IKLAN

Rabu, 1 Februari 2012

Jutawan Muda Enggan Ajar Anak Hidup Mewah


KOMITED...sebagai Pengarah Urusan IKSB Shazrina dan Irfan mempunyai hubungan baik dengan pekerja.
KOMITED...sebagai Pengarah Urusan IKSB Shazrina dan Irfan mempunyai hubungan baik dengan pekerja.
PENAMPILAN wanita kepada empat cahaya mata ini cukup sederhana. Tanpa secalit solekan mahupun gincu pada bibir, wanita berdarah campuran India di sebelah datuk dan Cina sebelah nenek ini masih menawan dengan mengenakan padanan blaus dan skirt labuh.
Walaupun bergelar isteri kepada jutawan Internet, Dr Noor Irfan Khairi Noor Azmi, 34, atau lebih dikenali sebagai Irfan Khairi, Shazrina Yusof, 36, tidak pernah menjadikan status diri untuk bermegah-megah atau tampil mewah sama ada dalam penampilan mahupun kehidupan. 
   
  • FotoKELUARGA...Shazrina bersama suami, Irfan Khairi dan empat anak mereka (dari kiri) Ilham Abadi, Ikhlas Abadi, Cinta Strawberry Abadi dan Kasih Kamilia Abadi yang menjadi tunjang dalam kebahagiaan keluarga.
  • FotoSHAZRINA...sanggup menguruskan keluarga tanpa pembantu rumah.
Buktinya, walaupun memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Irfan Khairi Sdn Bhd (IKSB), dia tidak pernah mempunyai pembantu rumah, malah menguruskan anak-anak dan keluarga dengan bantuan suami.

Walaupun berpendapatan mencecah lima angka sebulan, bagi pasangan suami isteri ini menguruskan keluarga dengan melihat anak-anak membesar di depan mata adalah pengalaman paling berharga dan sukar dicari ganti.

“Saya sendiri memilih untuk menjaga anak-anak tanpa mengambil pembantu rumah atau menghantar mereka ke rumah pengasuh. Ini kerana ketika melahirkan anak pertama di England, semuanya saya uruskan sendiri dan selepas berbincang dengan suami, kami mengambil keputusan menjaga anak bersama-sama selepas kembali ke Malaysia,” kata Shazrina.

Sebagai Pengarah Urusan IKSB yang menjaga pengurusan syarikat termasuk kewangan dan pentadbiran, setiap hari masanya padat diisi dengan urusan pejabat dan kerja rumah.

Rutin harian Shazrina bermula seawal jam 5 pagi dengan menyediakan sarapan, membantu anak-anak bersiap kemudian menghantar empat anaknya, Ilham Abadi, 10, Kasih Kamilia Abadi, 8, Ikhlas Abadi, 6 dan Cinta Strawberry Abadi, 4, ke sekolah.

Kemudian dia bersarapan bersama suami dan terus ke pejabat menguruskan urusan syarikat sehingga anak-anak pulang dari sekolah.

“Biasanya saya memasak hidangan tengah hari sebelum menghantar mereka ke sekolah kerana tidak mahu mengganggu urusan pejabat. Selepas mengambil anak-anak dari sekolah, kami makan tengah hari bersama.

“Sekiranya tiada bengkel, program radio atau televisyen, Irfan bekerja di bilik yang dijadikan pejabatnya manakala saya melakukan tugasan dari rumah kecuali sekiranya ada hal penting barulah saya membawa anak-anak ke pejabat.

“Biasanya ini tidak menjadi masalah kerana di pejabat sudah disediakan bilik khas bersama komputer untuk anak-anak belajar dan bermain,” kata Shazrina yang memiliki kelulusan dalam bidang pengurusan perniagaan dan perhotelan daripada Universiti Birmingham, United Kingdom.

Bagi Shazrina, keputusan membesarkan anak-anak serta menjalankan urusan pejabat di rumah adalah langkah tepat. Sebagai ibu, dia menikmati banyak kelebihan berbanding pasangan lain yang bekerja lapan jam sehari antaranya kepuasan melihat perkembangan anak-anak sejak bayi dan kini bersekolah. Secara tidak langsung jalinan hubungan dengan anak-anak menjadi lebih mesra dan akrab.

“Saya dan suami menjadikan anak-anak sebagai kawan rapat. Kami boleh bercerita dan berbincang apa saja. Malah anak-anak senang meluahkan apa yang terbuku di hati mereka. Inilah kebaikan menguruskan perniagaan Internet dari rumah kerana kami dapat makan bersama, menemani anak-anak ketika belajar, membantu mereka membuat kerja sekolah, bermain permainan video atau beriadah di padang,” kata Shazrina.

Pada masa sekarang, pembelajaran di sekolah menjadi bertambah sukar dan mencabar. Anak-anak dibekalkan dengan pelbagai buku. Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting memantau perkembangan anak-anak di rumah. Misalnya, melihat kerja sekolah serta memberi pemahaman apa yang mereka pelajari di sekolah.

“Ibu bapa tidak boleh meletakkan tanggungjawab kepada guru 100 peratus dan mengharapkan anak-anak akan mendapat apa yang mereka pelajari di sekolah.
Sebaliknya ibu bapa harus memastikan mereka turut berperanan dalam menyumbang bukan saja perkembangan mental malah emosi dan sahsiah diri,” katanya.

Menurut Shazrina, banyak kelebihan bagi pasangan suami isteri yang bekerja di rumah. Antaranya dapat memberi perhatian dalam pendidikan anak-anak seterusnya mewujudkan keluarga bahagia.

Sebagai ibu bapa moden yang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak, Shazrina mengakui adakalanya wujud rasa gusar memikirkan bentuk didikan yang bakal diberikan apabila mereka meningkat remaja. Oleh sebab itu, sejak kecil Shazrina dan Irfan mengajar anak-anak untuk tidak bermewah.

Walaupun berkemampuan membelikan apa saja barangan yang diminta, cara sebegitu akan menyebabkan mereka tidak tahu menghargai kesusahan.

“Sejak kecil saya sudah mengajar mereka menabung menerusi duit sekolah yang diberi setiap hari. Saya katakan, jika duit simpanan sudah cukup barulah dapat membeli barang yang mereka kehendaki.

“Walaupun mampu, kami tidak suka berhabis kepada perkara yang tidak perlu. Jika mahu sesuatu misalnya permainan, mereka harus berusaha memilikinya dengan tabungan sendiri. Misalnya apabila mendapat duit raya, saya membawa mereka membeli permainan mengikut nilai wang yang mereka miliki supaya mereka belajar menghargainya,” jelas Shazrina yang merancang perbelanjaan mengikut keperluan keluarga.

Apabila tiba hari lahir anak-anak barulah dia membelikan hadiah untuk mereka. Dengan cara ini mereka merasakan tidak semua barang dapat diperoleh dengan mudah.

Selain itu sebagai isteri dan ibu yang menguruskan keluarga, Shazrina mengamalkan makan bersama di rumah. Tambahan pula, Irfan lebih suka masakan isteri berbanding makan di luar.

Setiap hari dia memasak dan mencari resipi baru menerusi Internet. Begitu juga dalam soal membeli-belah, Shazrina tidak mengamalkan membeli barangan berjenama, sebaliknya mengehadkan kepada keperluan dan membeli ketika jualan murah.

“Kami amat jarang membeli-belah kecuali apabila perlu, contohnya ketika Aidilfitri. Malah, saya dan suami lebih suka amalkan membeli barangan ketika jualan murah kerana lebih jimat dan berbaloi. Irfan pula sekiranya terpaksa bekerja luar, sama ada di dalam atau luar negara, dia pasti membawa keluarga bersama-sama,” katanya.

Shazrina berharap, dengan didikan dan bimbingan yang diberi kepada mereka sejak kecil, anak-anak mampu menilai perkara yang baik dan buruk. Dalam pada itu, Shazrina dan Irfan sentiasa memberi kebebasan kepada anak-anak melakukan perkara yang mereka minati.

“Sama ada mereka memilih bidang teknologi, seni atau sukan, sebagai ibu bapa kami sentiasa memberi galakan. Namun jika diperhatikan kecenderungan anak-anak adalah lebih kepada bidang teknologi maklumat. Sejak berusia tiga tahun mereka sudah menggemari bidang rekaan grafik dan masing-masing sudah mempunyai komputer sendiri. Anak sulung, Ilham misalnya sudah boleh membersihkan virus komputer dan ingin mengikut jejak langkah ayahnya manakala anak kedua bercita-cita membuka perniagaan suatu hari nanti,” kata Shazrina yang tidak akan menghalang keinginan anak-anaknya sekiranya mereka mempunyai cita-cita di bidang lain.

Bersuamikan seorang yang kaya dan terkenal, sebagai isteri Shazrina tidak pernah gusar malah sentiasa memberi sokongan kepada suaminya meneruskan legasi dalam perniagaan. Sejak mula mengenalinya, Irfan seorang yang sangat kuat bekerja dan menghabiskan masa 16 jam sehari di hadapan komputer.

“Sebagai isteri saya tidak pernah menganggap ia sebagai tekanan. Sebaliknya, kami sama-sama bertukar pendapat untuk memajukan syarikat dan juga kebahagiaan dalam keluarga. Sejak mengenalinya dia tidak pernah berubah. Bagaimana sikapnya sebelum bergelar jutawan begitu juga sekarang. Malah, kasih sayangnya makin menebal dengan kehadiran anak-anak,” kata Shazrina yang mengakui Irfan tidak boleh berjauhan dengan isteri dan anak-anak dalam tempoh yang lama.

Mengulas sikap suaminya di rumah, menurut Shazrina, Irfan seorang yang lembut dan tidak pernah meninggikan suara. Apabila bercakap, dia sentiasa menggunakan pendekatan berhemah dan jarang marah.

“Begitu juga dalam mendidik anak-anak. Dia tidak menggunakan kekerasan sebaliknya pendekatan psikologi. Oleh sebab itu anak-anak mudah mendengar kata walaupun dia bukan jenis yang garang. Prinsip Irfan, apa pun yang berlaku dalam hidup setiap orang perlu berfikiran positif. Sebab itu wajahnya sentiasa ceria,” jelas Shazrina yang menjalinkan hubungan cinta dengan suaminya ketika bertemu di Birmingham, United Kingdom (UK) ketika kedua-duanya bekerja di sana.

Perkenalan diatur rakan masing-masing ketika itu akhirnya menyatukan kedua-dua ke jenjang pelamin.

“Selepas kira-kira enam bulan bertunang dan cukup setahun usia perkenalan, kami kembali ke Malaysia untuk melangsungkan perkahwinan. Kemudian, kami terbang semula ke UK dan kembali bekerja,” ceritanya mengimbas kenangan lama.

Melihat kesibukan sebagai isteri, ibu dan pengarah di pejabat, nyata Shazrina sangat menjaga kesihatan. Walaupun tidak mengamalkan rutin senaman setiap hari, tetapi dia dan keluarga sentiasa bertemu pakar kesihatan bagi memastikan kesihatan suami dan anak-anak dalam keadaan sempurna.

“Sebagai seorang yang aktif saya akan pastikan tubuh berada dalam keadaan baik dengan mengamalkan makanan berkhasiat dan mengambil vitamin tambahan. Saya percaya kesihatan yang baik akan menjadikan seseorang itu produktif sama ada dalam kerjaya dan keluarga,” katanya yang turut menetapkan ciri-ciri keselamatan dalam keluarga sama ada di dalam mahupun ketika keluar rumah./
harianmetro


2 ulasan:

  1. sangat teruja dgn sistem yang mereka ajar kpd anak2.
    sama seperti aku sewaktu kecil hingga dewasa, mak sentiasa
    ajar utk berjimat dan menabung. setiap pemberian duit sekolah
    dan hasil jualan nasi lemak setiap minggu aku tabung sampai
    penuh.. dari situ dpt beli barang2 sekolah dan lain2..

    tahniah Irfan dan Isteri.. be low profile an humble adalah
    satu sikap terpuji dan di pandang tinggi...

    BalasPadam
  2. saya pun sama.Irfan dan Isteri begitu rendah hati,Irfan salah seorang guruku.Dan guru yg utama adahah Ibu kita..Ingat ibu ku sering berpesan jika makan tak dihabiskan.Ia berkata.. " makanlah sampai habih..kito bukan orang sonang,remah(nasik yg jatuh dari pinggan) tu kutip an menangih ia nanti...ekau tak raso musim jopon dulu memang susah..eden Boreh susah nak dapek, makan ubi kayo yo...".itulah pesan ibu ku yang ku ingat sampai sekarang..Omak sihat mak..Rindu dokak omak den..InsyaAllah Senin ni ese' balik Ampang yo.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik