Nama Sultan Qutuz atau Sultan Muzaffar Saifuddin al-Qutuz tidaklah
sepopular Sultan Salahuddin al-Ayubi atau Sultan Muhamad al-Fateh.
Namun, sumbangannya terhadap Islam tidak kurang hebatnya.
Secara
umumnya, ramai yang biasa mendengar dan membaca tentang empayar Mongol,
kehebatan tentera Tartar dan kejatuhan kota raya Baghdad. Tetapi tidak
ramai yang mengetahui tentang peperangan Ain Jalut yang mengakhiri
kemaraan tentera tartar di wilayah Islam.
Pemimpin
utama di pihak Islam yang berjaya menyekat tentera tartar tersebut
ialah Sultan al-Qutuz. Lebih jauh lagi, ramai yang tidak tahu suatu
kisah penting yang berlaku dalam kerajaannya sebelum peperangan
berlaku.
Oleh
hal yang demikian Sultan Qutuz membuat keputusan untuk memungut cukai
tambahan daripada rakyat untuk digunakan mempersiapkan bala tentera.
Namun, keputusan itu ditentang oleh seorang ulama iaitu `al-`Izz ibn
`Abdis Salam.
Al-Izz
berpendapat bahawa sebelum sebarang cukai dipungut daripada rakyat
mestilah terlebih dahulu segala harta di perbendaharaan negara
digunakan. Jika tidak cukup, barang-barang dan harta baginda hendaklah
digunakan atau dijual. Kemudian segala harta menteri dan pembesar negara
turut digunakan. Jika itu juga tidak mencukupi barulah rakyat dikenakan
cukai bagi membiayai peperangan tersebut.
Sultan
Qutuz akhirnya akur dengan nasihat yang diberikan dan baginda akhirnya
berjaya menewaskan tentera tartar daripada meneruskan niat menakluki
wilayah Islam yang lain. Demikianlah, bagi saya kejayaan Sultan Qutuz
ini ada kaitannya dengan sikap hormatnya kepada ulama yang jujur dan
ikhlas dan sokongan padu daripada rakyat jelata.
Berbalik
kepada situasi kita di Malaysia pada hari ini, adakah apa-apa
pengajaran yang dapat kita kutip daripada kisah Sultan Qutuz? Bukankah
kisah ini sering dijadikan bahan kuliah dan ceramah oleh para agamawan?
Jika tiada apa-apa iktibar yang boleh dipelajari amatlah malang bagi
umat Islam di Malaysia khusus para pemimpin.
Hal ini kerana, kisah sejarah ini menunjukkan kepada kita bahawa dalam suasana perang sekalipun, bukan semudah itu kerajaan dan pemerintah boleh mengenakan dan menaikkan cukai atas alasan kemaslahatan negara. Dibimbangi, pemungutan cukai atau kenaikan harga itu menjadi haram pula!
Apatah
lagi kita di Malaysia pada hari ini tidak berperang dengan sesiapapun
dan mendakwa ekonomi Malaysia dalam suasana yang kondusif. Maka amatlah
tidak wajar mengurangkan subsidi rakyat pula dan menaikkan harga minyak
atas alasan harganya lebih rendah berbanding negara jiran!
Hakikatnya,
kerajaan Malaysia tiada alasan untuk menaikkan harga minyak dalam
suasana harga minyak dunia yang tidak naik dan pada masa yang sama
negara kita dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai sumber alam seperti
petroleum, gas, emas, bijih besi dan berbagai lagi. Pendapatan negara
hasil daripada eksport semua bahan-bahan tersebut sepatutnya tidak
menjadikan Malaysia sebuah negara yang tinggi hutangnya dan miskin
rakyatnya.
Bahkan,
saya yakin jika semua hasil bumi dan pendapatan negara diuruskan dengan
penuh amanah harga minyak petrol mungkin tidak sampai RM1 pun bagi
setiap liter! Yang berlaku hari ini ialah ketirisan dan pemborosan
terhadap hasil mahsul negara.
Janganlah
merendah-rendahkan pemikiran rakyat dengan mencipta alasan yang
remeh-temeh. Harga minyak boleh dinaikkan jika atas sebab-sebab darurat
dan selepas elaun dan gaji segala menteri dipotong!
Masalahnya,
adakah pemimpin Malaysia hari ini tahu tentang kisah Sultan Qutuz
tersebut. Jika tahu, adakah mereka sanggup mengikutinya? Tepuk dada
tanya Selera!
idhamlim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan