorang tukang kasut boleh memperoleh pendapatan hampir sama dengan pegawai kerajaan, malah mungkin lebih tinggi daripada gaji seorang kakitangan yang berkelulusan ijazah.
Tinjauan Bernama di Jalan Selamat, di tengah-tengah bandaraya Alor Setar, mendapati rata-rata tukang kasut di situ memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan.
Terdapat sekurang-kurangnya 12 tukang kasut mencari rezeki di situ dan setiap tukang kasut mempunyai pelanggan tetap.
PENDAPATAN
Seorang tukang kasut yang ditemui, Ahmad Mohtar Baharom, 54, berkata dia kini memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan hanya dengan mengambil upah membaiki kasut.
Dia berkata tidak ramai yang percaya dengan pendapatan yang mampu diperolehinya itu kerana masyarakat beranggapan pendapatan mereka hanyalahumpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.
"Sebelum ini saya bekerja dengan kerajaan tetapi disebabkan saya tidak boleh bekerja di bawah arahan orang, jadi saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan ini secara serius.
"Berbekalkan kemahiran membaiki kasut yang ada semasa belajar di universiti dulu, saya memulakan perniagaan membaiki kasut, walaupun pada masa itu pendapatan yang saya terima hanya sekitar RM30 sehari.
"Saya sentiasa berfikiran positif dan berani menerima cabaran untuk memastikan kerjaya itu mencapai kejayaan. Saya tidak berputus asa dan meneruskan juga pekerjaan ini sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di sini.
Ahmad Mokhtar yang merupakan graduan Diploma Seni Bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memiliki Ijazah Seni Bina dari University of Melbourne, Australia berkata semasa belajar di UiTM, dia bekerja sementara sebagai tukang kasut bagi menampung kos belajar dan mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.
"Jadi apabila saya berhenti kerja, saya memulakan perniagaan ini dan sekarang ini saya boleh menarik nafas lega dengan perniagaan ini," katanya yang memperoleh pendapatan antara RM200 dan RM300 sehari.
PERKHIDMATAN
Ahmad Mokhtar berkata dia turut menaiktaraf perkhidmatan perniagaan itu dengan membuat kasut bagi orang kurang upaya (OKU) selain mengambil kontrak membaiki kasut untuk pasukan badan beruniform di sekolah-sekolah sekitar Alor Setar, jabatan kerajaan dan syarikat swasta.
Beliau yang telah bekerja sebagai tukang kasut selama 15 tahun berkata selain perkhidmatan membaiki, dia turut menyediakan perkhidmatan mengilat, menjual aksesori kasut dan kasut terpakai.
"Kini kami mahu dikenali dengan gelaran 'Shoes Master' atau pakar kasut dan tidak lagi 'tukang kasut' kerana mahu mengangkat martabat kerjaya ini di kalangan masyarakat," katanya.
PANDANGAN RAMAI
Ahmad Mokhtar berkata dia tidak peduli dengan pandangan orang ramai tentang pekerjaannya.
"Apa yang penting pendapatan saya ini halal di sisi agama dan saya tidak mengganggu hidup orang lain. Kalau asyik memikirkan tentang pandangan orang lain, tentu saya tidak boleh berjaya seperti hari ini," katanya.
Seorang lagi tukang kasut, Ahmad Daud, 45, berkata dia mula membaiki kasut sejak 20 tahun lepas dan memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Walaupun sudah berumur 45 tahun, tetapi sehingga kini dia masih membujang kerana cintanya pernah ditolak dengan alasan pekerjaannya tidak mampu untuk membina sebuah keluarga.
"Menjadi tukang kasut perlu banyak bersabar kerana ada juga masyarakat berpendapat kami ini penagih dadah. Mungkin mereka beranggapan begitu kerana kami ini hanya seorang tukang kasut.
"Saya harap agar pekerjaan saya ini mendapat layanan yang sama rata dengan pekerjaan lain dan masyarakat dapat mengubah pemikiran mereka bahawa kerjaya membaiki kasut bukanlah pekerjaan yang hina," katanya.
PINJAMAN BANK
Ahmad berkata dia pernah memohon untuk membuat pinjaman bank bagi meluaskan perniagaannya, tetapi permohonannya tidak pernah diterima. Perkara itu turut diakui oleh kawannya, Ahmad Mokhtar.
Beliau berkata persaingan dalam industri membaiki kasut tidak banyak kerana rata-rata tukang kasut di kawasan itu sudah mempunyai pelanggan tetap. "Mungkin juga disebabkan pandangan rendah orang ramai terhadap pekerjaan kami menyebabkan orang lain tidak memilih untuk menjadi tukang kasut," katanya yang memberitahu dia membuka kedai kasutnya setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 7 malam. - BERNAMA
Kataku : Allah itu Maha Adil ,kalau kita lemah dalam akademik jangan kecewa.. kita boleh ambil bahagian kemahiran , pilihlah tang mana kalian minat ,keluar nanti InsyaAllah , boleh jadi tokey walaupun bisnes kecil janji ia halal dan masyuk.. pelan-pelan kayoh kawan kerana 9/10 punca rezeki itu datang dari Bisnes.Jika niat korang betul , fardhu kifayah ni, korang masuk Syurga sama-sama Nabi tu taknak ke.. Sampai bila kita nak jadi hamba orang ya dak ! saja je aku Bako' korang yang masih malas kerja tu..Disini adalah telaga emas rugilah korang tak rebut..wassalam
Cerita nie memang langsung tak betul..aku adalah sedara kepada dia nie
BalasPadamapa yg tak betul bro?..cuba cerita yg betul..nak tahu mana yang betul..
Padam