KEMERIAHAN bulan puasa di  negara kita dikaitkan dengan penganjuran bazar Ramadan yang menyediakan  pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dari satu sudut, ia memberi  kemudahan kepada mereka yang tidak sempat menyediakan makanan dan  membuka peluang perniagaan. 
Namun, yang tidak sedapnya  apabila bazar Ramadan terlalu menjadi tumpuan hingga menghilangkan  hikmah di sebalik perintah umat Islam berpuasa yang menuntut mereka  mengawal diri daripada makan, minum serta melakukan perkara membatalkan  puasa.
Pada masa sama, adanya bazar Ramadan yang terlalu banyak bilangannya menjurus kepada pembaziran. 
Maklumlah, apabila rambang  mata, kita lebih cenderung mengikut nafsu ketika membeli tetapi tiba  masa makan, banyak mana sangat yang terlarat.
Terlalu  memikirkan juadah yang sudah dibeli untuk berbuka puasa juga  menyebabkan kita lupa mengambil kesempatan memohon doa sebelum masuknya  waktu berbuka puasa atau azan Maghrib, iaitu waktu mustajab berdoa. 
Sementara menanti alunan  azan, sebaiknya waktu lima minit direbut bagi memohon hajat kepada Yang  Maha Esa. Alangkah ruginya jika waktu itu dibazirkan dengan berbual  kosong atau hanya menonton televisyen. 
Sepanjang Ramadan langit  dibuka setiap saat, pintu syurga dibuka seluas-luasnya sementara pintu  neraka ditutup. Justeru, mintalah apa saja yang kita hajatkan kerana  dengan izin Allah, permintaan itu akan dimakbulkan. 
Jika kita belum pernah  berdoa sementara menanti waktu berbuka, dalam minggu akhir Ramadan ini,  marilah jadikan ia amalan wajib. Luahkan segala apa yang terbuku dalam  hati, mudah-mudahan Allah memakbulkan permintaan kita. 
Begitu juga apabila menjamah  juadah, hendaklah dilakukan mengikut tertib, jangan terlalu gelojoh  walaupun tidak dinafikan sudah penat seharian kita menahan nafsu makan.  Sebaiknya dimulakan dengan makan kurma mengikut sunnah Rasulullah SAW.  Kemudian berhenti sekejap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum  menikmati juadah berat bagi menjana tenaga untuk menunaikan tarawih. 
Bagi mereka yang menghidap  penyakit, pastinya perlu berhati-hati di bulan puasa ini supaya  kesihatan terpelihara. Tambahan pula bagi yang berkemampuan berpuasa,  akan berdepan cabaran hebat. 
Rasanya banyak kali sudah  saya ulangi, yang penting ialah mereka perlu reda dengan ujian penyakit  yang Allah datangkan kerana Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi  kemampuan mereka. 
Dari aspek penyembuhan pula,  itu semua terserah kepada Allah kerana jika esok kata-Nya seseorang itu  sembuh daripada penyakit, maka esok datang berita baik itu dan begitu  juga jika sepuluh tahun lagi, selama itulah seseorang itu perlu  mengharunginya. 
Namun, walaupun tempoh  ditetapkan, kita hendaklah reda, berusaha, yakin dan seterusnya  bertawakal kepada Allah. Kata kuncinya ialah kesabaran dan bagi  sesetengah kita, sabar ada hadnya yang akhirnya menyebabkan mereka  berputus asa. 
Lagi satu, hendaklah yakin  dengan mukjizat al-Quran bagi yang beramal dengan al-Quran sebagai  kaedah rawatan. Ada yang mengharap cepat sembuh dan apabila hasilnya  tidak seperti diharapkan, mereka mengambil keputusan mencuba kaedah lain  pula. 
Berdasarkan maklum balas  daripada mereka yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam  Al-Hidayah, 90 peratus memberitahu dapat merasai perubahan walaupun  sedikit selepas mengamalkan surah yang diberi. 
Jika dulu kebas lima jari,  sekarang tiga jari sudah boleh digerak-gerakkan. Dulu sakit tengkuk  disebabkan gangguan, sekarang sudah boleh tidur dengan selesa. Seperti  saya kata, kita hanya berusaha tetapi semua terserah kepada Allah yang  lebih Mengetahui. 
Saya juga maklum dengan  aduan sesetengah pihak yang datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah  yang terpaksa menunggu lama, kami berusaha untuk memberi perkhidmatan  yang terbaik dan sebarang kelemahan harap dapat dimaafkan. 
Mungkin ada yang sedang  menanti temu janji yang sudah dibuat. Sementara menanti, anda juga boleh  mengamalkan ayat al-Quran yang umum untuk penyakit tertentu seperti  surah al-Israk, ayat 40-45 bagi penyakit jantung. 
Untuk penyakit kencing manis  boleh baca surah al-Anbiya, ayat 62 hingga 73 dan bagi penyakit saraf  atau tulang boleh amalkan surah al-Mukminun, ayat 60 hingga 80. 
Semoga kesungguhan kita  menjiwai mukjizat al-Quran pada Ramadan yang menjanjikan rahmat,  keampunan dan pembebasan dari api neraka, Allah meringankan ujian yang  diberi kepada kita dan beroleh kesihatan diharapkan. 
berita harian/-
      
 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan