Hulu Langat - Suasana sedih dan pilu  menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14 di sini  semalam apabila tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh  di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa selamat  disemadikan dalam satu liang lahad.
Tujuh jenazah daripada 16 mangsa  yang terkorban itu ialah Dzahir Haziq Mohd. Muin, 18, Mohd. Azret  Azahari, 8, Wan Ahmad Hashim Hazim, 11, Mohd. Mustakim Mamat, 12, Mohd.  Zaim Azahari, 14, Mohd. Imal Fahad, 9, dan Mohd. Hazim Sapri, 10.
Orang  ramai memenuhi Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Batu 14, Hulu Langat  tempat tujuh jenazah mangsa tanah runtuh disembahyangkan 
Turut disemadikan dalam liang  lahad sama ialah sebelah kaki milik Zulkhairi Aminuddin, 13, mangsa yang  terselamat dalam tragedi itu. Upacara pengebumian itu selesai pada  pukul 3.20 petang.
Terdahulu, kesemua jenazah itu  disembahyangkan selepas solat Zuhur di Masjid Sultan Hisamuddin Alam  Shah, pekan Batu 14. Lebih 500 hadirin terdiri daripada ahli keluarga,  waris, dan penduduk setempat mulai memenuhi masjid tersebut sejak pukul  10 pagi bagi menunaikan solat jenazah.
Zaiton Abdullah, 30-an, ibu  saudara salah seorang mangsa, Dzahir Haziq ketika ditemui tidak dapat  menyembunyikan perasaan terkilannya tidak dapat menatap wajah arwah buat  kali terakhir.
Zaiton berkata, dia yang menetap  di Terengganu terus bergegas ke ibu kota setelah menerima panggilan  pada malam kejadian mengenai tragedi menimpa Dzahir Haziq.
"Saya terkilan kerana tidak  dapat menatap wajah Dzahir Haziq buat kali terakhir kerana baru sampai  ke sini," kata Zaiton yang memberitahu dia menganggap arwah seperti anak  kandungnya.
Roslan Osman, 69, yang bertugas  secara sukarela di rumah anak yatim itu berkata, rumah tersebut  mempunyai 42 orang penghuni yang terdiri daripada empat golongan iaitu  anak yatim, yatim piatu, anak-anak fasuki dan anak-anak hidayah. 
P/s: Marilah kita semua sedekahkan Al fatihah kepada mereka yang pergi.Semoga Roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Ibu dan Bapa mereka pasti mendapat tiket ke syurga. Insya Allah. Wassalam.
P/s: Marilah kita semua sedekahkan Al fatihah kepada mereka yang pergi.Semoga Roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Ibu dan Bapa mereka pasti mendapat tiket ke syurga. Insya Allah. Wassalam.

 
 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan