Khamis, 26 Mei 2011

Akulah Semut Merah Itu

FOTO dari Robertus Agung Sudiatmoko

Ini kisah babi hutan berwarna hitam, bertaring panjang.

Dia menyondol ubi kayu. Musnah tanaman milik petani beranak ramai. 

"Tolonglah babi, kasihani aku. Andai kau sondol semua ubi, bagaimanakah anak aku nak makan nanti," rayu petani.

Babi terus menyondol tanpa belas kasihan.

Anak petani menangis, perut kosong dan hampir kebuluran.

Babi berkawan karib dengan sekawan gajah. Gajah bertubuh besar dan bergading panjang, dianggap raja berkuasa di hutan belantara.

Kuasa gajah, kuasa aku juga, ujar babi.

Sesekali gajah baran turut serta memusnahkan ladang ubi kayu malah sanggup memijak petani berikutan dihasut dek babi hutan.

"Engkau besar, gagah dan digeruni. Engkau berkuasa! Buatlah apa sahaja, biarkan petani mati," kata babi.

Babi berniat serong di dalam hati.

Biarpun mampu duduk dan membasuh berak sendiri menggunakan belalai panjang, babi melarang.

"Biar aku jilat, jangan gunakan belalai kau, tahi itu kotor," ujar babi.

Muncung berlumuran tahi, babi sanggup menggeselkan pula tubuh, mencuci dubur gajah.

"Asalkan, tanah ladang petani menjadi milik aku," bisik babi.

Kejamnya babi. Berkonspirasi dengan gajah dan bersatu hati. 

"Kalau ladang ubi kayu musnah, lebih mudah aku memamah cacing tanah. Tiada akar, tiada pokok ubi kayu," kata babi.

Tiba-tiba semut merah menggigit muncung babi. Sakit! Sakit! Sakit! Teriak babi sambil berlari. Kegatalan, dia menyondol ke kanan dan kiri. Tanah disondol berulang kali, muncung merah dan kemudian berdarah. Mengalir air mata babi di pipi.

Gajah hanya berdiri, memerhati teliti, gelagat babi tidak sedarkan diri.

Sewaktu tunduk, babi terlihat betapa kecilnya kaki. Apa terjadi jika sekawan semut merah menggigit kaki?

Mungkin babi akan tersungkur, rebah ke bumi. Tidak mati tetapi mengakuri, berkawan dengan gajah tidak menjadikan dia kebal di muka bumi.

Gajah tetap akan berdiri, kakinya besar berkulit tebal tidak tergigit dek semut merah.


P/s Kalau kita Semut Merah siapakah Babi dan Gajah itu ,bak kata Nabil..Lu Pikirlah sendiri!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan