MOHD FARIZ ILHAM diiringi ahli keluarganya di Mahkamah Rayuan Syarie, semalam.
KOTA BHARU: Mahkamah Rayuan Syarie Kelantan mengarahkan seorang pelajar  Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, yang pernah membuat  pengakuan menukar agama kepada Kristian, diberi bimbingan khas oleh  Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). 
Perintah  itu dikeluarkan Hakim Datuk Daud Muhammad yang dibantu dua ahli panel,  Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abd Halim dan Tan Sri Ghazali Abd Rahman selepas  menolak permohonan Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Hashim Deraman  supaya pelajar itu diletakkan di Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam,  Selangor.
Hashim memohon Mahkamah Rayuan membuat semakan semula keputusan Mahkamah  Tinggi pada Mei lalu terhadap Mohd Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 19,  pelajar Diploma Seni Kulinari UiTM Dungun, supaya diletak di bawah  pengawasan Unit Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Hashim berhujah, Unit Dakwah JAHEAIK hanya sebuah jabatan yang tidak  mempunyai kelengkapan khas untuk memberi bimbingan secara khusus kepada  Mohd Fariz Ilham dalam usaha memulihkan akidahnya. 
Berikutan  permohonan Hashim itu, Daud menyoal pelajar berkenaan sama ada  sepanjang bersama pegawai JAHEAIK, dia mengikuti kelas bimbingan akidah  dan Mohd Fariz Ilham memaklumkan, dia sempat menyertai beberapa siri  ceramah. 
“Saya  mengikuti siri ceramah anjuran JAHEAIK dan saya bukan seorang yang  mudah dipengaruhi, selain mempunyai cara sendiri untuk berubah,” katanya  ketika disoal Daud sama ada dia menghadapi masalah atau kesukaran  menerima bimbingan dalam usaha memulihkan akidahnya akibat membuat  pengakuan menukar agama kepada Kristian sebelum itu. 
Mohd  Fariz Ilham berkata, dia menerima pembelajaran agama Islam daripada  kedua-dua ibu bapanya sejak kecil dan mengaku mempunyai kawan bukan  beragama Islam ketika menuntut di UiTM Dungun. 
“Saya  masih menunggu jawapan untuk bekerja sebagai penjawat awam di Jabatan  Kemajuan Islam (JAKIM) sebagai penceramah penduduk Orang Asli. Jika  permohonan ini diterima, ia mungkin dapat membantu saya mengubah orang  lain dan pada masa sama, saya juga boleh mengubah diri sendiri,” katanya  sambil mengaku turut sembahyang lima waktu dan berpuasa. 
Berikutan  pengakuan Mohd Fariz Ilham itu, Daud dan dua ahli panel sebulat suara  memutuskan supaya penjagaan dan bimbingan khas bagi memulihkan akidah  pelajar itu diserahkan kepada MAIK. 
“Mahkamah  Rayuan Syarie membuat keputusan supaya kamu diletakkan di bawah  bimbingan MAIK dan tidak perlu dipindahkan ke Pusat Pemulihan Akidah  Selangor,” katanya. 
“Keputusan ini juga boleh memberi keselesaan kepada dirinya kerana dia juga tidak keluar dari negeri ini,” katanya. 
Akhbar  sebelum ini melaporkan, pelajar itu yang sebelum ini mengaku menukar  agama kepada Kristian, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini,  bahawa dia sudah insaf dan kini kembali memeluk Islam. 
Berikutan  pengakuan itu, Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty memerintahkan  Mohamad Fariz Ilham, dari Pengkalan Chepa, bersembahyang jemaah di  tempat pengajiannya serta melaporkan kehadiran kepada imam masjid itu  selama enam bulan, berkuat kuasa 4 Mei lalu. 
P/s: Orang kita..usah selesa dan tenang dalam negara umat2 Islam ini , segalanya mungkinkan terjadi...dakyah mereka sekarang sudah duduk didalam rumah kita bersama-sama..Tenguk dan Nasihat anak2 didalam bilik tu buat apa ya..?! 
 
 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan