IKLAN

Sabtu, 21 September 2013

Di Antara Jenis - Jenis Khurafat, ialah :-

DI ANTARA JENIS-JENIS KHURAFAT, IALAH :-

1. Anggapan sial atau membawa malapetaka kepada seseorang ataupun masyarakat dengan kehadirannya dan amalan buang sial: tepung tawar, Lenggang perut, Mandi bunga/Sintok limau dan Mandi Safar.  
Islam menganggap setiap orang itu ada qadar baiknya dan ada qadar buruknya dan sama sekali tidak ada kesialan pada diri seseorang. Begitu juga cara untuk menghindari sesuatu musibah adalah memohon kepada Allah yang menciptakan segala-galanya bukannya dengan amalan-amalan buang sial.

2. Kepercayaan kepada hantu dengan alasan untuk tinggal selamat di suatu tempat atau memberi makan kepada hantu peliharaannya ataupun konon-kononnya untuk membayar niat tertentu.  
Sesungguhnya Islam dengan aqidah dan tauhid yang amat kental mengajak manusia agar beriktikad bahawa segala sesuatu yang memberi bekas adalah Allah SWT saja yang tidak ada sekutu dengannya. Oleh itu tidak perlu menjamu kepada sesiapa kerana segalanya adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang amat lemah.

3. Ilmu seru gerak yang kebiasaannya diamalkan oleh kumpulan silat yang mengamalkan jurus kebatinan.
Islam itu lengkap dan amat sempurna dari unsur-unsur luar yang bercadang untuk menyempurnakan Islam. Ilmu mempertahankan diri adalah amat baik dan Islam amat menggalakkan umatnya mempersiapkan kelengkapan dan segala kekuatan bagi mempertahankan kesucian Islam tetapi bukan dengan sesuatu yang tidak ada asalnya dari Islam seperti : ilmu seru gerak dan jurus kebatinan.

4. Jampi serapah yang ada unsur-unsur syirik atau menghina Islam atau tidak difahami maksudnya.
Para ulama berbeza pendapat dalam masalah membaca jampi serapah yang bukan bersumber dari al-Qur’an dan hadits kepada beberapa pandangan. Sebahagian mereka tidak mengharuskan sama sekali sebarang jenis bacaan jampi jika bukan dari al-Qur’an mahupun hadits. Tetapi sebahagian yang lain mengharuskan dengan syarat difahami maknanya dan tidak ada unsur-unsur yang dilarang dalam agama di dalam bacaan jampi tersebut. Seperti : seruan kepada sesuatu, menghina Allah, Nabi Muhammad SAW, ajaran Islam, memohon sesuatu kepada selain Allah SWT, termasuk meminta keapad batu atau kayu dan sebagainya.

5. Mempercayai percakapan, ramalan dan tilikan dukun samada terhadap perkara yang telah lalu atau di masa akan datang.
Sebahagian daripada perkara yang haram, berdosa besar bahkan syirik di dalam Islam ialah mempercayai tilikan dukun.

6. Memohon dengan percakapan atau ungkapan yang tidak ada asal usul suruhan dalam Islam seperti kata-kata “Tabik Tok Nenek” ketika melalui sesuatu tempat atau “Minta simpang Malaikat 44” ketika mengharapkan sesuatu yang tidak diingini.

7. Penggunaan tangkal di rumah atau dipakai di badan yang bukannya dari sesuatu yang tsabit dalam agama serta tidak dijaga dari dibawa ke tempat-tempat yang bukan suci.
Pada kebiasaannya penggunaan tangkal akan menyebabkan seseorang bertumpu kepada tangkal dan merasakan dirinya selamat selama tangkal itu berada dengannya. Maka sebab itulah Baginda Nabi SAW melarang penggunaan tangkal.

8. Meletakkan Ladam Kuda dipintu rumah dengan alas an boleh menghindari dari gangguan makhluk halus.

9. Mengantung isim yang dipahat di logam tertentu dengan berbagai-bagai rajah dan tulisan yang bukannya ayat al-Qur’an atau sesuatu yang warid dalam agama.

10. Bersahabat dan meminta pertolongan kepada Jin/Khadam/Masuk Tok Nenek dalam badan (menurun).
Islam amat melarang umatnya bersahabat, meminta pertolongan dan apatah lagi berkahwin dengan golongan jin yang kejadiannya, seleranya dan kehidupannya amat berbeza sama sekali dengan manusia.

 11. Mengamalkan ilmu pengasih
Ilmu pengasih atau ilmu yang didakwa dapat menawan hati seseorang samada dengan tujuan baik, iaitu ingin bernikah, ataupun dengan tujuan yang jahat, iaitu ingin memperdaya seseorang adalah haram di sisi agama. Ia termasuk dalam kelompok ilmu sihir, walaupun dengan menggunakan ayat al-Qur’an yang ditokok tambahkan dengan kalimah-kalimah tertentu.

12. Perasapan kemenyan dengan tujuan supaya menghalau jin dan hantu di dalam rumah dan menjemput malaikat datang ke rumah.
Amalan yang terdapat dalam masyarakat Melayu ialah perasapan kemenyan pada malam Jumaat. Dengan alasan, agar rumahnya didatangi oleh para malaikat ataupun untuk menghindari rumahnya dari dimasuki oleh iblis syaitan ataupun untuk menyepuh keris-keris atau sebarang jenis senjata warisan dan sebagainya. Sebenarnya amalan-amalan seumpama ini adalah amalan yang bersumberkan kepada ajaran agama Hindu dan jelas bercanggah dengan ajaran Islam bahkan dapat mengundang kemudharatan kepada pelakunya.

13. Meletakkan air di dalam bekas untuk dijamukan kepada para malaikat “Air Malaikat”.
Sesungguhnya Malaikat merupakan makhluk ciptaan Allah SWT daripada Nur atau cahaya yang tidak pernah menderhakai Allah SWT walaupun mereka tidak mempunyai nafsu, tidak makan, minum, tidur, berkahwin, beranak ataupun melakukan sesuatu yang disebabkan nafsu. Maka bagaimana mungkin air boleh disediakan untuk minuman para malaikat? Ini adalah disebabkan kejahilan tentang perkara agama.

14. Menganiaya atau menzalimi orang melalui sihir, santau dan pukau.
Tujuan mereka untuk menguji ilmu mereka, membantu orang lain yang bermusuhan dengan seseorang, memintas perniagaan seseorang, mencuri atau ingin mengambil hak milik seseorang bukan dengan secara hak. Kesemua itu zalim namanya yang sangat layak diancam dengan azab yang amat pedih oleh Allah SWT.

15. Pemakaian susuk untuk mencantikkan muka dan badan atau lainnya. 
Merubah sesuatu yang telah dijadikan oleh Allah SWT kepada manusia adalah haram. Seperti firman Allah dalam Surah at-Tin, ayat 4 :- 
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya)”.

16. Pemakaian raksa atau apa-apa logam untuk menguatkan tubuh badan atau untuk kuatkan rangsangan seks.
Pemakaian raksa boleh mengkategorikan sebagai merubah ciptaan Allah SWT dan amaln sihir, kerana pemakaian raksa akan menyebabkan seseorang itu menjadi kuat, kebal, tidak penat bekerja berat. Jampi serapah serta amalan tertentu diperlukan untuk memasukkannya seperti pemakaian susuk.

17. Menggunakan objek untuk menakuti jin.
Menggunakan sesuatu objek dengan alasan golongan jin akan takut kepada benda tersebut ataupun bermain dengannya, seperti menabur beras kunyit di dalam rumah, menabur kacang hijau atau lada hitam, menyembur air garam ataupun cuka di rumah, meletakkan sesuatu benda yang berduri di dalam rumah.

18. Kepercayaan kepada kebolehan benda memberi mudharat dan manfaat.
Mempercayai sesuatu objek boleh memberi mudharat dan manfaat seperti batu zamrud, kayu koka, kemuning hitam, raja kayu, teras kilo dan buluh tumpat.

19. Kepercayaan kepada tuah keranda.
Lari dibawah keranda seseorang yang kita terlalu kasih supaya tidak teringat kepadanya.
Sebahagian dari fahaman khurafat yang masih lagi menyelubungi umat Islam dalam masyarakat kita ialah fahaman-fahaman seperti :-

  • Jangan makan nasi di dalam periuk atau belanga nanti jadi fakir.
  • Jangan main batu baling (batu tujuh) dalam rumah nanti sempit rezeki.
  • Jangan sapu rumah atau buang sampah pada waktu malam nanti sempit rezeki.
  • Rebus batu atau panah matahari dengan cili kering atau sambung baju pengantin sampai ke atas bumbung yang kesemuanya itu supaya tidak turun hujan.
20. Menzalimi binatang seperti amalan memindahkan penyakit kepada binatang atau menyihir seseorang dengan menggunakan katak atau binatang lain.
Tindakan menzalimi binatang dengan alasan untuk menyelamatkan manusia tidak dapat diterima akal dan syarak, bahkan termasuk dalam amalan sihir yang dilaknati Allah SWT.

21. Kepercayaan kepada kebolehan seseorang mendatangkan mudharat atau manfaat.
Mempercayai seseorang wali, keramat atau seseorang seperti bomoh dan dukun boleh mendatangkan kemudharatan ataupun manfaat.

22. Kepercayaan kepada kejadian alam sebagai isyarat masa depan.
Mempercayai sesuatu perkara atau bunyi yang berlaku ada kaitan dengan apa-apa perkara atau kaitan dengan orang tertentu, seperti bunyi cicak atau burung, kucing atau biawak melintas dalam perjalanan akan membawa malapetaka.

23. Membaca ayat al-Qur’an secara songsang ataupun dihentikan pada tempat yang salah dari segi tajwid dengan alasan tertentu yang bercanggah dengan syarak.
Umpamanya membaca surah al-Fatihah atau surah al-Ikhlas terbalik kononnya dengan tujuan perubatan atau untuk menghantar balik sihir yang dibuat oleh orang lain. Amalan ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam berdasarkan firman Allah SWT, yang mencela sikap golongan Yahudi yang mengubah-ubah ayat-ayat Allah di dalam kitab-kitab terdahulu sehingga mereka menjadi sesat. 
“Di antara orang-orang Yahudi ada Yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya Yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata Dalam hati): “Kami tidak akan menurut”. (Surah an-Nisa, ayat 46)

24. Kepercayaan kepada kebolehan wafaq.
Mempercayai wafaq atau huruf Hija’iyah yang tertentu, yang tertulis sama ada secara rajah ataupun tidak dan juga yang tidak dapat difahami maksudnya, dapat mendatangkan sesuatu manfaat ataupun mudharat. Ini adalah sebahagian dari amalan sihir yang menyesatkan. Apatah lagi jika dikaitkan dengan sesuatu fahaman dan iktikad umpamanya boleh melariskan perniagaan, mendekatkan jodoh dan menghindarkan penyakit.

25. Pengubatan yang bercanggah dengan Islam.
Berubat dengan kaedah yang salah dan haram disisi agama seperti menyembelih ayam jantan/hitam, makan bara api, menilik di dalam air atau asap, menitik lilin di dalam air untuk mengetahui sesuatu, mandi air najis, membuka, melihat dan menyentuh aurat pesakit tanpa hajat, berdua-duaan dengan pesakit.

26. Pengubatan dengan bahan harum.
Berubat dengan menggunakan bahan-bahan yang haram. Misalnya najis, darah, nanah, air longkang, kain lampin, tuala/modes wanita yang mengandungi kesan darah, sesuatu dari cebisan tubuh badan manusia, seperti rambut, kuku, gigi dan tulang manusia.

27. Upacara memanggil roh.
Mengadakan upacara Tahdhirul Arwah, kononnya untuk memanggil roh-roh tertentu masuk kedalam badan seseorang, seperti : memanggil roh Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani dan sebagainya.

28. Pengubatan tanpa sumber agama.
Berubat dengan kaedah yang tidak ada asal usul dalam ugama seperti ilmu cungkil urat dengan digaris-garis di hadapan jari kaki dan tangan yang diurut di atas sebuah papan dengan menggunakan pisau tumpul, menggunakan pahat atau penukul. Kononnya sebagai isyarat untuk memulihkan sendi atau uray yang sakit. Juga memaku paku di tiang rumah untuk menghilangkan sakit gigi, menggunakan keris, pisau, pedang dan gambar.

29. Pengubatan oleh bomoh bukan Muslim.
Berubat dengan bomoh bukan Islam, seperti : sami Hindu, sami Buddha, paderi Kristian dan tok batin Orang Asli yang menggunakan kaedah kepercayaan terhadap agamanya ataupun jampi serapah agamanya.

30. Mendakwa diri sebagai seorang kasysyaf.
Mendakwa diri sebagai seorang wali yang kasysyaf dan boleh melihat jin dan sebarang makhluk halus dan boleh menyembuhkan sebarang penyakit.

31. Mensyaratkan pengeras yang pelik-pelik.
Seperti mesti memberi benda tajam, atau bayaran yang berjumlah suku seperti dua ringgit suku dan membawa pulut kuning dan telur berwarna.KILK DISINI
 
Sumber- dakwahwanita.wordpress.com

Jumaat, 13 September 2013

Kisah Siti Musliha Dahulu dan Sekarang

Masih ingatkah dengan Siti Musliha yang pernah popular sekitar tahun 90-an dulu? Aku membesar dengan melihat beliau yang sering muncul di kaca TV3 dalam rancangan MHI kendalian Aziz Desa ketika itu. Namun, selepas kemunculannya yang menyentap perasaan orang ramai sekitar 1994 hingga 1996, Siti Musliha tiba-tiba ‘hilang’ tanpa sebarang khabar berita.

Tiba-tiba, tadi aku terpandang satu post di facebook yang memaparkan gambar terbaru Siti Musliha. Lantas, tergerak hati aku untuk berkongsi dengan kalian semua mengenai beliau bagi membangkitkan nostalgia mereka yang pernah mengenali beliau selama ini. Juga untuk tatapan anda yang masih belum lahir ketika itu yang tidak tahu menahu mengenai kisah Siti Musliha. 

Siti Musliha ketika kecil

Latar Belakang Hidup

Nama penuh beliau adalah Siti Musliha Mohd Mustafa. Dilahirkan pada 10 Januari 1983. Anak sulung kepada pasangan Mohd Mustafa Manap dan Rohani Atan ini dilahirkan dalam keadaan tidak normal. Beliau mengalami kecacatan seluruh anggota badan. Dilaporkan bahawa semasa lahir, beliau tidak mempunyai batang hidung, dan salah satu lubang hidungnya terletak di atas kening. Kedudukan mata beliau juga tidak normal.

Setelah 11 tahun mengharungi hidup yang perit, Siti Musliha mendapat perhatian dari Datin Seri Dr. Wan Azizah yang pada ketika itu menghadiri program sekolah penyayang di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Damansara. Bermula saat itulah beliau mendapat perhatian dari seluruh masyarakat dan mula muncul di televisyen pada 1994.


Siti Musliha telah menjalani pembedahan re-construction pada kali pertama pada tahun 1984 di sebuah hospital di Adelaide, Australia. Pembedahan kali pertama ini telah memakan masa selama 10 jam. Pembedahan dilakukan untuk membentuk wajah Siti Musliha. Selain itu, doktor juga telah menjalankan pembedahan untuk memisahkan jari beliau yang bercantum.


Pada tahun 1988, Siti Musliha telah menjalani satu lagi pembedahan untuk membetulkan kedudukan mata beliau. Manakala pembedahan ketiga telah dijalankan pada awal Ogos 1994 untuk membetulkan kedudukan hidung beliau yang sebelum ini dibentuk pada pembedahan pertama. Kesemua pembedahan ini memakan belanja hampir 1 juta. Kos pembedahan tersebut adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin pada masa itu untuk membatu Siti Musliha.



Bidang Seni
Banjir air mata. Itulah ungkapan paling tepat menggambarkan kesedihan sesiapa saja yang menyaksikan kanak-kanak istimewa, Siti Musliha muncul di televisyen menyanyikan lagu Hujan Air Mata pada 1995. Sekuat mana pun cuba menahan perasaan, hampir setiap orang menangis atau sekurang-kurangnya sebak dan tersentap perasaan saat mendengar kanak-kanak istimewa berwajah cacat itu menyanyikan lagu kisah dirinya itu.


Setiap kali klip video Siti Musliha menyanyikan lagu itu disiarkan di televisyen atau radio, ramai yang bersedia dengan sapu tangan buat pengesat air mata. Ia lagu daripada album Siti Musliha yang diterbitkan komposer Adnan Abu Hassan untuk mengutip dana bagi membiayai kos pembedahan muka kanak-kanak tersebut. Lagu itu juga layak hingga ke peringkat separuh akhir Anugerah Juara Lagu 1995. Selain pernah berlakon dalam sebuah drama yang dibintangi Zaidi Omar sebagai seorang ayah yang tidak dapat menerima anaknya yang cacat.



p/s : Lirik Lagu, KLIK SINI!


Kehidupan sekarang
Kini, usianya sudah mencecah 29 tahun. Siti Musliha masih seperti dulu, tetap petah, bercakap lemah-lembut dan tersusun kata-katanya. Ungkapannya sentiasa merendahkan diri. Siti Musliha juga sekarang ini terpaksa bernafas melalui mulut selepas hidungnya kembali tersumbat berikutan tumbesaran yang dialaminya. 


Ketika ditemuramah oleh akhbar Utusan pada tahun lepas, Siti Musliha baru saja pulang daripada menunaikan umrah. Menurutnya, beliau bukan menghilangkan diri. Tapi mendekati Illahi. Menariknya, beliau bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian. Tetapi juga berkebolehan menghabiskan 30 juzuk ayat suci Al-Quran.


gambar terbaru Siti Musliha

*Rujukan : Taufiq Helios , Just Khai , Utusan , Kosmo


Doa Siti Musliha di hadapan Kaabah :

” Ya Allah ya tuhanku, aku bermohon kepada-Mu, pulihkan pancainderaku agar aku dapat melihat dengan jelas dan merasai kehebatan ciptaan-Mu di alam ini. Ya tuhanku, pelihara juga kesihatanku agar dapat aku terus beribadat kepada-Mu tanpa perasaan jemu”



Khamis, 12 September 2013

Sultan Qutuz dan Kenaikan Harga Minyak



Nama Sultan Qutuz atau Sultan Muzaffar Saifuddin al-Qutuz tidaklah sepopular Sultan Salahuddin al-Ayubi atau Sultan Muhamad al-Fateh. Namun, sumbangannya terhadap Islam tidak kurang hebatnya. 

Secara umumnya, ramai yang biasa mendengar dan membaca tentang empayar Mongol, kehebatan tentera Tartar dan kejatuhan kota raya Baghdad. Tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang peperangan Ain Jalut yang mengakhiri kemaraan tentera tartar di wilayah Islam.

Pemimpin utama di pihak Islam yang berjaya menyekat tentera tartar tersebut ialah Sultan al-Qutuz. Lebih jauh lagi, ramai yang tidak tahu suatu kisah penting yang berlaku dalam kerajaannya sebelum peperangan berlaku. 

Ketika itu kota Baghdad telahpun jatuh ke tangan Tartar. Mesir yang diperintah oleh Sultan Qutuz turut berasa bahangnya. Jika baginda tidak bersiap sedia dari awal, nescaya Mesir akan mengalami nasib yang sama dengan wilayah Islam yang lain. 

Oleh hal yang demikian Sultan Qutuz membuat keputusan untuk memungut cukai tambahan daripada rakyat untuk digunakan mempersiapkan bala tentera. Namun, keputusan itu ditentang oleh seorang ulama iaitu `al-`Izz ibn `Abdis Salam. 

Al-Izz berpendapat bahawa sebelum sebarang cukai dipungut daripada rakyat mestilah terlebih dahulu segala harta di perbendaharaan negara digunakan. Jika tidak cukup, barang-barang dan harta baginda hendaklah digunakan atau dijual. Kemudian segala harta menteri dan pembesar negara turut digunakan. Jika itu juga tidak mencukupi barulah rakyat dikenakan cukai bagi membiayai peperangan tersebut.

Sultan Qutuz akhirnya akur dengan nasihat yang diberikan dan baginda akhirnya berjaya menewaskan tentera tartar daripada meneruskan niat menakluki wilayah Islam yang lain. Demikianlah, bagi saya kejayaan Sultan Qutuz ini ada kaitannya dengan sikap hormatnya kepada ulama yang jujur dan ikhlas dan sokongan padu daripada rakyat jelata.

Berbalik kepada situasi kita di Malaysia pada hari ini, adakah apa-apa pengajaran yang dapat kita kutip daripada kisah Sultan Qutuz? Bukankah kisah ini sering dijadikan bahan kuliah dan ceramah oleh para agamawan? Jika tiada apa-apa iktibar yang boleh dipelajari amatlah malang bagi umat Islam di Malaysia khusus para pemimpin.

Hal ini kerana, kisah sejarah ini menunjukkan kepada kita bahawa dalam suasana perang sekalipun, bukan semudah itu kerajaan dan pemerintah boleh mengenakan dan menaikkan cukai atas alasan kemaslahatan negara. Dibimbangi, pemungutan cukai atau kenaikan harga itu menjadi haram pula!

Apatah lagi kita di Malaysia pada hari ini tidak berperang dengan sesiapapun dan mendakwa ekonomi Malaysia dalam suasana yang kondusif. Maka amatlah tidak wajar mengurangkan subsidi rakyat pula dan menaikkan harga minyak atas alasan harganya lebih rendah berbanding negara jiran!

Hakikatnya, kerajaan Malaysia tiada alasan untuk menaikkan harga minyak dalam suasana harga minyak dunia yang tidak naik dan pada masa yang sama negara kita dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai sumber alam seperti petroleum, gas, emas, bijih besi dan berbagai lagi. Pendapatan negara hasil daripada eksport semua bahan-bahan tersebut sepatutnya tidak menjadikan Malaysia sebuah negara yang tinggi hutangnya dan miskin rakyatnya.

Bahkan, saya yakin jika semua hasil bumi dan pendapatan negara diuruskan dengan penuh amanah harga minyak petrol mungkin tidak sampai RM1 pun bagi setiap liter! Yang berlaku hari ini ialah ketirisan dan pemborosan terhadap hasil mahsul negara.

Janganlah merendah-rendahkan pemikiran rakyat dengan mencipta alasan yang remeh-temeh. Harga minyak boleh dinaikkan jika atas sebab-sebab darurat dan selepas elaun dan gaji segala menteri dipotong!

Masalahnya, adakah pemimpin Malaysia hari ini tahu tentang kisah Sultan Qutuz tersebut. Jika tahu, adakah mereka sanggup mengikutinya? Tepuk dada tanya Selera!
 
idhamlim
 
 

Akta 3 Kurungan 13 - Khas Untuk Orang Berjuang


 

Akta 3 Kurungan 13 di cipta oleh Nazri Alias pada Januari 2013, merupakan lagu pertama yang dipilih untuk dijadikan Music Video kerana kelainannya berbanding lagu2 yang lain.. Lagu berkonsep kemasyarakatan yang mengetengahkan ciri dan watak orang yang berjuang.. Kesimpulannya, lagu ini adalah sentuhan seni dan feel tersendiri Nazri Alias.. lirik ditulis oleh Nasaie Nawawi.. Khas untuk anda semua !!

https://www.facebook.com/AlFarabibandOfficial

Lirik lagu- Akta 3 Kurungan 13 oleh Al Farabi Band

AKTA 3 KURUNGAN 13

Orang yang ada cita-cita perjuangan
Sanggup berkorban dan sanggup terkorban
Berstrategi perimbangkan belanja keluarga dengan pendapatan

Mendidik anak isteri pada perjuangan
Tidak meminta-minta kecuali pada yang dikasihi
Pandai menilai kawan dan lawan
Bersiap siaga

Tidak menyesal dirinya terkorban
Tidak kecewa dengan kegagalan
Pandai menilai masyarakat di dunia dan di negaranya

Sangat optimis dengan masa depannya
Melakukan helah dalam perjuangan
Tak mengeluh ketika terdesak
Tak hampakan yang susah

Pandai mengorak langkah adakala mundur kumpul kekuatan
Pandai berhenti seketika adakala dia maju kehadapan

Dia berahsia pada setengah orang
Dia tidak melobi dia tidak memaksa
Dia sentiasa memberi penjelasan
Dia mengadu pinta pada Tuhan Yang Esa

 
Komposer : Nazri Alias
Lirik : Nasaie Nawawi
Guitar Solo : Nazri Alias
P/s: Berjuang di dalam bidang masing-masing, Yang Elok2 Sahaja :)

Panduan Mencari Calon Suami Bagi Wanita Bertudung Labuh

Ada sesiapa tengok berita semalam? Mengikut kajian Kementerian, 40% wanita tidak berkahwin kerana tidak menjumpai calon yang sesuai. Ramai tu. Aku tak berapa pasti berapa lingkungan umur survey dia tu. Bila difikirkan balik, tidak ada calon yang sesuai...apa kriteria yang sesuai? Ada perempuan nak lelaki kaya, handsome dan baik. Gila perfect lelaki idaman semua wanita. Maybe the expectation sesetengah wanita terlalu tinggi diletakkan untuk jadi calon suami.

Ada juga yang terpengaruh dengan drama dan filem, percaya dengan imej lelaki yang cuba ditonjolkan dalam drama atau filem yang bersifat gatal dan pervert sehinggalah membuatkan perempuan takut nak pilih calon suami. Kat Malaysia aje kot kau boleh jumpa orang pegi marah dan herdik pelakon sebab pelakon tu terkenal dengan lakonan jahat dia (seperti yang diceritakan oleh beberapa orang artis yang nak membuktikan lakonan dia betul2 mantap sehingga penonton tak dapat membezakan dunia nyata dan dunia fantasi).

Pengaruh media memainkan peranan sehingga tak ada calon yang sesuai untuk dijadikan suami. Selalunya...lelakilah yang disalahkan. "Lelaki semua sama aje! Lelaki semua lidah bercabang! Lelaki semua perangai buaya! Baik aku jadi lesbian! "

Takkan la tak ada langsung calon suami yang baik keliling kau?

Ada beberapa benda yang akan membantutkan niat seseorang lelaki untuk berkahwin dengan kau, antaranya ;

1. Perangai kau memang buruk. Kau kaki clubbing, kau kaki minum. (Ya,pada aku kaki clubbing perangai buruk tak kiralah lelaki ke pempuan)

2. Kau demanding sangat. Kau wish kau jadi princess yang ada istana masa wedding padahal bakal suami kau hanyalah sekadar bergaji tukang sapu bulu kuda dekat istana.

3. Permintaan kau tidak realistik. Kau seksi...tapi kau nak Ustaz Don Daniyal.

4. Kau dah bagi boifren kau test drive kau. Buat apa kahwin kalau dah boleh memandu tanpa lesen? Vroom vroom vroom!

5. Kau carik calon suami menggunakan lagu "Cinta Muka Buku" sebagai panduan.


Ada juga sesetengah kes di mana perempuan itu jaga aurat dan akhlaknya tapi dia susah nak dapat calon suami....ini kerana kau pakai tudung labuh dan lelaki takut nak approach kau, atau kau nampak terlalu alim sehinggakan lelaki jadi segan dengan kau. Ye lah...siapa berani ajak minah tudung labuh keluar dating? Aku pun segan sebab aku lelaki normal yang ada rasa pervert sket2.

Kalau terjadinya kes camni, ada beberapa saranan yang aku boleh berikan.
  1. Kalau ada lelaki ajak kau keluar....bagi dia chance. Jangan terus ceramah dia berdosanya dating ni. Dating boleh apa...tapi gi makan dah la. Ajak la adik kau pegi. Kau nak tau dia ikhlas atau sekadar tengah berusaha nak tau apa ada bawah tudung labuh, tiap2 kali dia ajak dating, bawak adik kau. Orang ikhlas ni lama2 kau boleh kenal..selalunya, orang yang first time kenal dengan kau tapi dia terus declare diri dia ikhlas..tu buaya darat.

  2. Kalau takde lelaki ajak kau keluar, benda2 yang kau perlu improvekan adalah memberanikan diri berkenalan dengan lelaki. Pada aku la orang perempuan, kau tak perlu rasa malu nak approach lelaki. Ada pepatah Melayu kata perigi cari timba la,apa la..pedulikkan. Kau takkan boleh jadi isteri selagi kau tak ada suami. Tak salah maa!

  3. Memang mudah untuk assume officemate kau yang single tu poyo dan berlagak dan apa2 lagi yang buruk2 ni....tapi bila kau dah simpan dalam diri kau assumption macam tu, kau akan limit diri kau daripada opportunities yang mungkin ada. Lelaki ni perangai dia lain sebenarnya bila dia dekat orang ramai dan bila dia berdepan dengan kau..jadi jangan stereotaipkan lelaki yang ada sekeliling kau.

  4. Kalau kau ada boifren yang kau rasa tak sebaik kau sebab expectation kau adalah dia adalah bakal Imam Masjid Kampung, hentikanlah semua tu. Lelaki boleh berubah....sebab asalnya semua manusia ni baik kejadian dia. Basically, semua orang baik. Jangan takut nak pilih dia sebagai calon walaupun dia ada flaw yang kau tak suka melainkan flaw dia tu sangatlah besar macam suka tayang zakar dekat ofis. Jika niat kau baik dan cara kau betul....akan ada pertolongan datang dan ubah diri dia.

  5. Hentikan assume cinta itu macam matematik dan ada formula dia yang tetap.
    "Jika Bakal Suami = (Hensem+Baik) - Duit < Bakal suami = Duit+Hensem+Baik."

    Bukak mata luas-luas...kau takkan dapat semua yang kau nak. Selagi kriteria yang kau nak tu macam tu, rumusan dia adalah ; "(Kau - Calon Suami) x 0% = Tak Kahwin"

    Be more fleksibel...yang penting carik orang yang baik. Sebab bila kau carik orang yang baik (walaupun ada mereng sket2) ...dia akan ada kesedaran sendiri.

  6. Jangan merasa rendah diri kalau kau pakai tudung labuh. Benda ni aku rasa banyak terjadi dekat orang yang jaga pakaian dia. Lagilah pulak bila kau compare diri kau dengan minah sebelah meja kau yang setiap masa berpakaian vogue dan seksi dengan make-up setengah inci dan bontot tonggek yang mampu membuatkan jantan cair tengok. Tak perlu rasa rendah diri walaupun kau tak berpakaian seanggun orang lain. Bila kau rasa rendah diri kau dah letak dalam diri kau yang semua lelaki mesti pandang orang yang hot dan orang macam kau tak desirable. Barang free...sapa tak nak tengok kak? Barang yang hidden ni la sebenarnya yang terbaik..betul? :)

  7. Tak perlu risau pandangan masyarakat kalau kau mempunyai calon suami yang lebih muda dari kau. Ada hukum kata perempuan mesti kahwin lelaki lebih tua? Tak ada. Siti Khadijah malu kahwin dengan junior dia yang jauh lagi muda dari dia? Kau cuba semak balik, siapa yang tackle siapa masa Nabi Muhammad nak kahwin first time dulu.
......................

Bagaimanapun, satu kesalahan general yang selalu dilakukan para wanita dan gadis adalah mengharapkan boifren atau pihak lelaki support dia masa sesi berkenalan. Keluar makan...wish lelaki bayar. Keluar dating...lelaki bayar semua.Malam2 nak bergayut...nak lelaki telefon. Memang ada perempuan yang menilai tahap keseriusan seseorang lelaki dengan menggunakan jumlah wang yang sanggup dibelanjakan ketika ber-gelfren boifren, kan?

Daripada kau mengharapkan pihak lelaki menunjukkan betapa seriusnya dia untuk bercinta dengan kau dengan cara menaburkan duit ketika berkenalan, lagi baik masing-masing bayar sendiri makan dan minum dan sekali sekala aje telefon...duit tu simpan untuk kahwin.


Ada orang kata...semua tu investment...kepala hotak ko investment.

Investment sebenar dalam bercinta hanya akan bermula bila kau duduk serumah dengan suami, kau beli barang kongsi dengan suami, kau ada anak hasil pernikahan kau...tu investment.

Mungkin 40% wanita yang belum berkahwin sebab tak jumpa calon ni masalahnya bukanlah dia tak jumpa calon yang sesuai....tetapi sebenarnya, wanita tu sendiri bukanlah calon yang sesuai? Hahahaha.

Kalau ada yang tak kahwin lagi dan sedang risau,.....di luar sana ada juga lelaki yang sama nasib macam kau.

Mungkin nasib kau tak bertemu dengan dia lagi sebab kau takut nak open yourself kepada dunia lain selain dunia kau ....kerana lelaki2 di sekeliling kau semuanya douchebag . Membuatkan kau assume semua lelaki douchebag. Pecahkan kepompong douchebag itu dan percayalah ada ramai lelaki kat luar circle kau yang sesuai dijadikan calon suami.

p.s. - Perlu diingatkan....seorang lelaki boleh mengahwini 4 orang wanita. Ya, suami orang sepatutnya adalah option anda juga. Tapi pastikan boundaries anda dijaga. Jangan pikat terus laki orang kalau dah tersuka. Pikat lah isteri dia dulu. Barulah tak kena baling dengan pinggan dan digelar betina gatal atau betina sundal.

Sumber: cursingmalay.blogspot.com

Cristiano Ronaldo - Penjualan Ozil adalah berita buruk bagi saya


Adakah terdapat tangan ghaib yang tidak berasa senang melihat keadaan dua pemain bintang yang berlainan agama begitu akrab? adakah tindakan Ronaldo tidak bersalaman dengan pemain Israel ketika perlawanan persahabatan ketika dahulu atau kemurahan hati Cristiano Ronaldo mendermakan jutaan dollar kepada rakyat Palestine merupakan kisah yang tidak menyenangkan bagi mereka? Mungkin mereka menganggap bahawa tindakan itu adalah pengaruh hidup Ozil sebagai seorang Islam yang kita sudah tahu beliau seorang pemain muslim yang taat kepada suruhan agama. 

Banyak khabar angin yang tersebar luas mengatakan Ozil menjadi mangsa kepada Estadio Santiago Bernabeu. Ramai pihak tertanya-tanya, kenapa Ozil dikorbankan?

Sememangnya, ramai yang kecewa dengan perpindahan Ozil ke Arsenal. Ozil seorang pemain yang konsisten dan sering memberi sumbangan besar kepada kejayaan Madrid setakat ini. Selama tiga tahun menyarung jersi Los Blancos sejak 2010/2011, Ozil telah menjaringkan 19 gol dalam 104 penampilan.

Individu yang sangat merasai kehilangan Ozil adalah Ronaldo. Setakat ini, Ozil sentiasa membantu Cristiano Ronaldo dengan hantaran tepat yang dapat menghasilkan 168 gol dalam tiga musim di Madrid.

Bukan itu sahaja yang membuat Cristiano Ronaldo merasai kehilangan sahabatnya itu,  Ozil dikenali sebagai seorang Muslim yang taat yang tidak teragak-agak untuk menjelaskan kepada Ronaldo tentang kandungan al-Quran yang diamalkannya.

"Ozil membaca ayat al-Quran sebelum permainan, dan dia juga mengajar ayat-ayat kitab suci Islam kepada bekas rakan sepasukan Ronaldo," Dilaporkan Daily Mail, Khamis lalu (5 September 2013).

"Penjualan Ozil adalah berita buruk bagi saya," kata Ronaldo.

Bagi Ronaldo, Ozil adalah rakan sekerja, kawan dan guru rohani yang terus memberikan sokongan di dalam dan di luar lapangan hijau.
 
 azizulhakim91
 

Rabu, 28 Ogos 2013

Tentang PEMUDA Yang PEMARAH

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.
 
“Untuk apakah paku-paku ini ayah?” tanya pemuda tersebut.

“Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu” jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, di mana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.

Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itusatu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.

Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya. Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata ;

“Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.

on Sunday, 3 March 2013
- See more at: http://anjunginspirasi.blogspot.com/2013/03/lubang-lubang-paku.html#sthash.B6O9nq4P.dpuf
on Sunday, 3 March 2013
- See more at: http://anjunginspirasi.blogspot.com/2013/03/lubang-lubang-paku.html#sthash.B6O9nq4P.dpuf
Sumber gambar: Lee Aziz

SAHABAT adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakkanmu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita. ;) 

on Sunday, 3 March 2013
- See more at: http://anjunginspirasi.blogspot.com/2013/03/lubang-lubang-paku.html#sthash.B6O9nq4P.dpuf
 “Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati sahabat semua.”

Mutiara Hikmah: Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa seseorang telah berkata kepada Nabi S.A.W,
“Nasihatilah aku.” Lalu Nabi S.A.W bersabda, “Jangan marah,” maka berulang-ulang orang itu meminta dinasihati, jawab Nabi, “Jangan marah.”  

Daripada Muaz bin Anas RA bahawasanya Nabi S.A.W bersabda,
“Sesiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu bertindak menurut perasaan marahnya maka Allah akan menyerunya di hari kiamat di hadapan khalayak ramai (sebagai suatu penghormatan) sehingga Allah memberi pilihan kepadanya bidadari yang dia suka.”


Kredit: www.queachmad.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik