Siapa tak kenal cendekiawan Melayu yang tersohor, Profesor Diraja Ungku Aziz atau lebih dikenali sebagai Pak Ungku ini.
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya lebih 20 tahun itu juga orang penting disebalik penubuhan Tabung Haji dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pada 28 Januari lepas, umur Pak Ungku genap 90 tahun namun beliau masih tetap cergas, sihat dan lebih mengagumkan memorinya masih tetap kukuh dalam ingatan.
Fakta menarik yang ramai orang tak tahu mengenai Pak Ungku, beliau sangat meminati muzik.
Namun yang paling mengejutkan, beliau cukup meminati kumpulan rock terkenal dari Jerman, Scorpions….wow!
Penulis mengetahuinya selepas membaca wawancara beliau dengan Mingguan Malaysia pagi ini.
“… saya juga gemarkan muzik-muzik tertentu antaranya saya meminati kumpulan Scorpion tetapi bunyi muziknya terpaksalah dikurangkan kerana telinga saya memakai alat bantuan mendengar,” katanya.
Bercakap mengenai kumpulan rock tersebut, penulis berani kata yang mereka adalah antara kumpulan hard rock yang paling berjaya dalam sejarah.
Mereka sangat dikenali dengan lagu-lagu ballad yang menguasai ruang-ruang radio di seluruh dunia, melewati muzik psydelic dan Heavy Metal pada album-album awal mereka.
Siapa tidak kenal dengan guitarist hebat mereka waktu itu, Uli Jon Roth yang mendefinasikan solo gitar Scorpions dengan pengaruh Jimi Hendrix.
Dan kini, Scorpions masih unggul walaupun sudah lebih 35 tahun bergelumang dalam dunia muzik rock dan sempat menghasilkan 19 buah album.
Rudolf Schenker (gitaris) misalnya, masih bertenaga di pentas dengan hayunan petikan gitar flying V kesayangannya walaupun sudah berusia 61 tahun.
Vokalis, Klaus Meine, yang juga sebaya usia dengan Schenker membuktikan suara rock balladnya masih unggul.
Vokal Meine masih lunak seperti dulu.
Selain Schenker dan Meine, Scorpions turut dianggotai oleh Matthias Jabs (gitaris), Pawel Maciwoda (bassis) dan James Kottak (dram).
Di mana-manapun, peminat mereka pasti teruja sewaktu Scorpions menyampaikan lagu-lagu klasik ballad seperti Holiday, Always Somewhere dan You And I.
Para peminat seakan tidak puas, apatah lagi bila lagu seperti Still Loving You, Wind Of Change, Rock You Like A Hurricane dan When The Smoke Is Going Down didendangkan.
Di Malaysia, Scorpions pernah tiga kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur dan setiap kali itu jugalah, hampir 10,000 peminat akan ‘menyerbu’ stadium.
Yang pasti, walaupun Scorpions sebuah kumpulan muzik rock, tetapi pada masa yang sama Scorpions tidak memisahkan diri mereka sebagai seniman yang menangkap dan memberi reaksi kepada semua pergolakan sosial dan politik sekeliling mereka.
Dalam salah satu rencana yang penulis pernah baca, Scorpions sebenarnya tidak hanya tahu muzik tetapi ambil tahu tentang politik.
Lagu Wind of Change membuktikan Scorpions mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap hal-hal yang berlaku di sekeliling mereka.
Wind of Change diinspirasikan daripada perubahan besar dalam sistem politik di Eropah Timur termasuk percantuman semula Jerman Timur dan Jerman Barat.
Scorpions juga memperlihatkan patriotisme yang tinggi kepada negara mereka.
Kumpulan yang berasal dari Jerman ini menganggap peristiwa Tembok Berlin perlu diangkat dalam seni popular.
Maka lahirlah lagu yang memberikan reaksi kepada peristiwa besar itu. Menghayati lagu dan lirik Wind of Change adalah melihat peristiwa politik di Eropah Timur itu daripada sudut pandangan seniman.
Namun kini Scorpions telah pun mengumumkan persaraan mereka, tetapi muzik dan lagu-lagunya akan terus melekat di hati dan dijiwa peminat rock di seluruh dunia.
Lagu mereka akan sentiasa berkumandang….legasi itu tak akan pudar sebaliknya akan terus merentasi budaya dan geografi peminatnya. Pak Ungku pasti menyetujuinya! –Oleh SYAHRIL A. KADIR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan