Masuk Pawagam Ikut Cara Islam
AL-QARDHAWI:  MENONTON FILEM DI PAWAGAM MENURUT PERTIMBANGAN FEQAH
Tarikh Edaran: 21 Mei 2011
Peranan  dan pengaruh pawagam (tempat penayangan filem) telah tersebar secara  meluas sejak akhir-akhir ini. Sesetengah pihak masih lagi berpegang  kepada pengharaman (secara mutlak) menonton apa sahaja filem di sana,  manakala didapati kebanyakan remaja meragui hal ini, dan sentiasa  berkunjung ke sana dengan merasakan tiada apa-apa masalah pun yang perlu  dirisaukan dalam hal ini. 
Oleh hal yang demikian, pihak manakah paling  tepat dan benar dalam hal ini, sama ada semua pawagam perlu ditutup atau  tiada masalahnya untuk menonton filem di sana? Dan apakah  perkara-perkara yang perlu diambil perhatian sekiranya dibolehkan  menonton filem di pawagam?
 Hukum menonton filem di pawagam  adalah tertakluk sepenuh kepada apa yang ditayangkan, dan secara hukum  umumnya, adalah harus, dengan syarat; filem-filem yang ditayangkan tidak  mengandungi unsur-unsur dosa, maksiat dan kemungkaran, di samping tidak  menyebabkan kelalaian dari ibadah atau apa sahaja kewajipan agama, dan  mestilah tidak bercampur antara lelaki dan wanita (yang bukan mahram).
 Semua  yang diterangkan di atas adalah ringkasan kesimpulan daripada apa yang  dikatakan oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi, dan di bawah ini,  dinyatakan teks asal daripada fatwa beliau:
 “Tidak syak lagi  bahawa pawagam dan apa sahaja yang lebih kurang sama dengannya adalah  satu alatan untuk menghiburkan diri, dan keadaannya adalah sama  sebagaimana alat-alat lain yang sedia ada, sama ada digunakan dengan  sebaiknya untuk kebaikan, atau digunakan untuk keburukan (kemaksiatan).  Alatan ini tiada sedikit pun masalah padanya, yang dititik beratkan dari  segi hukum, adalah melalui pelaksanaannya dan cara ia diaplikasi.”
 “Demikianlah,  kami (Al-Qardhawi) melihat kepada pawagam, ia adalah halal dan baik,  dan berkemungkinan ia sesuatu yang dianjurkan jika memenuhi  syarat-syarat berikut (sebaiknya):
Pertama: Setiap filem yang  ditayangkan mestilah bersih daripada sebarang unsur-unsur dosa, maksiat  dan kemungkaran, serta apa sahaja yang melibatkan ancaman kepada aqidah,  syari’ah dan adab-adab Islam. Oleh itu, filem-filem yang berunsurkan  keghairahan dunia (semata-mata), menggalakkan kepada dosa atau  mempromosikan jenayah atau membawa pemikiran sesat atau menyeru kepada  aqidah batil, atau apa sahaja yang kita sedia maklum (daripada kerosakan  dan keburukan yang ditayangkan), maka ia (pawagam atau menonton wayang)  menjadi haram kepada semua Muslimin.
Kedua: Tidak melalaikan  daripada kewajipan agama dan dunia. Sebagai contoh; waktu solat lima  waktu, setiap muslim tidak boleh sengaja melewatkan solat (seperti;  solat maghrib) kerana filem yang disaksikannya. Allah berfirman:  ((Celakalah orang-orang yang solat, yang mana sentiasa mengabaikan  solatnya)), Surah Al-Ma’un, ayat 4-5, ditafsirkan “Pengabaian solat”  adalah melewat-lewatkan solat sehingga terlepas waktunya. Inilah yang  menjadi salah satu sebab, Al-Quran mengharamkan arak dan judi, kerana ia  menjadi penghalang kepada mengingati Allah SWT dan juga penyebab kepada  terhalangnya solat.
Ketiga: Perlu dijauhkan setiap penonton  daripada bercampur gaul antara lelaki dan perempuan (bukan mahram),  sebagai penghalang kepada sebarang fitnah, penyekat kepada sebarang  kemaksiatan, terutama tayangan filem di pawagam yang hanya berlaku di  dalam keadaan sangat gelap. Disebut di dalam hadis: “Seseorang yang  mencucuk jarum besi di kepalanya lebih baik daripada dia memegang  seseorang wanita yang tidak halal baginya”.
Wallahu’alam.
Artikel asal di dalam bahasa Arab, diterjemah daripada link ini:
http://www.qaradawi.net/site/topics/printArticle.asp?cu_no=2&item_no=3589&version=1&template_id=232&parent_id=17
-Dikongsi daripada terjemahan Ahmad Zaki Amiruddin yang dikongsi didalam facebook- 
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan