IKLAN

Rabu, 1 Februari 2012

Sejarah Kuala Lumpur Menurut Hj. Abdullah Hukum


Sumber gambar-malaysiatravelblog


Ketika meneliti keratan-keratan akhbar lama, saya menemui suatu rencana yang ditulis oleh Adnan Hj. Mohd Nawang tentang sejarah Kuala Lumpur. Rencana ini rasanya ditulis sekitar tahun 80-an atau awal 90an di akhbar Berita Harian. Agak menarik kerana rencana ini ditulis berdasarkan pengamatan seorang tokoh yang pernah tinggal lama di Kuala Lumpur. Tokoh tersebut ialah Hj. Abdullah Hukum iaitu ketua masyarakat Kuala Lumpur pada zaman Sultan Abdul Samad. Jika dibaca rencana ini, anda akan dapat melihat bahawa penjajahlah yang bertanggungjawab meminggirkan bangsa melayu daripada arus pembangunan di Kuala Lumpur. Penjajah jugalah yang memberi ruang yang luas kepada para imigran untuk menjadi kaya raya di Kuala Lumpur. Bacalah dengan teliti dan rasai sendiri peranan penjajah tersebut:


Hj. Abdullah Hukum

Apabila Haji Abdullah Hukum mula-mula sampai di Kuala Lumpur, beliau menumpang tinggal di rumah Haji Abdul Ghani, orang Air Bangis yang berkedai di suatu Lorong yang kemudiannya dikenali sebagai Java Street. Selain itu pekan Kuala Lumpur hanya mempunyai satu lorong lain, iaitu dikenali kemudiannya sebagai Market Street; ketika itu Ampang Street (Lorong Ceti) belum muncul lagi. Di kawasan ini ada kolam-kolam ikan yang dimiliki oleh Sutan Puasa. Beliau bersama Raja Bilah ialah pembesar bagi masyarakat Kuala Lumpur ketika itu. Mereka mengutip hasil dagangan yang lalulintas melalui Sungai Klang atau Sungai Gombak. Cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul).

Di tahun 1850-an rumah kedai di Kuala Lumpur beratap bertam, dinding pelupuh (buluh) dan orang yang berniaga di situ seperti menjual kain-kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu keturunan Rawa dan Mendahiling.

Jalan keluar masuk Kuala Lumpur ialah menggunakan perahu atau berjalan kaki. Perahu dagang mengambil masa di antara 10-15 hari bergalah dari Klang untuk sampai ke Kuala Lumpur, kalau airnya dalam boleh sampai dalam tiga hari.

Bermula dari 1856, penduduk Kuala Lumpur menjadi semakin bertambah. Pembesar-pembesar Melayu mula menggunakan ramai pekerja Cina untuk membuka kawasan lombong di sekitar Kuala Lumpur, terutamanya di Ampang. Akibatnya orang Cina juga mula terbabit dalam perniagaan. Yap Ah Loy, Kapitan Cina (1869-1885) memiliki kira-kira separuh daripada rumah kedai di Kuala Lumpur.

Sehingga awal 1880-an hanya 70 daripada 220 rumah kedai berada di tangan orang Melayu. Menurut Haji Abdullah Hukum, orang Melayu yang kaya pada masa itu kebanyakannya ialah orang Minangkabau seperti Haji Abdul Samad, Haji Abdul Majid Panjang, Haji Abdul Samad Panjang, Haji Abdul Samad Kecil, Haji Muhamad Ali, Haji Osman, Haji Zainal Abdidin, Hajah Fatimah, Haji Abdullah Panjang, Hashim, Baginda Kaya Haji Arshad dan Datuk Maharaja.



Orang Mendahiling pula ialah Sutan Puasa, orang Kerinci ialah Haji Arshad, orang Melaka ialah Datuk Abdullah, orang Pulau Pinang ialah Che Din, orang Acheh ialah Haji Salleh dan seorang dari Linggi serta Che Soh dari Terengganu.

Selain peniaga ada juga orang Melayu yang membuka beberapa kawasan penempatan dan kebun di Kuala Lumpur. Antaranya ialah di Setapak yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Tapak, di Pudu, Bukit Nenas, Petaling, Batu dan di Sungai Putih (Jalan Bangsar).

Antara tanaman penduduk Melayu di tempat-tempat ini ialah padi, sayuran-sayuran, tebu, pisang, sirih dan pokok cepat berbuah. Tanaman kontan yang disukai oleh orang Melayu yang menerokai pembukaan Kuala Lumpur ini ialah kopi dan lada hitam.


Setapak (dulu Hulu Sungai Tapak) dan Air Panas (dulunya Hulu Gombak) adalah kawasan sawah padi milik Sutan Puasa. Beliau pernah mengambil upah membuat tali air selama tiga tahun di Serambut (Batu Lima Gombak sekarang). Ketika itu, Sutan Puasa adalah ketua yang disenangi penduduk tempatan kerana semua orang boleh mengerjakan sawahnya dengan kadar upahan sepuluh gantang padi daripada setiap seratus gantang. 

Abdullah Hukum juga pernah pergi menghadap Raja Laut (Putera Raja Muhamad) kerana ingin meminta sebidang tanah untuk dijadikan kampung baru. Raja Laut memberikan surat kebenaran untuk membuka tanah di Pudu dan menjadi ketua penduduk di situ. Ada ramai orang Kerinchi mengikutnya dan tinggal di Pudu (di kawasan Bukit Bintang sekarang).

Di sana, Abdullah Hukum dan pengikutnya menjalankan aktiviti menanam sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih dan bersawah padi. Abdullah Hukum menjadi Ketua Kampung di Pudu selama tujuh tahun. Dikatakan juga beliau pernah menjadi nakhoda yang mengambil upah membawa beras dengan perahu dari Klang ke Kuala Lumpur. Dia mendapat upah empat puluh ringgit untuk sekoyan guni beras.

Selepas membuka kawasan Pudu, Abdullah Hukum mendapat surat kebenaran daripada Raja Mahmud (Putera Sultan Muhamad) untuk membuka kebun di Bukit Nanas. Beliau juga mendapat surat kebenaran daripada Maxwell dan Raja Laut membuka Sungai Putih (kawasan Jalan Bangsar sekarang).

Ketika tinggal di Sungai Putih, Abdullah Hukum membuka Bukit Candi Putra (kini Bukit Putera) yang menempatkan Kompleks Angkasapuri dan Kampung Kerinchi). Abdullah Hukum diangkat menjadi Ketua Kampung di Sungai Putih dengan persetujuan Penghulu dan Datuk Dagang. Selepas dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kampung dan Penghulu, Abdullah Hukum menghentikan perniagaan kerbau kerana beban tugas semakin bertambah.

Ketika beliau menjadi Penghulu inilah Abdullah Hukum cuba menyatukan tiga kaum utama di situ, Melayu, Cina dan India. Sebagai menghargai kejayaannya itu, dia menamakan jalan utama di situ sebagai Jalan Bangsa,sempena penyatuan ketiga-tiga kaum. Bangsa kemudian bertukar menjadi Bangsar.


Disebabkan penduduk Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur ketika itu agak ramai, maka didirikan juga dua buah masjid. Yang pertama didirikan oleh Encik Baki, orang Melaka yang juga bapa mertua kepada Haji Abdullah Hukum. Ini dinamakan Masjid Melaka kerana ia didirikan atas pakatan orang Melaka dan tukang dan pegawainya juga dari Melaka.


Tempat masjid itu ialah Kampung Melaka (Batu Lane kemudiannya), tetapi masjid itu akhirnya diambil alih oleh masyarakat India Muslim dan sejak itu dikenali sebagai Masjid Keling atau Masjid Chulia. Pada peringkat ini, orang Minangkabau juga mendirikan sebuah masjid lain, iaitu berbetulan dengan gedung Gian Singh pada 1930-an.

Disebabkan adanya dua masjid bagi masyarakat Melayu Kuala Lumpur, telah menjadi perselisihan kerana masing-masing hendak mendirikan Jumaat. Ini hampir menimbulkan perkelahian besar, tetapi dengan campur tangan Sultan Abdul Samad, sembahyang Jumaat diadakan secara bergilir-gilir.

Sejak Kuala Lumpur dibuka hingga 1890-an, Bukit Nanas adalah pusat kuasa bagi masyarakat Melayu kerana wakil Sultan menetap di situ. Jika ada sebarang keramaian tradisional seperti perlantikan ketua pembesar masyarakat Melayu, maka ia diadakan di Bukit Nanas. Menurut Haji Abdullah Hukum, sempena dengan perlantikan Tuk Alam Setapak, Tuk Bela Sungai Cantik, Imam Perahg Muhammad Arif, Raja Utih dan Tuk Dagang Dianjak, (Haji Abdullah Hukum sendiri), satu keramaian selama tujuh hari tujuh malam diadakan menurut adat keramaian zaman dahulu. Menurutnya lagi,

Gelanggang judi pun dibuka setiap hari Jangan disebut sabung dan gelanggang Pencak silat berbagai-bagai rupa dan gaya Serta berpuluh-puluh ekor kerbau tumbang Dan orang-orang yang dilantik itu diarak Ke hadapan Yang Maha Mulia Sultan

Sungguhpun Kuala Lumpur menjadi semakin maju dan berkembang pesat selepas campur tangan British pada 1874, penduduk Melayu yang berjaya mengongsi kemajuan awal Kuala Lumpur sejak 1850-an itu sudah mula tersisih daripada arus pembangunannya pada akhir kurun ke-19. Beberapa alamat perkembangan ini dapat dilihat daripada perpindahan masyarakat Melayu dari pusat bandar Kuala Lumpur untuk membuka perkampungan baru di pinggir kota; maka berakhirnya pemilikan Masjid Melaka oleh orang Melayu Melaka; penutupan perkuburan Islam (Melayu) di kuala antara Sungai Gombak dengan Sungai Klang; terbentuknya Kampung Baru, Kuala Lumpur atas usaha pentadbiran British untuk melihat masyarakat Melayu berterusan berada di sekitar bandar Kuala Lumpur. Mereka berada dalam dunia mereka yang tersendiri, iaitu dibuai nostalgia hidup dalam alam perkampungan yang aman damai.

Haji Abdullah Hukum telah menyaksikan bagaimana Kuala Lumpur berkembang dan disebabkan ia terbabit secara langsung dan tidak lansung dengan kemajuan yang beriaku itu, sudah tentu ia dapat merasai akan proses perubahan yang berlaku di sekitarnya. Ia telah melihat betapa fungsi pembesar Melayu menjadi semakin merosot; kekuasaan British semakin teguh dan meluas bukan saja di Kuala Lumpur, tetapi di seluruh Tanah Melayu dan melihat juga betapa golongan, imigran seperti ketua orang Cina, iaitu Liu Ngim Kong (yang dikatakan oleh Haji Abdullah Hukum bernama Kaptan Keledek, nama Asli) yang menjadi Kapitan Cina kedua Kuala Lumpur dan Yap Ah Loy, kapitan Cina ketiga serta Loke Yew, Loke Chow Kit dan sebagainya menjadi kaya raya.

Golongan imigran Cina, walaupun pada awalnya mereka hanya menjadi pekerja kepada pembesar Melayu dan ada yang mendapat gelaran Seri Indera Perkasa Wijaya Bakti dari raja Melayu seperti Yap Ah Loy, mereka sebenarnya lebih bergantung kepada kuasa kerajaan kolonial British. Apabila harga bijih melambung dan pembukaan ladang getah meningkat serta pembinaan irifrastruktur berkembang, mereka banyak menerima faedah daripadanya. Oleh itu tidak hairanlah kenapa golongan ini dapat menguasai kekayaan bumi Selangor bermula dari 1870-an lagi.

Satu persepsi Haji Abdullah Hukum yang boleh dianggap sebagai bayangan kepada perkembangan Kuala Lumpur dan nasib yang menimpa bangsa Melayu dapat dilihat daripada catatan pengalamannya apabila beliau menziarahi ketua kampung halaman-nya di Kerinchi, Sumatera. Beliau singgah di suatu tempat, iaitu Tapan. Kebetulannya pada hari itu ia-lah Hari Balai Situ (hari perhimpunan pekan), katanya:

“...Maka saya pun berjalan-jalan melihat pekan itu. Saya dapati beribu-ribu manusia berjual beli semuanya bangsa Melayu daripada berbagai-bagai bangsa. Di situ saya lihat segala perniagaan dan pertukangan dipegang oleh orang Melayu semata-mata. Tukang-tukang besi, tukang ayan, tukang tembaga malah tukang pangkis (tukang cukur) pun Melayu belaka. Serba rupa kain-kain boleh didapati semuanya tenunan orang-orang Melayu. Begitu pula hidup-hidupan seperti kerbau, kambing ayam, itik dijual orang Melayu belaka. Pendeknya pada pendapat saya pekan itu bukan sahaja ahli penjual dan pembeli di situ semuanya Melayu tetapi ialah jua warna dan baunya semua Melayu.” 

Begitu persepsi Haji Abdullah Hukum pada Disember 1929, iaitu setelah tinggal di Selangor selama 79 tahun.



Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 1898, Abdullah Hukum menumpukan baktinya kepada putera baginda, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Abdullah Hukum pulang ke Sumatera pada 1929, selepas menjadi ketua kampung selama tujuh atau lapan tahun. Menurut cerita, beliau meninggal dunia pada usia 125 tahun.




Gambar ini diambil pada 16/03/1935, sempena sambutan ulang tahun yang ke seratus usia Hj. Abdullah Hukum atau Datuk Dagang Dianjuk atau Arya Jaya . Lihat pada tulisan jawi yang tertera pada gambar di atas. Rumah yang menjadi latarbelakang gambar ini, merupakan rumah Hj Abdullah Hukum di Kampong Hj Abdullah Hukum. Rumah ini masih wujud lagi pada masa ini. Untuk pengetahuan, yang duduk ditengah-tengah sambil memegang tombak (salah satu senjata yang pernah digunakan dalam perang Selangor) itulah Hj. Abdullah Hukum pada usia ke 100 tahun.

Haji Mahmud, seorang daripada enam anaknya mengambil tugas ketua kampung selepas bapanya mengundur diri. Cucunya, Kamaruddin Mahmud mewarisi pusaka kampung ini hingga sekarang, dan kesan peninggalan termasuklah sebuah rumah milik Abdullah Hukum masih ada di kampung Abdullah Hukum.



Gambar Terbaru Rumah Haji Abdullah Hukum
sumbangan Yatie

Kini, Kampung Abdullah Hukum terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur sudah jauh berubah. Harga tanah dan rumah kediaman di situ melambung berpuluh kali ganda. Sudah tidak ada orang yang bersawah padi atau berkebun sayur di situ lagi. Sungai Klang yang menjadi terusan di Kampung Haji Abdullah Hukum sekarang bukanlah aliran sungai yang asal. Sungai ini dulunya melingkari bahagian Jalan Syed Putra yang kini menjadi tapak pusat beli-belah Mid Valley.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik