TUNGGU...ribuan penghuni kem IDPs menunggu di luar masjid untuk minta sedekah. 
MOGADISHU:   “Kami sudah beberapa hari tidak makan. Harap-harap di  pagi Syawal ini  ada pihak yang bermurah hati menghulurkan sedekah untuk  membolehkan  kami membeli makanan.”
Itu rintihan sayu seorang ibu muda  bersama dua anak kecil sambil  menghulurkan tangan kepada umat Islam  yang keluar dari Masjid  Isbahaysiga, di sini,  selepas selesai  menunaikan solat sunat Aidilfitri  pagi semalam.
Keadaannya yang  lesu, mata berair dan kesan  air mata yang sudah kering di pipi menambah  syahdu wartawan Harian Metro  ketika menembualnya. Ibu muda dikenali  sebagai Munah Adam, yang baru berusia 25 tahun  itu adalah seorang  daripada ribuan mangsa kebuluran di Somalia  yang  bergolak.
Wanita  seperti Munah terdapat di mana-mana di  jalan raya Mogadishu sejak  penulis menjejakkan kaki ke bumi bergolak ini  mengikuti Misi Bantuan  Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia sejak 25 Ogos  lalu.
Aidilfitri  di Somalia disambut dalam suasana serba  kekurangan dan lebih menyayat  hati ketika golongan lelaki menunaikan  solat sunat Aidilfitri, ribuan  kanak-kanak serta wanita berkumpul di  luar masjid untuk meminta  sedekah. Sejurus saja tamat khutbah raya, semua yang berada di luar  masjid  berpusu-pusu menyerbu jemaah yang keluar untuk meminta sedekah.
Pada  1 Syawal semalam, masjid utama di  negara yang mengalami krisis   kebuluran paling teruk sejak 60 tahun itu, dikunjungi kira-kira 5,000   orang. Bagaimanapun, hanya kira-kira 2,000 yang menunaikan sembahyang   raya, selebihnya adalah penghuni kem IDPs yang datang untuk meminta   bantuan.
Munah  yang menghuni kem penempatan ‘Internal  Displace  Persons’ (IDPs) datang ke Masjid Isbahaysiga bersama dua  anaknya jauh  lebih awal sebelum solat Aidilfitri dilakukan. Menurut ibu malang itu,  Aidilfitri baginya sama seperti hari-hari biasa  dalam kehidupan yang  penuh penderitaan akibat dari peperangan yang  berlaku lebih 20 tahun  lalu.
“Kami lima sekeluarga termasuk  suami, bapa dan dua anak  perempuan sudah lebih sebulan menetap di kem  IDPs. Aidilfitri tiada  makna istimewa buat kami, hanya pada kebiasaannya  ramai umat Islam  bermurah hati menghulurkan sedekah. 
“Tiada  apa pun dalam hidup kami. Tiada rumah, tiada  pekerjaan dan lebih teruk  tiada makanan hingga kami sekeluarga  kebuluran. Setiap hari kami hanya  meminta belas ihsan dari orang untuk  hulurkan sedekah makanan bagi  mengalas perut,” katanya.
Munah  berkata, dia dan keluarganya  berjalan kaki sejauh kira-kira 250  kilometer dari luar Mogadishu ke kem  IDPs untuk memastikan mereka  mendapatkan bantuan makanan bagi  meneruskan kehidupan kerana di kampung  halaman sudah tiada apa-apa lagi.
“Setiap hari kami terpaksa  keluar mencari makanan dengan meminta  sedekah, namun ia tidak  menjanjikan apa-apa kerana kebanyakan masyarakat  di sini juga mengalami  nasib seperti kami,” katanya. (myMetro) 
P/s: Mereka begitu tabah mengharungi segala ujian oleh-NYA,tidak berfikir nak
pakai baju raya warna apa,berapa pasang nak ditempah,apatah lagi berangan nak tukar kereta baru sempena raya tak kisah walaupun terpaksa berhutang .
Segalaya mahu baru..sedangkan mereka berjalan berbatu-batu hanya untuk mencari alas perut sahaja..bersyukur..hulurkanlah sumbangan anda yang termampu oleh anda..
 
 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan