Isnin, 8 Ogos 2011

Sindrom Bayi Tergoncang

Saya ada terima satu pamplet bertajuk Sindrom Bayi Tergoncang atau Shaken Baby Syndrome semasa check-up Razin kat Klinik Kesihatan Putrajaya 1 Ogos lepas. Terdapat maklumat yang bagus untuk dikongsikan. Dari sehari ke sehari nak post entry ni tapi tak berkesempatan. Tetiba bila dah berkesempatan, pamplet hilang dari pandangan la pulak. Alahai..ni mesti la kerja Rayyan dan Rania ni. Telefon en asben tanya dia ada nampak tak..jawapnya..dia dah buang! Siapa suruh sepah sepah katanya. Uhuhuhu.. punah harapan nak kongsi dalam blog.

Upps! belum punah lagi. Tetiba dapat idea nak korek gak pasal sindrom ni kat internet. Luckily, ada gak blogger yang dah post entry pasal sindrom bayi tergoncang ni sejak tahun 2010 lagi. Apalagi, bleh la saya mengimbas kembali pembacaan berdasarkan gambar-gambar pamplet yang telah diuploadnya. Saya ambik satu je dari banyak2 gambar tersebut. Nak tengok lebih, sila jengah blog beliau ye.



Apakah yang dimaksudkan dengan Sindrom Bayi Tergoncang?

Sindrom Bayi Tergoncang merupakan kecederaan otak yang berlaku akibat bayi digoncang dengan kuat. Kecederaan otak yang dialami bukan sahaja menghasilkan impak jangka panjang yang mendatangkan kecacatan kepada bayi malah ianya juga boleh membunuh bayi tersebut.

Apakah peringkat umur bayi yang paling berisiko?

Bayi berumur 0-9 bulan merupakan golongan yang amat terdedah kepada sindrom bayi tergoncang, walau bagaimanapun, terdapat juga kes yang berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur 1-4 tahun.

Bagaimanakah ianya boleh berlaku?

Otot leher bayi belum berkembang dengan baik dan dan tidak berupaya untuk menyokong kepala bayi yang agak besar dimana beratnya adalah 25% (satu per empat) daripada berat badan bayi. Otak bayi pula, bersaiz jauh lebih kecil berbanding dengan tengkoraknya dan salur darah dan tisu otak bayi masih lembut dan rapuh.

Perbuatan menggoncang menyebabkan kepala bayi terhayun dan mampu membuatkan otak bayi bergoyang dengan kuat di dalam ruang tengkorak. Pergerakan yang kuat ini menyebabkan salur-salur darah di dalam kepala bayi dan tisu otak terkoyak dan menyebabkan perdarahan.

Kecederaan ini bertambah teruk sekiranya goncangan bayi diikuti oleh pergerakan hentakan tubuh bayi (ke dinding atau ke atas tilam)

Kenapa bayi digoncang?

Perbuatan menggoncang bayi dengan kuat boleh berlaku dalam keadaan-keadaan berikut:

1. Apabila anak/bayi tidak berhenti menangis menyebabkan orang yang menjaga anak/bayi tersebut berada dalam keadaan kecewa, marah dan stress lalu menggoncang bayi tersebut dengan kuat.

2. Penjaga bayi/kanak-kanak hilang pertimbangan dan mudah bertindak ganas akibat pengaruh dadah/alkohol/masalah kewangan

Kenapa ianya merbahaya?

Satu dari tiga bayi yang menderita sindrom bayi tergoncang akan berakhir dengan kematian, yang lainnya akan mengalami kecacatan kekal kesan dari kecederaan otak yang dialami. Perdarahan di dalam organ mata pula boleh menyebabkan kebutaan.

Apakah gejala dan tanda-tanda Sindrom Bayi Tergoncang?

Tanda-tanda awal:
1.Bayi mudah meradang (irritable)
2.Sawan
3.Kaki dan tangan mengalami kekejangan
4.Bayi tidak bermaya dan kurang bertindakbalas
5.Tahap kesedaran bayi menurun
6.Muntah dan tidak mahu makan
7.Perdarahan yang teruk boleh menyebabkan; kematian akibat terhentinya pernafasan dan denyutan jantung

Tanda-tanda lewat akibat dari kesan jangka panjang kerosakan otak:
1.Masalah pembelajaran
2.Kurang upaya anggota
3.Masalah penglihatan atau buta
4.Masalah pendengaran
5.Terencat akal (Cereberal Palsy)
6.Masalah tingkahlaku
7.Sawan berterusan
8.Kematian.

Bagaimana mencegahnya?

Bayi meragam adalah lumrah. Ianya mungkin disebabkan bayi merasa lapar, kembung perut, demam atau merasa tidak selesa. Setiap penjaga bayi harus bersabar dan tenang mengendali bayi dalam keadaan begini. Dapatkan rehat yang cukup, amalkan makanan seimbang agar sentiasa berada dalam keadaan yang cergas dan belajarlah cara-cara menangani stress dengan bijak. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi menghentikan tangisan bayi:

1. Memastikan bayi tidak lapar dan berada dalam keadaan yang selesa (lampin tidak basah)
2. Memastikan bayi tidak sakit (demam, bengkak gusi atau kembung perut)
3. Menghayun bayi secara perlahan atau berjalan perlahan2 sambil mendokong bayi.
4. Menyanyi atau bercakap perlahan2 dengan bayi
5. Menggunakan permainan yang mengeluarkan bunyi agar menarik perhatian bayi
6. Membawa bayi berjalan2 di dalam kerusi tolak
7. Meletakkan bayi di kerusi keselamatan dan bawa bayi berjalan2 di dalam kereta
8. Mendakap bayi sambil bernafas secara tenang dan perlahan2
9. Elak membuai bayi dalam keadaan marah kerana ianya mungkin menyebabkan anda terdorong membuai bayi dengan kasar dan kuat.
10.Sekiranya anda keletihan, minta bantuan seseorang menjaga bayi anda sementara anda berehat seketika
11.Sekiranya tiada satu pun tindakan di atas berjaya dan anda merasa diri anda tertekan, tinggalkan bayi di dalam katil bayi (crib), tenangkan diri anda dan periksa semula bayi selepas 5 minit.
12.Dapatkan nasihat doktor sekiranya bayi anda masih tidak berhenti menangis.

P/s : Semoga dengan maklumat ini membuatkan kita lebih berhati-hati ketika menguruskan anak-anak kecil.Mencegah lebih baik dari mengubati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan