Bahagiakah bila berada di negara paling bahagia di dunia??
Denmark sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di
dunia berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happiness Report 2013).
Tahap kegembiraan sesebuah negara dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu kesihatan jangka hayat (health life expectancy), persepsi terhadap rasuah (perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita), kebebasan untuk membuat pilihan hidup (freedom to make life choices), sokongan sosial (social support) dan juga kemurahan hati (generosity). Laporan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Earth Institute di University of Columbia itu
mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada skala 1 hingga 10. Denmark
mendapat 7.693 mata manakala Malaysia pula berada di tangga ke-56 dengan
5.760 mata dari keseluruhan 156 negara yang tersenarai.
Nyhavn, pelabuhan kecil di Denmark. Penuh dengan orang tak kira musim panas atau sejuk |
Apa yang menarik,
kelima-lima negara yang mengungguli carta negara paling gembira atau
bahagia di dunia adalah negara yang terletak di utara eropah iaitu
Denmark (1), Norway (2), Switzerland (3), Netherlands (4) dan juga
Sweden (5). Jadi, apakah punca sebenar rakyat di negara tersebut
gembira dan bahagia? Adakah faktor cuaca dan lokasi sesebuah negara?
Daripada pemerhatian dan pengamatan penulis yang berada di bumi Denmark
selama hampir tiga tahun, terdapat banyak faktor yang mendorong Denmark
menjadi negara paling gembira di dunia. Apa yang pasti ia bukan
disebabkan faktor cuaca kerana negara di skandinavia mengalami musim
sejuk yang panjang. Mana mungkin, seseorang itu boleh menjadi lebih
gembira sekiranya sentiasa dibelenggu cuaca yang sejuk dan dingin
sepanjang tahun. Jadi apakah faktor sebenar yang melayakkan Denmark
digelar sebagai negara paling bahagia?
Kebajikan rakyat terjaga
Denmark sememangnya
cukup dikenali sebagai model contoh sebuah negara kebajikan. Semua
warganegara mempunyai hak yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan
beberapa perkhidmatan disediakan untuk rakyat secara percuma. Contohnya
kemudahan kesihatan. Di Denmark, setiap individu bebas memilik klinik
panel dan doktor keluarga masing-masing. Ini termasuk semua penduduk
sama ada berstatus penduduk tetap ataupun sementara. Semua diberikan
insurans kesihatan bagi menjamin kebajikan orang yang menetap di Denmark
terjaga.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa negara ini turut menitikberatkan
kebajikan haiwan peliharaan. Penulis sendiri pernah melalui pengalaman
yang merumitkan walau sekadar ingin memelihara ikan kecil di dalam
rumah. Ini adalah kerana untuk memelihara ikan, sampel air di rumah
perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu membeli akuarium yang
mempunyai saiz tertentu serta lengkap dengan peralatan khas termasukkan
sistem pengaliran udara dan juga penapisan air. Pendek kata, jika
tuntutan tersebut tidak dapat dipenuhi maka ikan tidak akan dijual.
Semua langkah ini dijalankan bagi memastikan kebajikan ikan yang bakal
dipelihara terjaga.
Pendidikan percuma
Dalam sistem kebajikan Denmark, pendidikan juga adalah percuma dari
sekolah rendah hingga universiti. Kadar literasi di Denmark antara yang
tertinggi di dunia iaitu 99%. Pendidikan awal kanak-kanak lebih
tertumpu sebagai tempat membina kemahiran berdikari dan bersosial serta
menyuburkan nilai murni dan jati diri. Pelajar sekolah tidak terbeban
dengan timbunan kerja sekolah yang perlu dilangsaikan setiap hari.
Sekali seminggu, guru akan membawa kanak-kanak kecil melawat zoo,
muzium, taman rekreasi dan tasik dengan hanya menaiki pengangkutan awam
seperti bas dan juga keretapi tanpa perlu menempah bas sekolah atau van.
Mudah dan senang bukan?
Semua mahasiswa di universiti tidak perlu membayar yuran pengajian bagi
institusi pengajian tinggi awam dan juga hampir semua institusi
pengajian tinggi swasta. Malahan semuanya ditawarkan bantuan kewangan
bulanan yang dikenali sebagai Statens Uddannelsesstøtte (The State's Educational Support).
Institusi pendidikan di Denmark mempunyai tahap yang tinggi dan
menggabungkan pendekatan pembelajaran yang inovatif bagi menghasilkan
pelajar yang berperananan aktif dalam masyarakat berasaskan pengetahuan
global. Apa yang menarik, institusi pendidikan turut mendapat manfaat
daripada kerjasama yang erat dengan pihak industri dan institusi
penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana pembelajaran yang efektif
untuk pelajar.
Kerja sedikit, gaji banyak
Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada
tahun lalu melaporkan pekerja di Denmark mempunyai purata tempoh waktu
kerja yang kedua terendah selepas Netherlands iaitu hanya 33 jam
seminggu. Semua pekerja turut memperolehi sekurang-kurangnya lima minggu
cuti bergaji untuk bercuti di musim panas. Tidak dinafikan pekerja di
Denmark juga turut selesa menikmati gaji bulanan yang tinggi. Misalnya
gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan Denmark adalah 115 danish
kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.
Bagaimanapun, pekerja dikenakan cukai yang cukup tinggi. Purata cukai
yang dikenakan adalah dari 38-55% bergantung kepada jumlah pendapatan
tahunan. Malah, potongan cukai boleh mencapai sehingga 68%. Walaupun
cukai yang dikenakan tinggi, warga tempatan seolah reda kerana mereka
sama-sama dapat menikmati kemudahan dan prasana kelas pertama yang
disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan awam yang efisen
serta pilihan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang baik.
Salah satu iklan menarik di Copenhagen. Diskaun untuk membeli cenderamata berdasarkan umur. Umur 52 dapat 52% diskaun, kalau 78 tahun dapat 78% dan kalau 100 tahun, free je kot. |
Selain itu,
undang-undang buruh negara Denmark mengamalkan konsep 'flexicurity'
iaitu gabungan unik di antara fleksibiliti (flexibility) dan juga
keselamatan ataupun jaminan (security). Konsep unik ini membolehkan
majikan bebas melantik atau memecat pekerja. Bagaimanapun, sekiranya
dipecat, pekerja tersebut akan dilindungi kerajaan yang mana penganggur
berhak mendapat gaji minimum yang membolehkannya menyara hidup sehingga
mendapat kerja yang baru dalam tempoh dua tahun.
Pekerja juga mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Kebanyakan majikan
membenarkan pekerja memilih waktu masuk kerja. Apa yang penting kerja
yang ditugaskan diselesaikan dalam tempoh waktu kerja yang ditetapkan.
Lebih menarik, ibu yang melahirkan anak boleh mendapat cuti bersalin
dengan gaji penuh sehingga setahun. Manakala si bapa pula boleh mendapat
cuti bergaji jika pasangan bersalin hingga tiga bulan. Menarik bukan?
Berbasikal ke mana-mana saja |
Persekitaran sihat dan selamat
Penduduk di sekitar bandar Copenhagen gemar menggunakan basikal untuk ke
sesuatu tempat. Oleh itu kesesakan lalu lintas adalah sangat kurang
walaupun pada waktu puncak. Situasi ini bukan sahaja baik untuk alam
sekitar malah baik untuk kesihatan. Masyarakat tempatan juga gemar
melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu. Seringkali kelihatan
orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam kehujanan, pada
waktu malam malah semasa salji turun sekalipun. Di kawasan kejiranan
pula banyak disediakan taman kecil dan tempat beriadah. Sementelahan
itu, jika cuaca baik, maka berpusu-pusu orang ramai keluar bersiar-siar
atau hanya sekadar duduk di bangku di beranda sambil menikmati sinar
mentari.
Nenek warga emas berjoging semasa salji masih tebal |
Malah sewaktu musim sejuk sekalipun mereka gemar menceriakan suasana
sambil beristirehat di rumah dengan memasang lilin beraroma atau lebih
dikenali sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan. Perkataan itu sendiri
sebenarnya sukar didefinisikan kerana mempunyai konotasi berbeza-beza.
Tetapi boleh ditakrifkan sebagai keselesaan. Contohnya, dengan menikmati
secawan kopi sambil dibaluti selimut sambil membaca buku. Suasana
sebegini sudah tentu mendamaikan dan membuatkan hati menjadi tenang dan
selesa.
Antara faktor lain yang menjadikan seseorang itu sentiasa gembira adalah
apabila berasa selamat. Kadar jenayah di Denmark secara keseluruhannya
rendah. Jarang sekali terdengar kes tembakan, kecurian atau rompakan.
Tirai besi tidak diperlukan untuk membaluti tingkap kaca rumah. Anak
kecil juga boleh bebas bermain di sekitar kediaman tanpa ibu bapa perlu
risau bahaya kes penculikan.
Lantaran itu, faktor sebegini mendorong rakyat di Denmark menjadi
sentiasa ceria dan gembira serta sangat berpuas hati dengan kehidupan
masing-masing. Memang penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia
tetapi kekayaan sesebuah negara bukanlah menjadi faktor penentu untuk
mengukur tahap kebahagiaan.
* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
http://www.themalaysianinsider.com
http://www.themalaysianinsider.com
P/S: Terima kasih editor TMI sudi siarkan. Terima kasih juga atas
pembetulan. Perkataan 'redha' rupanya ejaan yang betul adalah 'reda'.
Tapi ada satu lagi editor tak perasaan, perkataan 'and' terlupa dipadam
pada perenggan kedua. Tapi tak pe, janji mesej dan info yang nak
disampaikan, sampai kepada pembaca .
*Malaysia tanah tumpahnya darah ku...walaupun dot dot dot
kredit:darikelatekecopenhagen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan