Sabtu, 18 Ogos 2012

30 Tips Persiapan Meraikan Aidilfitri


Ramadhan hampir berlalu, Syawal pula hampir menjelang tiba sebagai tanda berakhirnya ibadat puasa yang merupakan rukun Islam yang ke empat. Moga setiap amalan yang dikerjakan di bulan Ramadhan berterusan dilaksanakan sehingga bertemu yang seterusnya,insyaAllah.

Syawal merupakan bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah berjaya menahan nafsu amarah, dari lapar,dahaga serta mengawal anggota badan daripada melakukan perkara yang dilarang. Namun tidak bermakna berakhirnya Ramadhan di situlah juga penamat kepada segala amalan yang dilakukan bahkan seharusnya ia menjadi pemangkin diri bagi setiap individu muslim untuk terus berada dalam nikmat ketenangan yang telah dirasai semasa Ramadhan dengan meneruskan dan meningkatkan lagi amal ibadat.

 
Antara penerusan amalan yang boleh dilaksanakan di bulan Syawal ini adalah puasa Enam, sabda Rasulullah s.a.w : ‘Jika seseorang berpuasa semasa Ramadhan kemudian mengikuti dengan enam hari Syawal,ia adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.’ (RIwayat Muslim). Oleh itu marilah kita bersama-sama usahakan untuk melaksanakan puasa enam ini di sepanjang bulan Syawal.Selain itu, Syawal juga merupakan peluang untuk umat Islam berkumpul dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim serta bermaaf-maafan sesama kita.   

Persiapan Hari Raya

1.
Mulakan Syawal lebih awal dalam memanifestasikan makna fitrah iaitu fitrah badaniah.

 Dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya: “Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah): mengunting misai, merapi janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, beristinja, dan berkumur.” [Hadis riwayat Muslim]


2. Banyakkan bertakbir pada malam 1 Syawal.
Firman Allah Ta‘ala yang bermaksud “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 18]


Disunatkan kepada kita melafazkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram solat Hari Raya. Boleh dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama-sama keluarga. Bahkan pada zaman Rasulullah SAW takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.


3. Berdoa dan berbuat kebaikan pada malam Aidil Fitri
Imam Al-Syafie r.a. telah menegaskan bahawa malam Aidil Fitri itu adalah antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm:


“Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidil Adha, malam Aidil Fitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Sya‘ban.

Sunat beribadah pada malam hari raya antaranya solat sunat, bacaan
Al-Quran, berzikir, bertakbir dan seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW :-
 

"Barang siapa menghidupkan dua malam Hari Raya (Aidilfitri dan
AidilAdha), ALLAH SWT akan menghidupkan hatinya di hari matinya hati-hati
manusia."


4. Ambil kesempatan untuk berqiamulail.
Imarahkan malam dengan ibadat, bukan kerana bakar lemang atau masak ketupat. Lebih teruk lagi jika kita mengambil peluang untuk berbuat maksiat serta berhibur dengan pelbagai program yang melalaikan hingga ke pagi. Walaupun amalan menghidupkan malam Hari Raya adalah antara perkara khilaf. Namun Imam Syafie Rahimahullah menyukai amalan ini walau pun hadithnya dhaif.

5. Jangan berpuasa pada siang 1 Syawal.
Sesungguhnya pada 1 Syawal, Allah haramkan kita berpuasa.


6. Haram ‘kongsi raya’.
Jangan menganggap Aidil Fitri sama seperti perayaan-perayaan lain.

7. Disunatkan mandi pagi.
Hal ini dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar dalam kitab al-Muwatta’, bahawa Rasulullah SAW mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bergerak ke masjid.

8. Sunat memakai pakaian yang terbaik dan tercantik, walaupun tidak baharu,dan juga  mengenakan harum-haruman atau  bau-bauan.

Imam Baihaqi ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda Rasulullah SAW mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.

Seorang hukama pernah berkata: “Bukanlah hari raya itu dengan baju yang baru, tetapi hakikat hari raya itu adalah dengan takwa yang semakin jitu.” Semangat ketakwaan yang semakin menebal dan kukuh di jiwa setiap calon yang telah berjaya menamatkan latihan Ramadan selama sebulan, itulah makna hari raya sebenarnya yang dikehendaki syarak.

9. Makan terlebih dahulu.
Sebelum berangkat ke masjid makanlah dulu. Selain ketupat rendang, dodol lemang atau segala macam menjadi hidangan jangan lupakan kurma. Jangan habiskan semua kurma dalam bulan Ramadan. Simpankan sekotak untuk 1 Syawal.
Sebuah hadis dari Anas bin Malik telah menjelaskan bahawa Baginda SAW tidak menikmati hidangan melainkan makan terlebih dahulu buah kurma dengan bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

10. Sebelum solat bermaaf-maafan sesama keluarga.
Benarlah, tidak ada masa tertentu atau musim yang khusus untuk kita bermaaf-maafan. Pintu kemaafan ini sangat luas daunnya. Cuma apabila sudah berada pada hari kebesaran Islam ini dan berkumpul bersama-sama keluarga, eloklah kita gunakan kesempatan tersebut. Kikiskanlah perasaan ego dan takbur diri dengan memaafkan segala kesalahan sesama adik-beradik atau saudara-mara dan jiran tetangga kita. Kesempatan berjumpa, bukan selalu ambillah peluang berpeluk cium sesama keluarga. Malah kalau nak bergambar pun, bergambarlah sekeluarga masa ini. Barangkali selepas solat aidil fitri.

Dalam sepotong hadis, Baginda bersabda maksudnya: Harta itu tidak akan luak atau berkurangan akibat sedekah, tidaklah bertambah di sisi Allah SWT bagi seseorang yang sudi memaafkan, melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang itu merendah diri, melainkan akan diangkat oleh Allah SWT kemuliaannya (Riwayat Muslim)

11. Disunatkan seluruh umat Islan samada tua atau muda, lelaki dan perempuan termasuk yang dalam haid untuk menghadiri perhimpunan solat sunat Hari Raya.
Ummu 'Athiyah R.A berkata :- "Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan
wanita-wanita yang haid pada dua hari raya (Aidilfitri dan AidilAdha)
agar mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum muslimin, tetapi
wanita-wanita yang sedang haid itu terpisah dari tempat solat."
[Hadith Riwayat : Muttafaq'alaih]



12. Bersegera pergi ke tempat solat.
Tuntutan bersegera menunaikan solat Aidil Fitri sama ada ke masjid atau surau, sama seperti tuntutan bersegera untuk solat Jumaat.

13. Berjalan kaki ke Masjid.
Sunat pula pergi menunaikan solat hari raya itu dalam keadaan berjalan kaki sebagaimana hadis dari Sayidina Ali bin Abi Talib. Cuma sunnah ini gugur kepada golongan yang agak jauh jarak rumahnya dengan masjid, maka bolehlah mereka menaiki kenderaan nanti gugur pula bedak dan celak atau masam pula ketiak.
 
14. Pergi ke masjid melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain.
Mengapa Nabi memilih jalan yang berbeza? Hikmahnya supaya bertemu dengn ramai orang. Maklumlah bukan selalu balik ke kampung. Barangkali rupa pun sudah berubah. Berkenal-kenalanlah kalau berselisih dengan orang. Tengok-tengoklah jalan kampung yang semak dengan lalang atau jalan berlubang, jambatan patah dan lain-lain. Sama ada dia wakil rakyat atau tidak, hulurkanlah sedekah masuk ke dalam tabung masjid. Ini bertepatan dengan gesaan Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menginginkan agar murah rezeki dan dilanjutkan ajalnya, maka hubungkanlah silaturahim.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

15. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan solat Aidilfitri.

16. Solat sunat Aidilfitri mendahului khutbah.
Oleh sebab Hari raya Aidil fitri setahun sekali diingatkan kepada para imam bahawa solat sunat Aidil fitri didahulukan daripada khutbah. Dari Al-Bara’ beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah solat. [Riwayat Bukhari].

Malah Solat sunat Aidil Fitri sunat dilambatkan sedikit, sedangkan solat hari raya korban perlu disegerakan. Melewatkan solat Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa belum mengeluarkan zakat fitrah. 

17. Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah.
Solat Aidil Fitri berbeza dengan solat Jumaat kerana solat hari raya tidak dilaungkan azan dan iqamah. Malah tiada sunat qabliah dan ba’diah. (Walau bagaimanapun solat tahiyatul masjid dan solat dhuha boleh dilaksanakan) Turut berbeza solat sunat Adidil fitri dari sudut takbirnya. Biasanya 7 kali takbir pada rakaat pertama dan 5 kali takbir pada rakaat kedua. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunnat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah.

18. Pemilihan surah ketika solat.
Bagi imam, ayat yang sunat dibaca seperti yang disabdakan oleh Nabi dalam Sahih Imam Muslim disebutkan bahawa Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan membaca surah al-’Ala (Sabbihis Marabbikal A’la) pada rakaat pertama dan al-Ghasyiah (Hal Ataka Hadisul Ghasyiah) pada rakaat kedua.

19. Solat di lapangan, atau di tengah-tengah padang yang terbuka.
Ambillah kesempatan mendengar khutbah terutama bagi kaum wanita, tidak kira yang tua atau muda, yang ‘uzur’ atau sebaliknya. Oleh sebab itu, solat ‘Aidain (Aidil Fitri dan Aidil Adha) ini dituntut menunaikannya di kawasan lapang memberi peluang kepada wanita yang uzur untuk turut serta seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummi ‘Atiah dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

20. Ambillah peluang untuk mendengar Khutbah.
Sebenarnya kemuncak Hari Raya Aidil Fitri, bukan baju baru, kuih raya, lemang atau ketupat. Tak ada pun tak mengapa. Kemuncak Aidil Fitri ialah mendengar khutbah. Jangan jadi macam budak-budak belum habis salam lagi berderau enjin motor balik. Kadang-kadang bapak budak lebih daripada anak lagi.

21. Mendoakan kawan-kawan selain memberi ucapan tahniah dan selamat.
Mengambil teladan sunah Nabi s.a.w. sebagaimana diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, yang dinukilkan daripada Jubair Nufair katanya yang bermaksud: “Sahabat – sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa di Hari Raya, mereka mendoakan kepada para sahabat yang lain: تقبل الله منا ومنكم ‘‘Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.’’
Tidak sekadar melafazkan: Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin hinggakan kita terlupa ucapan yang lebih bermakna daripada itu, iaitu; mendoakan agar segala amalan sebulan Ramadan ini diterima dan dimakbulkan Allah.

22. Bermaaf-maafan dengan rakan mahupun musuh.
Daripada Uqbah bin Amir katanya, Rasulullah SAW bersabda: Wahai Uqba, mahukah aku nyatakan kepadamu sebaik-baik akhlak penduduk dunia dan akhirat? Iaitu kamu memaafkan orang yang telah menganiaya dirimu. Kamu memberi atau menolong orang yang telah memutuskan pemberiannya kepada kamu dan kamu menghubungkan silaturahim dengan orang yang telah memutuskan perhubungan denganmu. [Riwayat al-Hakim dalam Kitab al-Mustadrak]

Setiap makhluk bernama manusia tidak terlepas daripada dosa dan kesalahan, sama ada kepada Tuhan atau sesama makhluk, khususnya sesama manusia. Sama ada dosa itu secara sedar atau tidak, zahir mahu pun batin. Malu dan rasa bersalah sekalipun, gunakanlah teknologi sms, sekurang-kurangnya.

23. Ziarah-menziarahi sesama islam.
Bersabit dalam hadis riwayat Jabir bin Abdullah, Baginda akan mengambil suatu jalan semasa pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri dan akan mengambil jalan yang lain pula semasa pulang daripada solat tersebut. Hikmahnya adalah bagi meramaikan sahabat-sahabat dan jiran tetangga yang ditemui atau diziarahi untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan beroleh kemenangan berpuasa selama sebulan Ramadan.

Ziarah-menziarahi bagi tujuan mengeratkan hubungan kekerabatan
(silaturrahim). Sabda Rasulullah SAW :-

"Hubungan silaturrahim adalah jalinan dengan arasy. DIA (ALLAH SWT) berfirman : Sesiapa yang menyambungKU, ALLAH SWT juga akan berhubung dengannya dan siapa yangmemutuskanku, ALLAH SWT memutuskan hubungan dengannya."
[Hadits Riwayat : Muslim]

"Barang siapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim."  
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
  
24. Bersikap sederhana dalam menyambut Hari Raya. 
Jangan melakukan pembaziran dan keterlaluan dalam berbelanja. 

25. Membataskan pergaulan dalam sambutan
Jangan berlaku pergaulan yang terlalu bebas dan melanggar hukum yang ditetapkan syara'.Contohnya bersalam-salaman,bertepuk bertampar dengan rakan juga saudara mara berlainan jantina yang bukan mahram kita.

26. Bersedekah menerusi pemberian duit raya.
Adakah ia satu keperluan dalam agama atau hanya suatu budaya?
Kalau pemberian itu suatu keperluan, maka ia akan menjadi suatu perkara yang rumit bagi golongan yang kurang berkemampuan. Jika amalan tersebut menjadi suatu budaya pula, ditakuti ia hanya tradisi masyarakat atau adat kebiasaan dan bukan dilihat sebagai ibadat bersedekah yang dianjurkan dalam Islam.

Oleh itu, konsep pemberian duit raya seharusnya berpaksikan tujuan dan niat yang jelas bertepatan dengan sepotong hadis Nabi yang menganjurkan umatnya bertukar-tukar hadiah kerana ia mengundang perasaan mahabbah sesama Islam. Nabi SAW bersabda bermaksud: Bertukar-tukarlah hadiah atau pemberian, nescaya kamu akan berkasih sayang dan menghilangkan perasaan benci. [Riwayat Baihaqi]

27. Menziarahi kuburan.
Sebenarnya, menziarahi kubur adalah sunah yang disyariatkan Nabi Muhammad SAW dalam agama Islam kerana ia mengingatkan seseorang kepada Hari Akhirat. Dalam sepotong hadis, Baginda menegaskan:

"Aku dahulunya pernah melarang kamu semua menziarahi kubur, sekarang ziarahlah ia, lantaran ia dapat mengingatkan kamu dengan Hari Akhirat." [Riwayat Muslim]

Pun begitu, sekiranya ziarah kubur pada hari mulia tersebut boleh membawa kepada kesedihan yang berpanjangan dan memudaratkan, maka ia menjadi makruh pula.

Walau bagaimanapun, amalan tersebut bolehlah diteruskan, cuma biarlah ia tidak dijadikan amalan bermusim atau mengikut sempena tertentu. Ziarahlah kubur pada hari-hari yang lain juga, lebih-lebih lagi semasa jenazah dikebumikan, lantaran banyaknya pahala yang terdapat dalam amalan mengiringi jenazah ke kuburan.

28. Sambutan hari raya hanya pada 1 Syawal.
Pada 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa ganti dan sunat. Bagaimanapun tidak dilarang untuk terus melakukan sambutan Aidilfitri selagi amalan itu tidak bertentangan syariat.

29. Puasa sunat enam Syawal.
Ambillah sunnah dengan berpuasa dalam bulan Syawalnya. Manifestasi bahawa Ramadan bukanlah bulan yang taatnya adalah suatu yang terpaksa. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW: 

“Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” [Riwayat Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.]

30. Memelihara seluruh ibadah  
Dalam menyambut Hari Raya khususnya solat samada solat qasar, jama' atau solat tamam (sempurna).

Kehadiran Syawal yang sewajarnya disambut dengan gembira di samping terus menanam rasa kehambaan kepada Allah S.W.T. setelah berjaya mengekang hawa nafsu untuk memenuhi tuntutan sebulan Ramadan. Kun Rabbaniyyan wala takun Ramadaniyyan.

Sumber Rujukan:
  •  iLuvislam.com
  •  http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com/2009/09/18/25-tips-meraikan-syawal/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan