IKLAN

Khamis, 18 April 2013

Hadis Palsu Popular #1 Kisah Alqamah Anak Derhaka




Edy baru saja selesai baca sebuah buku yang sangat bermanfaat buat kita semua iaitu bertajuk "40 HADIS PALSU POPULAR" keluar PTS Islamika. Sebenarnya korang mesti tertanya-tanya tentang tajuk entri ni kan. Memang ada kaitan tajuk entri edy dengan buku ni. Edy ingin berkongsi sedikit dengan korang ilmu yang edy dapat daripada buku ni dan harapnya boleh dijadikan manfaat bersama. Untuk kali ni, edy nak kongsi dengan korang tentang cerita Alqamah, anak derhaka.


Kisah Alqamah yang menderhaka kepada ibunya ni sangat popular, betul tak. Dan sering diceritakan oleh mana-mana penceramah. Namun, cerita Alqamah ni sebenarnya dihukumkan palsu oleh para sarjana hadis. Kat bawah ni ialah ringkasan cerita Alqamah ni:


Alqamah adalah seorang ahli ibadat yang sangat banyak melakukan ibadat pada zaman Rasulullah. Beliau mempunyai seorang ibu. Tetapi selepas berkahwin, beliau dilihat sangat memberikan perhatian dan melebih-lebihkan isterinya sahaja. Perhatian kepada ibunya diabaikan. Alqamah hanya menumpukan kepada ibadah dan isterinya sahaja.

Sikap Alqamah ini membuatkan ibunya berasa sangat kecewa dan terasa hati. Ibunya tidak dapat memaafkan perangai Alqamah ini. Diringkaskan cerita, apabila Alqamah menghadapi saat-saat kematian, beliau tidak dapat melafazkan ucapan syahadah. Saat kematian Alqamah ini sangat sukar sehingga menimbulkan tanda tanya kepada orang lain.

Lalu apabila Rasulullah datang, baginda terus bertanya kepada sahabat-sahabat yang lain adakah Alqamah ini masih mempunyai ibu? Sahabat menjawab masih ada. Rasulullah mengarahkan supaya dipanggil ibunya. Rasulullah memohon supaya ibunya menarik balik kutukannya terhadap Alqamah dan memaafkannya.

Ibunya tidak mahu lantaran perasaan kecewa dan sakitnya hati terhadap sikap Alqamah yang baginya seorang anak yang derhaka. 

Akhirnya, Rasulullah mengarahkan sahabat lain mengumpulkan kayu api untuk membakar Alqamah agar dia cepat mati. Mendengar keputusan Rasulullah ini, ibunya berubah fikiran. 

Walaupun hati masih kecewa, tetapi ibu mana yang sanggup melihat anak kandungnya diperlakukan sedemikian. Lantas, ibunya bersetuju untuk memaafkan kesalahan Alqamah. Sejurus selepas si ibu memaafkan Alqamah, beliau dapat melafazkan kalimah syahadah dan terus meninggal dunia.


Sekarang edy nak tunjukkan kepada kepada korang ulasan para sarjana hadis tentang hadis atau kisah Alqamah ini:

  • Ibn al-Jauzi menghukumkan kisah ini sebagai palsu dan menyenaraikannya dalam buku beliau bertajuk al-Maudhua't.
  • Al-'Uqaili juga menyenaraikan kisah ini dalam Dhu'afa al-Kabir.
  • Al-Haithami berkata:
         "Hadis ini dilaporkan oleh Tabrani dan Ahmad secara ringkas sekali tetapi dalam 
          sanadnya terdapat seorang pelapor yang bernama Faid Abu Warqa' dan dia adalah 
          seorang yang matruk (yang ditinggalkan hadisnya).
  • Kisah ini jugak dihukumkan lemah oleh para sarjana hadis yang lain seperti al-Baihaqi dalamSyu'ab al-Imam, al-Munziri dalam targhib wa tarhib, Ibn 'Arraq dalam Tanzih al-Syariah dan sebagainya. 
  • Menurut kesimpulan yang dibuat oleh al-Albani, beliau menghukum hadis ini sebagai palsu seperti yang dinyatakan dalam buku beliau bertajuk Silsilah Ahadith al-Dhaifah.

Jadi, marilah kita sekilas pandang tentang kisah ni. Kisah ni memang sangat terkenal dan sering diceritakan kepada anak-anak dengan tujuan untuk memupuk sikap taat dan tidak menderhakai ibu bapa. Tujuan dan niat ini sangat murni dan ianya bertetapan dengan ajaran Islam. 

Tetapi, apabila kisah palsu ni digunakan sebagai sandaran hujah untuk mengukuhkan cerita dan fakta, ia adalah tindakan yang sama sekali tidak wajar. Walaupun niat ini adalah baik, tetapi tetap tidak membolehkan kita menyebarkan sebarang bentuk pendustaan terhadap Rasulullah S.A.W.

Jadi, kita mestilah didik anak-anak kita supaya sentiasa patuh dan taat kepada ibu bapa. Beri peringatan kepada mereka tentang bahaya dan azab bagi orang yang menderhaka kepada ibu bapa. Ini sebab persoalan menderhakai ibu bapa merupakan salah satu dosa yang disenaraikan sebagai dosa besar.

Jadi, lepas ni kita gunakanlah hadis sahih yang diceritakan sendiri oleh Rasulullah yang meletakkan dosa menderhakai ibu bapa sebagai kesalahan yang besar selepas syirik. Hadis macam ni lah yang perlu dibaca dan disebarkan kepada anak-anak mahupun masyarakat. Antara hadis-hadis itu ialah:


Abu Bakrah melaporkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Mahukah aku jelaskan kepada kamu semua tentang dosa yang sangat besar?" Kami (para sahabat) menjawab" Ya, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua ibu bapa."

                                                                                                              (Hadis riwayat Bukhari)


Ibn Umar melaporkan bahawa Rasulullah pernah menyatakan bahawa di antara golongan yang  tidak akan dipandang oleh Allah S.W.T pada hari akhirat kelak dan tidak akan masuk syurga ialah mereka yang menderhakai ibu bapanya.

                                                                                                               (Hadis hasan sahih)


edyramanov.blogspot.com : ini sekadar perkongsian ilmu untuk korang. jika tidak faham atau ragu-ragu silalah bertanya kepada mereka yang lebih arif dalam bidang hadis dan al-Quran ok.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Tambah Visitors

Free advertising

Entri Mereka Juga Menarik

Geng Baik