PETALING  JAYA 5 Jun 11: Pelakon Azmil Mustafa mendakwa sukar bagi seseorang itu  untuk menjadi mukmin sejati sekiranya mereka bergelar artis. Dia berkata  selama bergelar artis dia mengakui banyak dosa yang telah dilakukan.
"Saya  rasa agak susah untuk menjadi seorang mukmin apabila hidup sebagai  seorang artis kerana seperti yang kita tahu kehidupan artis lebih  terdedah kepada keseronokan.
"Saya  akui pelbagai dosa yang telah saya lakui sepanjang menjadi artis.  Sehingga sekarang, ada yang masih menganggap saya sebagai artis dan  mengenali saya dengan nama Ali Setan," ujarnya dalam satu temubual di  Hotel De Palma, Ampang ketika meraikan mangsa Madrasah At-Taqwa, Hulu  Langat.
Tambahnya: "Saya menganggap situasi ini sebagai lumrah hidup. Jadi, saya perlu berhati-hati dalam menjaga tingkah laku.
"Saya juga gemar bergaul dengan rakan artis yang suka berkongsi tentang kehebatan Rasulullah seperti kumpulan Rabbani."
Bagaimanapun,  Azmil belum bersedia untuk berdakwah kepada rakan artis lain kerana  bimbang sekiranya timbul konflik pada masa hadapan.
"Saya sudah faham dan lalui pengalaman menjadi artis, jadi saya takut untuk berdakwah di kalangan mereka.
"Lagipun  saya belum cukup kuat untuk bergaul dengan mereka semula. Saya rasa  halangannya terlalu berat dan bimbang andai saya gagal untuk berdakwah  kepada mereka," ujarnya lagi.
Sejak  berubah, dia membawa diri ke Syria dan menetap di sana bersama-sama  keluarga selama lima tahun. Menyentuh tentang perancangan masa depan,  Azmil yang kembali ke negara ini sejak lima bulan lalu memilih untuk  menetap di sini selama-lamanya.
"Saya akan melakukan kerja yang menjurus ke arah kebaikan dan terlibat dengan pertubuhan yang bergerak secara bebas.
"Saya  merancang untuk melakukan sebuah majlis dengan media untuk menceritakan  tentang pengalaman saya selama berada di Syria," ujarnya yang turut  mengakui hilang punca pendapatan sepanjang lima bulan kembali ke negara  ini.
Dia yang baru menjalani pembedahan jantung akui sering menghadapi masalah kesihatan.
"Saya  tetap bersyukur dengan kurniaan Allah dan setelah menjalani pembedahan  jantung, doktor menasihatkan saya agar tidak terlalu aktif dan banyak  berehat di rumah.
"Bagaimanapun,  saya akan meluangkan masa jika dijemput memberikan usrah dan berkongsi  pengalaman yang dilalui sebelum ini. Saya akan cuba bawakan perspektif  yang kontemporari seiring dengan dunia sekarang," jelasnya.
Komen  weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, Alllah SWT masih sayangkan Azmi.  Dia tentu bentangkan laluan mennuju taqwa. Dia turunkan penyakit, Dia  berikan ubatnya. Dia tingkatkan darjat seseorang, Dia juga tambah ujian  dan kematangan. Itulah anugerah Allaah SWT.. (IH)

 
 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan