Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat 
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan 
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Surah
 al-Fatihah adalah surah Makkiyyah mengandungi tujuh ayat. Surah yang 
wajib dibaca berulang-ulang setiap rekaat semasa solat. Tidak sah solat 
tanpa membaca surah ini. Surah al-Fatihah juga dipanggil sebagai Umm 
al-Quran (ibu al-Quran) atau Umm al-Kitab (ibu al-Kitab)
Kita
 mengerjakan solat 5 waktu sehari, dan ini bermakna kita membaca 
Al-Fatihah sebanyak 17 kali setiap hari. Keistimewaan dan kebaikan surah
 ini cukup jelas ianya merangkumi maksud yang terkandung di dalam 
keseluruhan al-Quran nul Karim.
As-Shahid
 Hasan al-Banna dalam risalahnya "Mukadimah fi at-Tafsir " berkata  : 
"Tiada syak siapa yang tadabbur al-Fatihah yang mulia ini pasti dapat 
melihat kayanya makna dan keindahannya serta keserasiannya, antara lain 
dapat dilimpahi cahaya pada hatinya."
As-Shahid
 Syed Qutb dalam tafsirnya "Fi Zilal al-Quran" antara lain berkata : 
"Sesungguhnya surah ini mengandungi inti pati akidah Islamiah, tasawur 
Islam, perasaan dan harapan doa kepada Ilahi yang diisyaratkan daripada 
hikmah pemilihan surah ini pada setiap rakaat solat.
Surah
 al-Fatihah adalah ibu al-Quran yang diasaskan dengan maksud-maksud 
secara menyeluruh, terdiri daripada usul ad-din dan cabang-cabangnya 
seperti akidah, ibadah, tasyri’, iqtikad dengan hari akhirat, beriman 
dengan sifat-sifat Allah yang mulia, mengesahkannya dalam beribadah, 
meminta pertolongan dan doa kepada Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah
 kita hayati dan amalkan Surah al-Fatihah ini kerana ianya mengandungi 
beberapa keistimewaan yang tidak terdapat di dalam surah-surah lain di 
dalam al-Quran.
Pertama : Paling Besar (A’zham)
Abu
 Said al-Ma’alli r.a., katanya : “Aku sedang solat, lalu dipanggil oleh 
Rasulullah SAW., maka tak dapat aku menyahut. Sesudah aku selesai solat,
 aku datangi baginda, Rasulullah berkata : Kenapa engkau tidak segera 
mendatangiku ? 
Aku menjawab : Kerana aku dalam bersolat ya Rasulullah.
Berkata
 Rasulullah : Bukankah Allah sudah berfirman : 'Hai orang-orang beriman,
 sahutilah seruan Allah dan Rasul bila menyeru kamu kepada apa yang 
menghidupkan kamu'. 
Kemudian
 baginda berkata : 'Aku akan mengajarkan kepadamu sebesar-besar surah di
 dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid ini'. 
Ketika
 Rasulullah akan keluar dari masjid, baginda memegang tanganku, lalu aku
 berkata : 'Ya Rasulullah, Engkau mengatakan mahu mengajarkan kepadaku 
sebesar-besar surah di dalam al-Quran.'
Berkata
 Rasulullah : 'Ya, ialah al-Hamdulillahi Rabbil “Aalamin (dan 
seterusnya), ialah 7 ayat yang berulang-ulang, dan itulah al-Qur’an 
al-‘Azhim yang telah disampaikan kepadaku” (Hadis Riwayat Bukhari, Abu 
Dawud, an-Nasa’i)
Kedua : Dua cahaya untuk Nabi SAW.
Ibnu
 Abbas r.a. katanya : “Pada suatu hari Rasulullah SAW. duduk bersama 
Jibril, tiba-tiba Rasulullah mendengar suatu bunyi dari atas, lalu 
Jibril menoleh ke atas, kemudian lalu berkata : “Itu sebuah pintu sudah 
terbuka di langit, dan tak pernah pintu itu terbuka sebelum ini”, dari 
pintu itu turun satu malaikat, yang langsung menuju kepada Rasulullah, 
dan berkata : “Bergembiralah engkau (Muhammad) mendapat dua cahaya yang 
aku bawakan ini, yang tak pernah kedua cahaya ini diberikan kepada Nabi 
yang manapun sebelum engkau, kedua cahaya itu ialah Fatihatul-Kitab dan 
beberapa ayat di akhir Surah al-Baqarah, setiap huruf engkau baca dari 
keduanya pasti engkau mendapatkannya”.
(Hadis Riwayat Muslim dan Nasa'i)
Ketiga : Langsung mendapat jawapan daripada Allah SWT.
Siapa yang membaca Surah al-Fatihah, setiap ayat yang dibaca itu langsung dijawab oleh Allah SWT.  
Dari
 Abu Hurairah r.a. katanya : “Kami berada di belakang Imam (bersolat), 
maka berkatalah Imam itu kepadaku : “Bacalah al-Fatihah dalam hatimu, 
kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW. mengatakan : Telah berkata 
Allah Azza-wa Jalla : Aku bagi solat (di sini maksudnya ialah 
al-Fatihah) antaraKu dan hambaKu menjadi dua bahagian (maksudnya : 
seperdua untukKu dan seperdua lagi untuk hambaKu), dan bagi hambaKu apa 
yang mereka minta."
Apabila hambaKu itu berkata : “Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalamin”, 
Allah menjawab : ”HambaKu memujiKu” ;
dan apabila hambaKu berkata : “Arrahmaanir Rahiim” , 
Allah menjawab : “HambaKu menyanjungKu” ; 
dan apabila hambaKu berkata : “Maaliki Yaumiddin”, 
Allah menjawab : “HambaKu memuliakanKu”, 
dan apabila hambaKu berkata “Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin”, 
Allah menjawab : “Ini seperdua untukKu dan seperdua untuk hambaKu, 
bagi hambaKu, apa yang ia minta; 
dan
 apabila hambaKu berkata “Ihdinashshiraathalmustaqiim, shiraathal 
ladzina an’amta ‘alaihim, ghairil maghdhuubi ‘alaihim 
waladh-dhaalliin”, 
Allah menjawab : Ini semuanya untuk hambaKu, dan bagi hambaKu apa yang ia minta”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Keempat : Langsung Dari Arasy
Dari
 Ma’qal bin Yasaar r.a. : Telah berkata Rasulullah SAW  maksudnya : 
“Amalkanlah segala apa yang tersebut di dalam al-Quran, halalkanlah apa 
yang dihalalkannya, haramkanlah apa yang diharamkannya, dan patuhilah 
ia, jangan sekali-kali engkau engkar apa-apa yang tersebut di dalamnya, 
dan apa-apa yang kamu ragukan (maksudnya), kembalikanlah kepada Allah 
dan orang-orang yang mempunyai pengetahuan sesudah meninggal aku nanti, 
supaya diterangkannya kepada kamu, dan berimanlah kamu dengan Taurat, 
Injil dan Zabur, dan apa saja yang dibawa oleh para Nabi dari Tuhan 
mereka, dan akan memberi kelapangan kepadamu al-Quran dan segala 
keterangan yang tersebut di dalamnya, maka sesungguhnya al-Quran itu 
Pemberi Syafaat, sesuatu yang tak pandai bercakap tetapi membawa 
kebenaran, dan kepadaku diberikan Allah Surah al-Baqarah dari ZIKIR 
PERTAMA (Kitab-Kitab Suci yang diturunkan sebelum Musa a.s.) dan 
diberikan kepadaku surah yang berawalan Thaha, Thasin dan Hamim dari 
Papan-papan Musa (maksudnya : TAURAT), dan diberikan kepadaku Surah 
al-Fatihah langsung dari Arasy”.(Hadis Riwayat al-Hakim)
Kelima : Sebagai Ubat dan jampi.
Dari
 Abu Said al-Khudri r.a. “Pada suatu hari kami bersama-sama dalam 
perjalanan, bermalam di satu dusun. Datang kepada kami seorang budak 
perempuan dan berkata : “Sesungguhnya kepala desa ini sakit dan tak 
seorangpun di antara kami yang dapat mengubatinya, adakah diantara 
tuan-tuan yang dapat mengubatinya ?” Salah seorang dari rombongan kami 
berdiri dan mengikuti budak tadi. Kami tidak mengira yang ia dapat 
menjadi dukun. Si sakit itu lalu dijampinya dan sembuh. Kepadanya diberi
 hadiah 30 ekor kambing, dan kepada kami disuguhkan susu. Ketika ia 
kembali kami bertanya : “Apakah engkau membolehkan jampi, dan apakah 
engkau tukang jampi ?” Ia menjawab : “Tidak, saya bukan tukang jampi, 
tetapi aku hanya membacakan Ummul-Kitab (al-Fatihah).” Kami katakana : 
“Kejadian ini jangan dikabarkan kepada siapapun, sebelum kita tanyakan 
kepada Rasulullah s.a.w. lebih dahulu”. Sesudah kami sampai di kota 
Madinah, kami datangi Rasulullah s.a.w. dan kami ceritakanlah kejadian 
itu. Rasulullah lalu berkata : “Siapa tahu bahwa surah itu (al-Fatihah) 
adalah jampi (ubat) bagilah hadiah itu dan berikan saya sebahagian 
darinya”.(Hadis Riwayat Bukhari)
Keenam : Aman Dari Segala Bahaya.
 
Dari
 Anas r.a. : Berkata  Rasulullah SAW. : “Bila engkau baca al-Fatihah dan
 Qul Huwallahu Ahad maka amanlah engkau dari segala sesuatu, kecuali 
dari maut”. (Hadis Riwayat al-Buzar)
Sahabat yang di hormati,
Surah
 Al-Fatihah sebenarnya macam suatu doa dan munajat kita sebagai 
hamba-Nya. Adalah penting untuk kita sentiasa mengharapkan 
pertolonganNya. Konsep kepercayaan kepada Tuhan yang Esa dan konsep 
bergantung kepada Allah SWT. sahaja.
Didalam
 surah ini juga terangkum Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Di dalam
 Tauhid Rububiyah mengandungi sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT., 
nama-nama Allah yang mulia dan dan kekuasaan Allah SWT mentadbir Allah 
semesta dan berkuasa di hari akhirat. 
Di
 dalam Tauhid Uluhiyah pula adalah pengabdian diri sepenuhnya manusia 
kepada Allah SWT, termasuk juga penyembahan, pergantungan dan 
pengharapan manusia kepada-Nya. 
Jalan
 yang lurus dalam surah ini bermaksud jalan hidup Islam yang sempurna 
dan lengkap. Jalan yang membolehkan manusia merasai nikmat iman, jalan 
ketaataan, jalan beramal dan beribadah hanya kerana Allah, jalan 
melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan, sebagaimana yang dikehendaki 
dan diredhai oleh Allah SWT.  Jalan-jalan lain yang bengkuk adalah jalan
 syaitan yang akan menyesatkan manusia.
Siapakah
 golongan yang diberi nikmat oleh Allah SWT.? Allah SWT menjelaskan 
dalam surah An-Nisa' bahawa mereka yang diberi nikmat adalah para Nabi, 
para shiddiqun, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh 
seperti didalam firman-Nya yang bermaksud :"Dan barangsiapa yang menaati
 Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang 
yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para shiddiqun, 
orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah 
teman yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah karunia dari Allah, 
dan Allah cukup mengetahui." 
(Surah An-Nisa' ayat 69 - 70).
Di
 akhir surah ini minta dijauhi daripada orang yang dimurkai Allah SWT 
dan orang yang sesat. Siapkah orang yang di murkai Allah SWT dan orang 
yang sesat? 
Menurut
 Hadis Nabi  SAW.: "Orang-orang yang dimurkai" itu ialah kaum Yahudi, 
dan “Orang-orang yang sesat” ialah kaum Nasrani.” (Tafsir Al-Alusi, 
1:90).
Sahabat yang dikasihi, 
Marilah sama-sama kita tadabbur dengan surah al-Fatihah , faham makna 
dan tafsirnya supaya kita mendapat khusyuk semasa menunaikan solat 
(ketika membaca surah al-Fatihah), seolah-olah kita sedang berbicara 
secara langsung dengan Allah SWT. Amalkan juga membaca surah ini ketika 
di luar solat kerana hikmah dan kebaikannya cukup besar akan terpelihara
 daripada sebarang musibah dan bala dan dapat menjalin hubungan hati 
dengan Allah SWT.
 
abubasyer