
Daripada  200,000 bekalan ayam segar yang dikeluarkan di Johor setiap hari,  kesucian 30 peratus daripadanya diragui kerana ada pengusaha pusat  penyembelihan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Agama  Johor (JAJ).
Penolong  Pengarah Penyelidikan Unit Halal JAJ, Samsudin Paimi, berkata, terdapat  beratus-ratus peniaga yang memasarkan kira-kira 60,000 ayam segar  setiap hari yang kesuciannya diragui.
“Malah  ada penyembelihan dilakukan di tempat terbuka yang turut dimasukianjing  dan binatang lain,” katanya kepada pemberita selepas serbuan terhadap  dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan  Jalan Pontian-Johor Baharu di Pontian awal hari ini.
Dalam  serbuan dari 1 pagi hingga 3 pagi itu, JAJ mendapati premis terbabit  masing-masing tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah  ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun  lepas.
  Samsudin  berkata, JAJ khuatir dengan pertambahan permintaan terhadap ayam segar  menjelang Aidilfitri, pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk  mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat  tempoh selain tidak mengikut piawaian JAJ.
Turut  membimbangkan JAJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki  tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kedah penyembelihan dan  pemprosesan ayam sambil lewa.
“Kita  tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi  kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci,” kata  Samsudin.
  Samsudin  berkata JAJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang  akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai  penyembelihan serta status halalnya.
Mengikut  Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan  dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah  menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi  kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua. —  Bernama
 
 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan