
Beberapa  siri insiden serangan asid di Lembah Klang baru-baru ini menimbulkan  ketakutan di kalangan orang awam, terutamanya kaum wanita.
Sehingga  kini, sejumlah 23 kes dilaporkan sejak Mac namun orang yang  bertanggungjawab masih bebas.Namun, seorang pakar kimia, Prof Dr  Zainudin Arifin, berkata orang ramai tidak seharusnya berasa cemas dan  terancam dengan insiden berkenaan.”Mereka seharusnya  keluar dan pergi bekerja seperti biasa dan pada masa sama mereka  hendaklah mengambil tindakan dan langkah keselamatan. Kesan akibat  simbahan asid boleh dikurangkan jika mereka tahu apa yang hendak  dilakukan,” katanya hari ini.
Bagi  mencegah kesan penghakisan teruk dan kecacatan kekal pada kulit,  Zainudin daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya  menasihatkan kaum wanita supaya membawa sebotol air dalam beg tangan  mereka dan menggunakannya untuk mencuci simbahan asid jika kejadian  seumpamanya berlaku kerana air adalah bahan pelarut mudah mencairkan  kimia.
“Cuci  bahagian badan dan bersihkan simbahan asid dengan menggunakan sebanyak  air yang mungkin kerana masa amat kritikal ketika ini. Jika anda  melengahkan pencucian asid itu, kesan lebih buruk dan menakutkan akan  berlaku.
“Dapatkan  sebanyak air dan berada di dalam aliran air sekurang-kurangnya 15  minit, lebih baik jika dapat 30 minit, kemudian tukar pakaian dan hanya  selepas itu anda dapatkan rawatan,” katanya.
Beliau  berkata, jika serbuk penaik, sodium bikarbonat boleh diperoleh, mangsa  simbahan asid boleh mencampurkannya dengan air dan meletakkan di kawasan  yang terkena simbahan asid bagi meneutralkan kesan asid berkenaan.
“Jika  dalam keadaan paling teruk di mana tiada air boleh diperoleh, lap  kawasan yang terkena simbahan asid dengan sebersih-bersihnya,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kaum wanita menggunakan alat pelindung keselamatan seperti kaca mata besar.
Mengenai  insiden simbahan asid yang berlaku di sekitar Lembah Klang ini,  Zainuddin percaya bahan yang digunakan dalam serangan berkenaan bukan  larutan beralkali seperti yang dilaporkan tetapi adalah asid cair.
Katanya,  terdapat empat jenis asid yang lazimnya mudah diperoleh di pasaran  iaitu asid formik, asid hidroklorik, asid sulfurik dan asid nitrik.
Beliau  berpendapat bahawa cadangan kerajaan untuk mengawal jualan asid di  pasaran tidak sesuai dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah  berkenaan.
“Jika ada seorang yang lemas, adakah kita akan melarang semua orang daripada berenang?” katanya.
Beliau  berkata cadangan itu juga tidak membantu kerana asid adalah bahan  penting bagi kebanyakan industri pembuatan dan pertanian.
Asid boleh diperoleh dengan mudah di kedai menjual alat perkakasan dan ia juga digunakan untuk tujuan pembersihan.
“Mengenai  kegunaan asasnya, asid sangat berkesan sebagai agen bagi membersihkan  kotoran. Sebagai negara perindustrian, kita menggunakan banyak asid  terutamanya asid sulfurik yang juga sejenis bahan yang paling banyak  dikeluarkan dan bahan penghakis paling berkesan,” katanya.
Menteri  Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul  Jalil, dilaporkan sebagai berkata beliau akan mencadangkan kepada  Kabinet untuk menghadkan penjualan asid berikutan insiden yang  berterusan berlaku itu. – BERNAMA
 
 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan