Petanda Seseorang 
Mempunyai Saka | SAKA dikaitkan dengan mewarisi jin yang membolehkan 
makhluk halus itu menjadikan pewarisnya dengan pelbagai kuasa ghaib 
seperti memiliki kecantikan, kekuatan luar biasa atau menjadi individu 
berpengaruh.
Hukum mewarisi dan
 menggunakan saka adalah haram di sisi Islam. Biasanya saka diwariskan 
kepada anak atau cucu kepada pemilik saka.
Saka adalah ilmu 
keturunan yang dipusakai ada hubung kaitnya dengan jin, sama ada dibela,
 dibuat sahabat secara sedar atau tidak oleh pemiliknya.
Gejala saka amat 
berbahaya dan mampu merosakkan kehidupan seseorang. Maka, penting kita 
menyiasat diri dan keluarga daripada mewarisi saka.
Masyarakat Melayu 
memahami saka sebagai ilmu yang dipusakai daripada waris teratas kepada 
waris di bawahnya. Contohnya daripada ibu atau bapa kepada anak, 
daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucunya, atau 
seseorang dalam lingkungan keluarga.
Kesan jangka 
panjang jika seorang yang mewarisi saka ialah mampu menjadikan seseorang
 itu mendapat sakit sehingga koma atau lumpuh.
Umumnya, 
kebanyakan orang yang memiliki saka berkebolehan merawat orang yang 
sakit disebabkan jin dan syaitan. Cara rawatannya dengan menurun 
menggunakan mantera atau jampi.
Bacaan dan amalan 
yang dilakukan itu amat meragukan serta sukar difahami. Ia bertentangan 
dengan syariat kerana mempunyai unsur syirik yang boleh merosakkan 
akidah.
Jika seseorang itu
 menyatakan hasratnya pada waris tertentu, seperti anaknya yang dia 
adalah orang yang paling sesuai atau ‘layak’ mewarisinya.
Penurunan ilmu 
saka boleh berlaku secara tidak langsung apabila waris menerima barang 
tertentu peninggalan si mati seperti barangan kemas, keris, lembing atau
 tombak.
Syaitan akan 
sentiasa memastikan setiap manusia atau orang yang mewarisinya sesat 
ketika sampai ajal mereka. Pada mulanya memang saka kelihatan seperti 
memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya seperti melindungi diri, 
keluarga dan harta benda tetapi itu semua hanya tipu helah untuk 
menyesatkan manusia.
Pelbagai kesan 
buruk dan masalah akan timbul dalam jangka masa panjang di mana 
kemuncaknya menyebabkan manusia itu berdosa besar kerana mensyirikkan 
Allah SWT.
Antara kesan buruk
 memelihara saka ialah pemiliknya menghadapi seksaan yang amat perit 
ketika menghadapi saat kematian kerana roh mereka sukar untuk keluar 
daripada jasad menyebabkan mereka terseksa ketika menemui ajal.
Situasi lebih 
dahsyat berlaku apabila pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi saka 
yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.
Gangguan saka juga
 menyebabkan seseorang dilanda penyakit misteri. Justeru ahli keluarga 
atau sesiapa saja dilarang menerima warisan saka daripada pemilik asal.
Bagi mereka yang 
sudah menerima, berusahalah untuk memutuskan hubungan dengan makhluk 
terbabit dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam yang 
menggunakan al-Quran dan sunnah sebagai kaedah rawatan.
Pengamal 
Perubatan, Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie, berkata
 saka adalah perjanjian yang dibuat antara nenek moyang dengan jin 
laknatullah untuk mendapat kehebatan, kekuatan, kecantikan, perlindungan
 tertentu melalui perjanjian tertentu dalam tempoh yang ditentukan 
(tujuh keturunan).
“Saka berada dalam
 tubuh badan manusia sejak sekian lama hingga menjadi sebati dengan 
manusia. Ia berlaku sama ada seorang itu mengetahuinya ataupun tidak.
“Jin berkenaan 
ditinggalkan nenek moyang pembawa saka apabila mereka meninggal dunia. 
Ketika hidupnya, mereka berkawan atau membela jin berkenaan yang 
dikenali dengan pelbagai nama dalam masyarakat kita seperti polong, 
pelesit, toyol dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata terdapat kronologi bagaimana jin saka berpindah selepas kematian tuan punya saka berkenaan.
“Selepas nenek 
moyang yang membela jin terbabit meninggal dunia, jasadnya mati selepas 
roh keluar dari badannya. Namun Begitu, jin yang berdamping dengan nenek
 moyang itu tidak mati kerana umur jin bukan seperti manusia.
“Apabila jasad 
perumah saka dikebumikan, jin akan bebas seperti keadaan layang-layang 
yang terputus talinya. Maka ia akan berkeliaran di atas muka bumi ini 
untuk mencari pewaris baru,” katanya.
Sharhan berkata kebiasaannya jin berpindah kepada anak cucu yang mengamalkan jampi tertentu yang diambil daripada si mati.
“Saka turut 
berpindah kepada waris seperti anak atau cucu yang menyimpan barang 
peninggalan si mati. Mereka berpotensi besar mewarisi saka disebabkan 
pernah tinggal serumah bersama si mati.
Petanda Seseorang Mempunyai Saka
Gejala waktu tidur
- Susah tidur malam.
- Sering terjaga pada waktu malam dalam keadaan cemas dan takut.
- Mimpi buruk yang dikenali sebagai kabus seperti mimpi melihat sesuatu yang mengancamnya kemudian menjerit meminta pertolongan tetapi tiada siapa mendengarnya.
- Mimpi perkara menakutkan dan menyeramkan.
- Mimpi melihat binatang seperti kucing, anjing, unta, ular, serigala, tikus.
- Bunyi gigi berlaga ketika tidur.
- Ketawa, menangis dan menjerit-jerit ketika tidur.
- Berdiri dan berjalan ketika tidur.
- Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
- Mimpi berada di kawasan kotor atau di tanah perkuburan.
- Mimpi melihat budak kecil.
- Mimpi melihat salib atau gereja.
- Merintih dan menangis ketika tidur.
Gejala waktu jaga
- Selalu pening kepala.
- Lalai mengingati Allah SWT
- Sering lesu dan malas.
- Rasa sakit di salah satu anggota badan.
- Sakit di belakang terutamanya tulang belakang.
- Lenguh sendi-sendi utama.
- Mempunyai ketumbuhan yang sukar diubati.
- Mudah panik apabila berhadapan dengan sesuatu ujian.
- Jiwa sentiasa lemah dan tiada motivasi untuk meneruskan hidup.
- Mudah marah dan panas baran.
- Emosional dan terlalu sensitif.
- Terasa seperti terdapat sesuatu di bawah tapak kaki seperti terpijak batu atau telur.
- Sentiasa mengantuk terutamanya dalam majlis ilmu.
“Selain itu, 
golongan yang menjadi sasaran kepada saka adalah anak cucu yang cetek 
pengetahuan agamanya, sentiasa melakukan maksiat, meninggalkan ibadat 
seperti solat, mereka yang lemah fizikalnya serta memang terlalu 
menginginkan sangat kehebatan serta kelebihan nenek moyang mereka,” 
katanya.
Beliau berkata memang terdapat pertalian erat antara jin dan saka kerana jin yang diwariskan itu umpama harta peninggalan.
“Terdapat hadis 
daripada Abu Tha’labah berkata. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jin
 itu mempunyai tiga jenis iaitu jenis yang mempunyai sayap dan 
berterbangan di udara, jenis yang berbentuk ular dan anjing dan jenis 
yang berpindah randah.
“Jenis jin ketiga 
itu dikelaskan jenis jin yang menjadi saka kerana mampu berpindah dari 
satu keturunan ke satu keturunan di bawahnya,” katanya.
Sharhan berkata 
mereka yang memiliki saka juga mempunyai kebolehan mengubati penyakit 
yang disebabkan oleh jin dan syaitan tetapi mereka menggunakan dengan 
cara meragukan.
“Kebanyakan mereka
 berubat dengan kaedah menurun. Pembawa saka mampu mengubat tetapi 
dengan menggunakan jampi yang mempunyai unsur syirik.
“Malah jampi yang digunakan langsung tidak difahami maknanya,” katanya.
Beliau berkata terdapat amalan yang mampu menghalang seseorang itu menjadi mangsa saka dengan berkat keizinan Allah SWT.
“Segala bentuk gangguan jin dapat dielakkan dengan syarat kita percaya dan benar-benar yakin Allah yang menyembuhkan.
“Antaranya boleh 
mengamalkan zikir, membaca surah Mulk sebelum tidur, berwuduk sebelum 
tidur atau ketika mengadakan hubungan kelamin dengan isteri, jadikan 
amalan membaca surah Yaasin setiap Subuh, membaca Basmalah sebagai wirid
 setiap kali melakukan pekerjaan dan perdengarkan bacaan ayat ruqyah di 
dalam rumah,” katanya.
Sumber:Imankikuk 

 
 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan