Isnin, 23 Januari 2012

Kamal Ashnawi, Terkaya Di Dunia Berasal Dari Malaysia

Kamal Ashnawi terkaya di dunia, miliki RM20 trilion?



Kamal Ashnawi



KUALA LUMPUR 21 Jan. – Walaupun tidak tersenarai sebagai orang terkaya di dunia, anak kelahiran Perak, Kamal Ashnawi (KA) mendakwa beliau kini mempunyai wang simpanan melebihi 5 trilion Euro (RM20 trilion).

Dakwaan kekayaannya itu ditunjukkan dengan mengemukakan kepada pemberita salinan penyata bank HSBC di London yang seharusnya membolehkan beliau menjadi individu pertama di dunia bergelar ‘trillionaire’.

Kamal adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sierra Petroleum (M) Sdn. Bhd. yang pernah mencadangkan projek kilang penapis minyak mentah di Kedah pada 2005.

Menurut majalah Forbes, Carlos Slim dari Mexico merupakan manusia terkaya di dunia tahun lepas dengan anggaran kekayaannya mencecah RM224.7 bilion dan Pengasas Microsoft, Bill Gates menduduki tempat kedua dengan kekayaan berjumlah RM170 bilion.

“Saya terpanggil untuk tampil bagi menolak segala tuduhan buruk yang dilemparkan sebelum ini ekoran cadangan projek pada 2005 yang tidak berjaya dilaksanakan kerana dihalang oleh pihak-pihak tertentu.

“Ini adalah tawaran terakhir saya bagi membantu orang Melayu dan syarikat-syarikat dengan melaburkan dana dalam tiga projek cadangan di Perlis, Johor dan Kelantan dalam masa yang terdekat,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini semalam.

Katanya, tiga projek yang bernilai trilion ringgit tersebut ialah projek pelancongan komersial di Kuala Perlis, taman tema berkonsepkan Pirates of The Carribean di Danga Bay, Johor Baharu, dan projek penempatan komersial di Kelantan.

Kamal berkata, segala urusan berkaitan tiga projek tersebut akan diserahkan kepada SAS Group iaitu sekumpulan pelajar alumni Sekolah Alam Shah yang merupakan bekas sekolah beliau sendiri.

Sejak projek penapisan kilang minyak di Kedah itu tergendala, katanya, dia lebih banyak menghabiskan masa di luar negara bagi menguruskan perniagaan.
Menurutnya, beliau akan bermastautin di Hong Kong mulai Mac ini bersama keluarganya sebelum ke Indonesia beberapa tahun kemudian.

Kamal memberitahu, kekayaan yang diperoleh berasal daripada warisan diraja menerusi akaun bagi Combined International Collateral of the Global Debt Facility yang dibuat keluarga diraja dunia pada 1875.
Dakwanya, beliau juga adalah keturunan diraja dari Jawa, Indonesia dengan namanya Raden Mas Prabhu Gusti Agung Ki Asmoro Wijoyo dan dijangka ditabal menjadi Maharaja Indonesia dalam beberapa tahun lagi.


Sumber asal – Utusan Malaysia.


P/s: As-Salam Kamal,kayanya kamu dermalah sikit kat aku..ramai orang kita yang fakir miskin dan banyak projek Maahad Tahfiz terbengkalai yang perlukan bantuan anda...


2 ulasan:

  1. Assalam. Apa asasnya Utusan Malaysia membenarkan pendedahan ini. Usah sekadar mencari sensasi etika kewartawanan dibuang ke sisi. Apapun segalanya mungkin.

    BalasPadam