IKLAN

Memaparkan catatan dengan label Kata-Kata Hikmah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kata-Kata Hikmah. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Jun 2013

Mutiara kata dari Syeikh Mahmud Majzub al-Kedahi


Dipetik dari kata-kata Syeikh Mahmud al-Majzub al-Kedahi didalam kitab Ruhul zikri :-

1- Perkara kerohanian tidak boleh difaham dengan aqal, nafsu dan ilmu. Jika boleh dengan ilmu, sudah tentulah Imam Ghazali tidak mengaji dengan Yusuf Nasaji dan Sheikh Abdul Wahab Sya’rani tidak mengaji dengan Ali Khawas. Cukuplah mereka ini menjadi contoh.

2- Belajar kereta perlu ada guru, nak kenal Allah tak perlu guru. Ini awal-awal lagi syaitan tipu.

3- Duka dan suka di dalamnya makrifah lebih manis daripada madu, lebih putih daripada susu. Duka dan suka di dalamnya kekufuran dan kesyirikkan lebih pahit daripada hempedu dan lebih busuk daripada budu.

4- Kalau nak berjalan (di dalam perjalanan Ahlullah). Mengaku kita ni tak terpakai (tak berguna dan banyak dosa), lebih senang, mudah-mudahan Allah S.W.T. ampun dosa kita.

5- Orang yang diberi mudah (untuk menjalani jalan kesufian) apabila ada darah (keturunan) kesufian. Tiada dosa besar. Tiada amalan kejinnan (khadam). Banyakkan selawat, istighfar, zikir dan baik adab dengan Allah S.W.T., zuhud, tinggalkan makhluk, bersungguh-sungguh dengan Allah S.W.T., istiqomah, tegas, tiada tujuan dunia dan akhirat.

6- Kalau tak senang dengan sesuatu – DIAM!

7- Cakap salah tak cakap salah, cakaplah kerana Allah S.W.T. Semoga jadi hamba Allah S.W.T.

8- Kerja dunia boleh tangguh-tangguh, kerja akhirat tak boleh tangguh-tangguh.

9- Saya berdoa kepada Allah S.W.T. nak jadi hamba Allah S.W.T., bukan nak jadi wali.

10- Buat ibadat nak jadi wali – syirik!

11- Orang yang sebenar cinta Allah S.W.T. tidak takut menghadapi cabaran hidup dunia.

12- Saya tak ajar kamu melampau (berani dan semangat yang tak ketahuan). Saya tak ajar kamu menjadi pengecut. Saya ajar kamu jadi hamba Allah S.W.T. yang bertaqwa.

13- Saya hamba Allah S.W.T. macam kamu juga. Saya tidak tahu melainkan apa yang Allah S.W.T. bagi tahu. Kalau Dia tak bagi tahu, saya pun tak tahu.

14- Dia Tuhan! kita hamba. Jangan campur urusan Tuhan. Manusia jenis apa ini? Dia nak atur Tuhan. Dia suruh Tuhan ikut dia. Nauzubillah min zalik..

15- Hidup atas dunia tak mahu ikut nabi, aulia atau orang soleh. Bila mati nak duduk sekali dengan orang soleh, ini cerita kartun.

16- Waktu hidup ikut Firaun, Qarun dan Haman. Bila mati nak masuk Syurga, dengan nabi Musa a.s. dan Harun a.s. Logik tak? fikir-fikirlah..

17- Manusia, banyak tak dapat taufik hidayah sebab ikut nafsu amarah kemudian berdoa dengan Tuhan. Sepatutnya kena tinggalkan nafsu dulu. Allah S.W.T. jadikan nafsu Amarah supaya kita tinggalkan bukan untuk ikut.

18- Cara cuci hati. Banyakkan baca Al-Quran, ingat mati dan hadir majlis zikir. Bila hati suci, barulah ada tauhid.

19- Ilmu (kesufian) ini bukan boleh diwarisi. Kalau boleh tentulah saya bagi anak isteri saya dulu, tetapi ia adalah anugerah Tuhan.

20- Saya mengaji (ilmu perjalanan Ahlullah) dengan air mata (banyak menangis).

21- Penyatuan orang mukmin dengan air mata (menangis kerana mengenangkan keagungan Tuhan). Penyatuan orang yang tak mukmin dengan gelak ketawa. Macam kera maka jadilah kera.

22- Saya mengajar ilmu para wali bukannya tok sami!

23- Saya hanya boleh nasihat, saya tak boleh memberi manfaat dan mudharat. Buat ibadat nak fadhilat, nanti berkulat. Buat nak berkat nanti melekat.

24- Kesufian bukan boleh di dapati dengan seminar dan pena. Kesufian boleh di dapati dengan zuhud dan yakin.

25- Jangan buat ibadat pura-pura, nanti jadi kura-kura.

26- Nabi Yunus a.s., duduk dalam perut ikan tapi, tak jadi tahi, sebab baginda membaca “Laila hailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”. Oleh itu supaya kita, tidak menjadi tahi dunia, maka banyakkanlah membaca “Laila hailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”.

27- Perjalanan saya muafakat dengan perjalanan Maulana Ilyas r.a. (Pengasas Jemaah Tabligh, Ahli Zaman Abad 14 hijrah) dari segi menghancur hati kepada Allah S.W.T. cuma caranya berbeza tetapi matlamatnya sama. Seperti nelayan nak menjadi jutawan, tauke kilang nak jadi jutawan, peladang nak jadi jutawan. Walaupun caranya berbeza tetapi matlamat mereka sama, nak jadi jutawan!

28- Kamu boleh paksa anak kamu untuk dunia, tak cukup dengan sekolah pergi tusyen lagi. Tapi kenapa dengan halqah zikir kamu tak boleh buat?
Air mata takut Allah S.W.T. tak sama dengan air mata lembu. Macamana air mata lembu? Bila dia lapar dia menangis, bila dia sakit dia menangis, bila anak dia mati dia menangis. Macam itulah air mata orang tidak takut Allah S.W.T.

29- Menurut hadis, setitik air mata orang yang takut Allah S.W.T. boleh memadamkan api neraka. Apatah lagi api dunia dan bom atom, bom nuklear – kalau dibandingkan dengan api neraka! Sebab itulah Iblis dan konco-konconya mencari jalan untuk memupuskan jalan-jalan orang yang takut Allah.

30- Hari ini ramai orang membicarakan karomah para aulia, karomah Sultan ‘Aulia Sheikh Abdul Qadir Al Jilani tetapi kenapa tidak mengkaji cara-cara dan punca-punca hendak mendapat karomah.

31- Saya menceritakan perjalanan muqarrabin. Oleh itu janganlah kamu menghukum (membuat andaian) di atas pandangan orang-orang hasanah. Kerana kebaikkan orang-orang hasanah adalah kekejian bagi orang muqarrabin.

32- Kamu, kereta boleh beli tetapi jam loceng untuk mengejut waktu tahajud tak boleh beli.

33- Berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan Sunnah Rasullallah.

34- Orang kafir yang makan ular, bisa ular tidak menjejaskan mereka kerana dalam badan mereka ada sel-sel darah ular. Kita orang Islam tak makan ular, kemudian kita tak buat perkara yang lebih bisa dari bisa ular (zikir, istighfar dan selawat).

35- Bila (iman) kita lemah, maka orang-orang yang lebih lemah daripada kita akan mengambil kesempatan daripada kelemahan kita. Jalan penyelesaiannya, dengan kita memperbaikki diri kita.

36- Allah S.W.T. tak terima doa orang yang mengikut nafsu Ammarah.

37- Maafkan segala kesalahan orang-orang yang membuat kesalahan dengan kita walaupun mereka tidak memohon maaf.

38- Orang yang tak berani menghadapi ujian, itu orang bodoh. Kalau tak ada ombak yang besar macam mana orang yang main luncur ombak hendak rasa keseronokkan bermain ombak.

39- Kalaulah binatang buas boleh di latih sebagaimana harimau, gajah dan beruk sarkes dilatih untuk membuat pertunjukkan (boleh dijinakkan), apatah lagi manusia kerana Allah berfirman “Walhal mereka seindah-indah makhluk Allah”
(Surah Tin Ayat 4).

40- Jadilah hamba Allah, buatlah kerana Allah, MasyaAllah!

41- Jikalau kulit saya kamu salin ke tubuh kamu, darah saya kamu tukar ke dalam jasad kamu, daging dan tulang saya kamu pakai sekalipun! Kamu tak akan dapat sebagaimana saya dapat sekiranya kamu tak bersungguh – sebagaimana saya bersungguh-sungguh dengan Allah.

42- Bukan nak (zikir dengan suara) kuat, bukan perlahan. Matlamat kita hancur hati dengan Allah tetapi kebiasaanya nak hancurkan batu gunung untuk buat jalan kena gunakan bahan letupan. Kemudian batu tadi di masukkan di dalam mesin penghancur, tentulah proses ini mengeluarkan bunyi yang kuat. Apatah hati manusia lebih keras dari batu.

43- Fahaman Wahabi ialah fahaman yang berpegang kuat dengan zhahir syariat. Mereka tidak terbuka rahsia syariat. Jika kita berpegang kuat dengan syariat dan hakikat, mereka tak boleh makan kita.

44- Kalaulah anjing yang mengikut pemuda Ashabul Kahfi, Allah masukkan ke dalam syurga. Apatah manusia yang bersungguh-sungguh mengikuti perjalanan Ahlullah. Ada orang yang menulis nama-nama mereka (Ashabul Kahfi) untuk dibuat azimat sahaja. Ini saya tak setuju, sepatutnya kita kena ikut langkah mereka untuk menyelamatkan iman. Kita pun akan sama dapat kekuatan macam mana yang Allah anugerahkan kepada mereka.

45- Kamu tentang makan, kamu pandai. Untuk menyedapkan sesuatu makanan berbagai ramuan digunakan, tetapi kenapa untuk mendapat kemanisan di dalam ibadah – kamu tak pandai?

46- Duduklah tang manapun, di parit longkang, di dalam istana, di atas, di bawah, di tepi, di tengah, di laut atau di darat. Matlamat kita ialah kehambaan.

47- Pohonlah kepada Allah untuk berjumpa dengan guru yang boleh membimbing kamu ke jalan Allah.

48- Di dalam perjalanan Ahlullah, baka keturunan adalah salah satu perkara yang sangat penting. Sebab itulah Rasullullah S.A.W. suruh memilih perempuan yang beragama untuk dijadikan isteri.

49- Untuk menyucikan darah-darah keturunan yang tak terpakai, darah kejinnan, darah kekufuran dan kesyirikan. Hendaklah menghabiskan selawat sebanyak 5.6 juta.

50- Kalau kita tak larat nak berjalan, jadilah tangga untuk orang-orang yang nak berjalan.

51- Sesetengah orang seronok membaca dan mendengar keromah Syaikh Abdul Kadir Al Jilani. Nasihat Syaikh Abdul Kadir Al Jilani dia tak baca! Bacalah nasihat Syaikh Abdul Kadir Al Jilani, Fathul Ghaib dan Fathur Rabbani.

52- Allah S.W.T membimbing mereka melalui syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Pancaran nur kalimah ‘La ila haillallah’ yang di bawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sentiasa dikawal dan diperlihara oleh para aulia supaya memancar dan bersinar.

53- Bilal bin Rabbah r.a seorang hamba abdi. Orang yang dipandang hina oleh masyarakat tetapi berhubung dengan keimanan dan tauhid, dia seorang yang mulia dan cerdik. Beliau tidak tunduk kepada kekufuran dan kesyirikkan walaupun jasadnya disiksa. Di hari ini, kita ada ramai golongan cerdik pandai, ada pensyarah, ada jurutera, ada doktor, ada ulama; tetapi berhubung dengan keimanan dan tauhid, kita jauh ke belakang dan lebih bodoh daripada Bilal r.a..

54- Kalau kereta rosak ada tukang yang akan baikinya. Kalau orang rosak siapa yang nak baiki?

55- Jadilah hamba Allah sehamba-hambanya. Kalau orang bertanya siapa yang paling banyak dosa? Angkatlah tangan!

56- Perkara yang kita tak tahu tidak semestinya perkara tersebut tak betul.

57- Orang yang loyar buruk dengan ALLAH ialah orang yang loyar buruk dengan Aulia Allah.

58- Bala yang Allah kenakan kepada kita adalah setimpal dengan amal perbuatan kita.

59- Benda dan perkara yang dah berlaku, jangan kata “Silap!” Tuhan buat “Tak silap”. Yang silapnya pasal kita “Ikut hawa nafsu!”

60- Pakai baju, dulukan tangan kanan, buka baju dulukan tangan kiri. Pakai kain dulukan kaki kanan, tanggalkan kain, dulukan kaki kiri, pakai seluar duduk dulu dan mulakan dengan kaki kanan kemudian barulah berdiri, buka seluar dulukan kaki kiri. Nak pakai kasut/selipar dulukan kaki kanan nak buka, dulukan kaki kiri. Pakai kain tindihkan kanan di atas pihak kiri. Ni kamu tidak! pakai ikut “DAN!”. Tak ikut sunnah, ikut syaitan, tak ada zikrullah. Zikrullah tak masuk dalam badan lagi. Kamu ingat perkara ni kecik! Kalau perkara kecik tidak boleh nak jaga, macam mana nak jaga perkara yang lebih BESAR?... 


 Sumber:tehsecawan

Khamis, 14 Februari 2013

Peringatan Untuk Diri Sendiri Jua


sebeningkasihfatihah.blogspot.com 

Peringatan Untuk Diri

Hadith yang diriwayatkn oleh Ibnu Majah, 
"Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu kerana hendak menandingi ulama dan bermegah kepada orang yang bodoh, hendaklah ia menyediakan tempatnya di dalam neraka"

Pesanan Ibrahim Adham

1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
4.Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
5.Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6.Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
7.Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."
Aku menulis bukan kerna nama,bukan kerna wang dan upah,
Kerna kasih sayang pada sesama insan,
Dan menyatakan kasih sayangNya...


Kredit: ijoks2009.blogspot.com


Isnin, 4 Februari 2013

Pantun Orang Malas Solat



Pantun Orang Malas Solat

Apasal la aku malas sembahyang,
Tuhan kasi aku jasad siap dengan bayang-bayang,
Bukan ke lebih beruntung daripada tiang,
Berdiri tanpa roh malam siang…

Apasal la aku malas sembahyang,
Kerja dah best keluarga pun dah senang,
Negara pun dah aman tidak lagi hidup berdagang,
Takkan 10 minit,setiap satu waktu aku tak boleh luang...

Apasal la aku malas sembahyang,
Tuhan kasi otak supaya aku tak bangang,
Tuhan kasi ilmu boleh fikir susah senang
Tuhan kasi nikmat kenapa aku tak kenang…

Apasal la aku malas sembahyang,
Main bola aku sanggup sampai petang,
Beli tiket konsert aku sanggup beratur panjang
Apa la aku ingat masuk syurga boleh hutang…?

Apasal la aku malas sembahyang,
Aku kena ingat umur kita bukannya panjang
Pagi kita sihat petang boleh kejang,
Nanti dalam kubur kena balun sorang-sorang….

Apasal la aku malas sembahyang
Siksa neraka cuba la aku bayang,
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang,
Janji Allah Taala akan tertunai tak siapa boleh halang... 


perihalagamaislam.blogspot.com


Jumaat, 18 Januari 2013

Jangan Bersedih Nikmatilah Kehidupan Ini, Sekarang !


Tiada orang yang pernah kenyang dengan hanya melihat makanan dan tidak menyuapkannya ke dalam mulut. Dan tiada orang yang pernah mendapat kepuasan membaca dengan hanya memegang buku ini. The Power of Now, kita perlu membaca buku ini sekarang juga.
- Jangan Bersedih
Hidup kita terlalu singkat untuk bersedih. Kebahagiaan dan kesedihan sentiasa berlumba-lumba antara satu sama lain. Apabila salah satu daripadanya berehat, yang satu lagi akan mengalahkannya. Jangan biarkan hidup kita terisi dengan kesedihan.
- Menikmati Kehidupan
Bangunlah setiap hari dengan penuh teruja mahu menikmati kehidupan pada hari ini. Kemudian, tidurlah dengan penuh kepuasan dan teruja mahu menikmati kehidupan pada esok hari.
- Menikmati Saat Sekarang
Jangan terperangkap dalam kenangan silam dan jangan terlalu risau tentang masa hadapan. Hiduplah dan nikmatilah saat sekarang. Terkenangkan masa silam, kita lemas. Terfikirkan masa depan, kita cemas. Bukankah hari ini adalah emas? Marilah menikmati kehidupan kita pada saat ini. Ya, nikmatilah saat ini.
- Memanfaatkan Hidup
 Semalam adalah pengalaman, hari ini adalah kehidupan, dan esok adalah perancangan. Konon-kononnya masih dihantui pengalaman silam, hidup derita siang dan malam. Konon-kononnya sibuk merancang masa depan, terasa diri tiada harapan. Akhirnya, kita lupa betapa indahnya saat ini, betapa bermaknanya hari ini. Mari manfaatkan hidup ini.

Isnin, 24 Disember 2012

Kata Bijaksana Akhir Tahun

Kali ini saya menyajikan Kata Kata Bijaksana terbaru khas buat anda semua. Akhir-akhir ini banyak sekali orang yang mencari Kata-kata bijaksana untuk memberi motivasi kepada diri sendiri dan sahabat sekelian.


Kata Bijak Akhir Tahun

Kata Kata Bijaksana "Seorang pemenang tidak pernah menyerah, dan orang yang menyerah tidak pernah menang." 

"Syukurilah apa yang anda dapatkan baik suka ataupun tidak maka anda sudah menghargai hidup anda sendiri" 

"Pekerjaan yang berat apabila kita menikmati pekerjaan tersebut maka pekerjaan akan menjadi mudah dikerjakan dan memuaskan " 

"Dalam hidup, ada hal yang datang dengan sendirinya, dan ada perkara yang perlu diperjuangkan dahulu untuk mendapatkannya." 

"Tidak ada satu pun di dunia ini, yang boleh di dapat dengan mudah. ​​Kerja keras dan doa adalah cara untuk mempermudahnya . " 

"Kejayaan kita di masa depan lebih penting, daripada kepedihan kita di masa lalu." 

"Jangan membiarkan masalah bertumpuk hingga akhirnya kamu tidak boleh menyelesaikannya" 

"Jangan terlalu berharap apa yang dapat dunia berikan untukmu, Tetapi berikanlah yang terbaik untuk dunia. Nescaya dunia akan menjadi tempat yang lebih indah " 

"Memberi adalah wujud perasaan berterima kasih terhadap keberkatan yang telah kita terima" 

"KASIH ITU MENUTUPI BANYAK KESALAHAN .... KASIHILAH MUSUHMU ... Bagaimana engkau dapat mengasihi Tuhan yang tidak kelihatan apabila manusia yang terlihat saja tidak dapat kau kasihi " 

"Orang yang berfikiran positif, dalam keadaan apapun juga selalu memacu dirinya sendiri ke arah yang lebih baik, tanpa terpengaruh oleh keadaan luar, selalu berusaha melihat dari segi positif, dan menjadikan halangan sebagai cabaran untuk maju" 

"Bila cintamu tak kunjung tiba sedangkan umur terus bertambah dan diri beranggapan bahawa perkahwinan harus dijalankan demi mendapat pengakuan, jangan ada keraguan untuk meneruskan asal tanamkan saling pengertian, kerana perkahwinan seperti ini akan terhindar dari badai kecemburuan " 

"Orang malas tidak akan menangkap buruannya, tetapi orang rajin akan memperoleh harta yang berharga " 

"Ketika kamu gembira, kegembiraan tidak melampaui hakmu.Ketika kamu berkuasa, kamu tidak mengambil sesuatu yang bukan hakmu." itulah adab orang beriman " 

"Orang berjaya memiliki kebiasaan melakukan perkara yang tidak suka dilakukan oleh orang malas.Orang berjaya itu sendiri sebenarnya juga tidak suka melakukannya, tapi ketidaksukaan mereka di taklukkan oleh kekuatan tujuan mereka. " 

"You Never Change If You Never Try .. do it your own way by your self.Dont give up and be a weak until we die. try to the best things what you got. BECAUSE YOU ARE NOT A LOOSER!! "

"Apapun yang boleh di bayangkan fikiran manusia, serta di yakini dan diusahakannya .. PASTI AKAN TERCAPAI!!!" "Tanda akal seseorang itu adalah pekerjaannya, dan tanda ilmu seseorang itu ialah perkataannya. " 

"Gagal dalam kemuliaan adalah lebih baik, daripada menang dalam kehinaan dan kecurangan." 

"Bicaralah ketika engkau merasa tidak kunjung damai, biarkan teman di sampingmu setia untuk mendengar semua keluhanmu itu, kerana dunia ini tak mungkin selalu ada keluarga yang mampu mendengar semua rasa yang kau pendamkan dalam benak mu.di samping mu masih ada yang punyai derita batin sama seperti mu " 

"Tidak ada satu pun sifat yang diberikan Tuhan kepada kita, yang tidak pernah berguna."

"Gagal dalam sebuah pertempuran akan lebih kesatriannya, daripada gagal sebelum sempat menarik pedang " 

"Rasa hormat tidak selalu membawa persahabatan, tapi persahabatan tidak mungkin ada tanpa rasa hormat."

"Gagalnya cinta bukanlah gagalnya hidup. Bahkan banyak orang yg berjaya kerana ditempa kekecewaan yg sangat mendalam."

"Jangan bersedih jika kamu tidak di hargai, tapi bersedihlah jika kamu tidak berharga lagi."

 "Janganlah memperlihatkan kesedihan kita di depan umum, kerana itu tak akan pernah berguna." 

"Seorang ibu tidak pernah memintamu untuk meletakkan dunia di tangan, namun tutur kata yang halus, perangai yang santun, perilaku yang bertanggung jawab dari seorang anak adalah kebahagiaan buat seorang ibu "

"Berfikir baik-baik sebelum melangkah atau mengucapkan sesuatu, kerana bertindak atau bercakap yang tidak tepat waktu dan sasaran justeru akan mengakibatkan burukan.Adakalanya kita harus melangkah, adakalanya kita harus diam "

"Jangan berhenti bermimpi ... kerana tak ada yang mustahil ... selama mahu berjuang untuk meraihnya"

"Cinta seorang ibu berada tepat di bawah cinta Tuhan kepada kita." Ibu tidak pernah lelah untuk menyayangi dan mengasihi kita. Cinta nya lebih mulia daripada cinta seseorang dimanapun di dunia ini. ï'm sorry Mom! I never meant to hurt you! I never meant to make you cry. "

"Tidak menyesali ataupun dendam / marah pada hal-hal yang sudah berlalu, dan tidak menaruh rasa cemas yang berlebihan akan masa akan datang, itulah ketenangan sejati "

"Salah satu perkara yang tidak dapat di kitar semula adalah masa yang telah terbuang. Jadi pastikan anda menggunakan setiap waktumu dengan baik."

"Jangan engkau katakan setiap apa yang engkau ketahui, tapi ketahuilah setiap apa yang engkau katakan. " 

"Membuang waktu mu untuk melakukan hal yang tidak berguna boleh menghancurkan masa depanmu"

Kredit: exelroze


Selasa, 13 November 2012

Pierre Andre Gemparkan Dunia Artis Dengan Ucapan Keagamaan

As-salam.Sahabat semua ada tenguk Anugerah Skrin 2012 Ahad lalu tak ? Aku tertenguklah juga sikit-sikit..bahagian akhir yakni masa pemenang ambil anugerah, terutamanya bila Pierre Andre yang ambil, tahniah aku ucapkan padanya atas apa yang dimenanginya dan tahniah juga atas ucapan pada malam itu yang aku rasa mantop.Ia telah memberi ucapan yang terbaik sebagai pesanan kepada artis-artis didalam dunia hiburan tempatan dan juga untuk kita semua.


"Anugerah paling bernilai yang kita ada adalah kalimah Laa 'ilaa haillallah, Jagalah kalimah ini dalam diri kita".



wo, wo... dia artis, dia pelakon, dia public figure, dia terima anugerah dunia 
tetapi lebih menghargai anugerah Allah iaitu kalimah shahadah dalam dirinya . Alhamdulillah. 

Diantara komen -komen di facebooknya



Nah ini video ucapan anak muda bernama Pierre Andre


"Jagalah kalimah ini dalam diri kita"
Tafsirannya mungkin jaga iman, jaga aqidah, jaga penampilan. jaga aurat, jaga tingkahlaku.... senang cerita jaga semua seperti sunnah nabi dan tuntutan agama Islam. Gua pasti mengalir air mata syukur ibu dan ayahnya tatkala melihat anakanda kesayangan mereka berkata demikian. Allahu Akhbar
Kredit: gendang perang/ exazaf


Rabu, 7 November 2012

Lebih Mudah Melihat Kekurangan Orang Lain..



Kita mudah melihat kelemahan orang lain,
kita sukar melihat kekurangan sendiri. Bermuhasabahlah sentiasa


 abdullah al-hadi hj muhamed 

Selasa, 6 Disember 2011

Karikatur Yang Membuatkan Kita Merenungi Kehidupan Ini




Sedar atau tidak sedar kadang-kadang setiap hari kita selalu menggunakan topeng untuk menutup kemunafikan pada diri kita. Wajarkah kita lakukan demikian setiap hari??? 


Jadilah orang tua yang menyayangi anak-anak. Jangan biarkan mereka bagaikan orang yang terasing di dalam keramaian. Berilah masa dan bimbinglah anak-anak kita dengan penuh kasih sayang 


Berikanlah sedikit perhatian kita kepada mereka yang memerlukan. Banyak di antara saudara-saudara kita yang masih menunggu huluran tangan cinta kita 


Ketamakan kita sebagai manusia sering membuat kita gelap mata. Bila sudah menjadi Penguasa maka akan terasa sangat berat untuk meninggalkannya. Segala daya dan upaya akan dilakukan untuk mengkekalkannya... 


Bukan hanya perbezaan warna kulit, status sosial pun menjadi benteng keangkuhan kita. Bukankah di mata Tuhan kita adalah sama???

Renung-renungkan dan Selamat Beramal...

Sumber : www.exelroze





Rabu, 30 November 2011

Kumpulan Kata-Kata Hikmah dan Bijaksana yang Islamik



Perbanyaklah kamu mengingati mati, kerana hal itu boleh membersihkan dosa dan menyebabkan kamu zuhud atau tidak cinta kepada dunia. (Rasulullah S.a.w)
Berteman dengan orang bodoh yang tidak mengikuti ajakan hawa nafsu adalah lebih baik bagi kamu, daripada berteman dengan orang alim tapi selalu suka terhadap hawa nafsu. (Ibnu Attailllah as Sakandari)
Keluarlah dari dirimu dan serahkanlah semuanya pada Allah, lalu penuhi hatimu dengan Allah. Patuhilah kepada perintahNya, dan larikanlah dirimu dari laranganNya, supaya nafsu badaniahmu tidak memasuki hatimu, selepas itu keluar, untuk membuang nafsu-nafsu badaniah dari hatimu, kamu harus berjuang dan jangan menyerah kepadanya dalam keadaan bagaimanapun juga dan dalam tempoh bila-bila masa juga. (Syeikh Abdul Qadir al-Jailani)
Kejahatan yang dibalas dengan kejahatan pula adalah sebuah akhlak ular, dan kalau kebajikan dibalas dengan kejahatan itulah akhlak buaya, lalu bila kebajikan dibalas dengan kebajikan adalah akhlak anjing, tetapi kalau kejahatan dibalas dengan kebajikan itulah akhlak manusia. (Nasirin) 
Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu akan menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) sedangkan harta terhukum. Kalau harta ia akan berkurang apabila dibelanjakan, tetapi ilmu akan bertambah apabila dibelanjakan@diajarkan. (Sayidina Ali bin Abi Talib)
Orang yang suka berkata jujur ​​akan mendapat 3 hal, iaitu: kepercayan, CINTA dan RASA HORMAT (Sayidina Ali bin Abi Talib) 
Ketahuilah bahawa sabar, jika dipandang dalam permasalahan seseorang adalah ibarat kepala dari suatu tubuh. Jika kepalanya hilang maka keseluruhan tubuh itu akan membusuk. Sama halnya, jika kesabaran hilang, maka seluruh permasalahan akan rosak. (Sayidina Ali bin Abi Talib) 
Sabar mempunyai dua sisi, sisi yang satu adalah sabar, sisi yang lain adalah bersyukur kepada Allah. (Ibnu Mas'ud)
Kebersamaan dalam suatu masyarakat menghasilkan ketenangan dalam segala kegiatan masyarakat itu, sedangkan saling bermusuhan menyebabkan seluruh kegiatan itu tergantung. (Bediuzzaman Said Nursi) 
Menghidupkan kembali agama bererti menghidupkan suatu bangsa. Hidupnya agama bererti cahaya kehidupan. (Bediuzzaman Said Nur) 
Orang yang terkaya adalah orang yang menerima pembahagian (takdir) dari Allah dengan senang hati. (Ali bin Husein) 
Seseorang yang melihat kebaikan dalam pelbagai hal bererti mempunyai fikiran yang baik. Dan seseorang yang mempunyai fikiran yang baik mendapatkan kenikmatan dari hidup. (Bediuzzaman Said Nur) 
Dia yang menciptakan mata nyamuk adalah Zat yang menciptakan matahari.(Bediuzzaman Said Nursi)
Penderitaan jiwa mengarahkan keburukan. Putus asa adalah sumber kesesatan dan kegelapan hati, pangkal penderitaan jiwa. (Bediuzzaman Said Nursi) 
Takutlah kamu akan perbuatan dosa di saat sendirian, di saat inilah saksimu adalah juga hakimmu. (Ali bin Abi Talib) 

Pangkal daie semua kebaikan di dunia mahupun di akhirat adalah taqwa kepada Allah. (Abu Sualeman Addarani) 

Barang siapa tidak dicuba dengan bencana atau kesusahan, maka tidak ada sebuah kebahagiaan pun di sisi Allah. (Adh-Dhahhak) 
Niat adalah ukuran dalam menilai benarnya suatu perbuatan, oleh kerana itu, ketika niatnya benar, maka perbuatan itu benar, dan jika niatnya buruk, maka perbuatan itu buruk. (Imam An Nawawi) 
Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Saya memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak mencari rezeki yang lebih baik daripada sabar. (Umar bin Kattab) 
Orang yang paling aku sukai adalah dia yang menunjukkan kesalahanku. (Umar bin Khattab)
 Dibawah ini adalah kumpulan dari kata bijaksana yang diambil dari salah seorang Ustaz yang terkenal di Indonesia iaitu, AA Gym.
Semakin ingin menunjukkan diri kita agar diakui, dihormati, maka semakin tertekan, tegang dan melelahkan batin, dan biasanya makin tidak disukai. 
Tak jujur ​​adalah penjara, yang membuat diri dicengkam takut terbongkar, mudah untuk berdusta, nikmat apapun tak akan ternikmati, maka jujur ​​adalah hidup merdeka. 
Hati yang bersih akan peka terhadap ilmu, apa-apa yang dilihat, didengar, dirasakan jadi samudera ilmu yang membuatnya kian bijak, arif dan tepat dalam menyikapi hidup ini. 
Mustahil semua orang akan menyukai kita - walau kita berbuat baik semaksimum mungkin. Tak usah aneh dan kecewa, terus saja berbuat yang terbaik, kerana itulah yang kembali kepada kita. 
Keberanian untuk mengatakan tak tahu untuk yang tak diketahuinya jauh akan lebih menenangkan dan dihormati daripada selalu ingin kelihatan serba tahu atau serba berpengatahuan. 
Konflik biasanya terjadi kerana saya benar dan kamu salah, berilah kesempatan hati mengatakan kita benar dan dia pun boleh jadi benar, Insya Allah akan mudah cari penyelesaian. 
Orang yang paling mulia di antara manusia adalah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling siap menghadapinya dengan bekal amal soleh. 
Yang penting bagi pimpinan bukan memaksa anggotanya mentaati kepada perintahnya, tapi membuat mereka faham apa yang terbaik yang harus dilakukannya dengan penuh kesedaran. 
Sikap emosional merupakan ciri belum mahir mengendalikan diri. Bagaimana mungkin dapat mengawal orang lain dengan baik, bila diri sendiri kurang terkawal.(AA Gym.)
Semoga semua mendapat manfaat dari kata-kata hikmah dan bijaksana diatas, dapat membantu kita semua menjadi muslim yang beriman dari sebelumnya. Dan jika ada kesalahan dalam kata-kata motivasi islami di atas,saya mohon untuk ditegur. Semoga berguna untuk anda semua. Jadi semua ini boleh membantu kita menjadi manusia yang lebih baik tak kiralah agama apa yang anda anuti.
Bagi umat Islam yang mempunyai kata-kata bijaksana dan tentunya harus islami. Mari kita bersama  berkongsi supaya pahala kita bertambah menjadi pahala jariah bila kita tiada lagi di dunia ini! WallahuA'lam.


Kredit :blogbintang.com





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik