Oleh: Solihin Zubir
1. Kebanyakan ulamak muktabar seperti Dr. Yusof Al-Qadhowi, Dr. Ali Jumaah, Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dalam kitabnya ( فصول من السياسة الشرعية ), Syeikh Salman Fahd Audah dan Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali serta kebanyakan ulamak masa kini berpendapat HARUS mengadakan demostrasi aman lebih-lebih lagi ia dibenarkan oleh perlembagaan sebagai cara untuk rakyat menuntut keadilan dan menyuarakan hak serta pendirian mereka.
Malah gabungan suara rakyat yang ramai lebih didengari dari menyuarakannya bersendirian. Ini berdasarkan Firman Allah bermaksud : "Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan perkara kebaikan dan taqwa, jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Maidah : 2).
Dalam kaedah fiqh juga ada menyatakan : "Asal sesuatu perkara itu harus selagi tidak ada dalil qat'ie dan sorih yang mengharamkannya.
2. Diriwayat dari ibnu Abbas bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ketika menjawab soalan ibnu Abbas tentang kenapa dia digelar Al-Faruq oleh Rasulullah S.A.W . Ini kerana disebabkan keberaniannya bersama dengan Sayyidina Hamzah memimpin dua saff muslimin yang turut disertai oleh Nabi S.A.W berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk menzahirkan Islam dan kekuatan muslimin di Mekah. (تاريخ دمشق /حلية الأولياء)
3. Demonstrasi walaupun dilihat berasal dari Barat tetapi intipatinya tidak bercanggah dengan dasar Islam dan erti kemanusiaan. Malah himpunan umum menjadi salah satu syi'ar islam dalam menzahirkan' izzah, kekuatan dan kesatuan umat Islam seperti himpunan ketika solat berjemaah, hari raya dan ketika ibadat haji.
4.  Diriwayatkan dari ibnu Abbas, Hadis yang dikeluarkan oleh Syaikhan   (Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi S.A.W suka menyamai Ahli Kitab pada   perkara yang tidak ada perintah tertentu berkenaannya. Malah Rasulullah   S.A.W ketika membina parit dalam perang Khandak,membuat cop dan asal   kaedah jual beli salam juga mengambil contoh dari orang bukan islam.   Sistem Kharaj juga diambil oleh sahabat dari negara Parsi.
5.  Demonstrasi bukan bermaksud menentang atau mengangkat senjata   menghadapi pemerintah. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk   menasihati pemerintah dan menegahnya dari terus melakukan mungkar serta   ketidakadilan terhadap rakyat.
Ini  berdasarkan dua Hadis Rasulullah S.A.W : "Agama itu nasihat". Adapun   Hadis yang kedua : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah   menegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, tegurlah menggunakan   lidah dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan ia selemah-lemah   iman".
6.  Kaedah المصلحة المرسلة " dan " للوسائل حكم المقاصد " juga menjadi   hujjah selagi tujuan iaitu maslahah yang mahu dicapai diakui oleh Islam   serta mendatangkan manfaat kepada rakyat. Antara maslahah yang  diperakui  mendatangkan padanya manfaat seperti nasihat kepada  pemerintah,  meneguhkan pendirian umat Islam pada perkara hak dan  memperkukuhkan  suara rakyat menentang ketidakadilan pemerintah.
Maka  cara ini dikira harus seperti hukum tujuannya juga. Dengan cara ini   juga, ia dapat menolak kerosakan (مفسدة) dalam sesebuah masyarakat   seperti rakyat akan selamanya dilihat lemah dan boleh ditindas sesuka   hati oleh pemerintah dan rakyat akan terus diperintah oleh pemerintah   yang zalim.
7.  Di Malaysia contohnya,terdapat peruntukan undang-undang yang   memberikan kebebasan bercakap,berhimpun dan berpesatuan kepada rakyat   seperti yang termaktub di dalam Perlembagan Perseketuan Malaysia pada   perenggan (a),(b) dan (c) di dalam fasa 1,perkara 10,bahagian 2.   Peruntukan ini jelas membenarkan himpunan aman diadakan selagi tidak   melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. [KLIK SINI]
8.  Terdapat sesetengah ulamak yang berpendapat HARAM mengadakan   demonstrasi dengan beberapa hujjah seperti perbuatan ini tidak pernah   dilakukan oleh para sahabat dan ia dikira perkara bida'ah yang ditolak.
Cara  ini juga diambil dari Barat dan melakukannya seolah-olah mnyerupai   orang bukan islam sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa   yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari kalangan mereka". Ayat   Al-Quran yang mewajibkan taat kepada pemerintah dan kaedah "" سد الزريعة   juga menjadi hujjah pendapat ini.
9.  Hujjah pendapat ini dijawab oleh ulamak seperti Dr. Sa'aduddin Mus'ad   Hilali di dalam kitabnya( الجديد في الفقه السيا سي المعا صر ) bahawa   demonstrasi tidak termasuk perkara bida'ah yang ditolak kerana pernah   dilakukan dan dipimpin oleh Saidina Umar dan Saidina Hamzah ketika zaman   Rasulullah S.A.W. Cara ini juga walaupun dilihat menyerupai perbuatan   bukan Islam tidaklah menjadikan ia haram kerana Islam hanya  mengharamkan  menyerupai bukan Islam pada perkara yang bertentangan  dengan sesuatu  Nas daripada syara' seperti cara ibadah mereka.
Demonstrasi  juga tidak menafikan suruhan mentaati pemerintah disebabkan  ia  dibenarkan oleh perlembagaan. Maka himpunan tersebut boleh dilakukan   selagi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Diriwayat  dari Imam Bukhari sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : "  المسلمون عند  شروطهم".Kewajipan mentaati pemerintah juga hanyalah kepada  perkara taat  dan bukan maksiat seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :  "Tidak ada  ketaatan pada makhluk pada perbuatan maksiat kepada  pencipta".
10.  Adapun hujjah "menutup ruang" yang boleh mendatangkan kerosakan   seperti kerosakan harta awam, perbalahan dan kerugian peniaga-peniaga   dijawab oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kaedah ini tidak harus   digunakan sehingga menjadi wasilah untuk melarang usaha mencapai   maslahah yang lebih utama dan diakui oleh Islam.
Ini  kerana kerosakan yang dijangka berlaku boleh diatasi dengan kawalan   pihak keselamatan dan janji dari penganjur untuk tidak melakukan   kerosakan dan perbalahan sepanjang himpunan aman. Malah beberapa siri   himpunan yang telah lalu membuktikan peniaga-peniaga tidak mengalami   kerugian bahkan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dari hari-hari   biasa.
Wallahu 'alam...

 
 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan