Selasa, 15 Februari 2011

Petua dan Rahsia Sihat 109 Tahun

KUANTAN: Pada usia mencecah 109 tahun, warga emas Kaminah Sarjo yang memiliki 71 cucu, 70 cicit, 50 piut dan 20 miut masih memiliki tahap ingatan serta penglihatan baik selain masih mampu menguruskan diri sendiri.
Ibu kepada sembilan anak berasal dari Jawa Tengah, Indonesia masih mampu mencucuk benang ke lubang jarum tanpa menggunakan cermin mata. “Petua menjaga kesihatan yang diamalkan sejak muda hingga sekarang ialah makan pelbagai jenis ulam terutama tauge segar. Selain itu saya juga suka masakan pedas dan sambal.

“Selain makan tidak terlalu kenyang, kita perlu sentiasa melakukan suruhan Allah seperti solat dan puasa. Apabila sentiasa berdamping dengan Tuhan, hati senang, penyakit dapat dielakkan.
“Doa setiap kali lepas solat juga penting dalam usaha mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah,” katanya yang kini tinggal bersama anaknya, Tumijan Gonu, 69, di Felda Bukit Goh, di sini.

Kaminah berkata, dengan mengingati Allah, hati akan tenang seterusnya mampu menjalani kehidupan lebih ceria bersama keluarga tanpa rasa bosan dan rimas. Menurutnya, perhatian diberikan ahli keluarga juga memberi keselesaan kepadanya walaupun empat adik-beradiknya serta kebanyakan saudara-mara sudah tiada.

“Saya bersyukur masih dipanjangkan umur tanpa menghidap penyakit kronik, mungkin ada hikmah di sebalik usia lanjut ini,” katanya yang tidak mampu berjalan selepas terjatuh di bilik air dua bulan lalu.
Namun, menurutnya, dia sentiasa berdoa suatu hari nanti mampu berdiri dan berjalan seperti sebelum ini.

Kaminah yang meminati kuih apam kukus inti kelapa datang ke Malaysia ketika berusia 20 tahun dan menetap di beberapa penempatan di Johor, sebelum dia dan arwah suaminya yang meninggal pada usia 120 tahun menetap di Felda Bukit Goh.
Bagi Tumijan, walaupun ibunya lanjut usia dia masih mengingati pelbagai perkara berkaitan ahli keluarga, sahabat dan beberapa peristiwa menarik ketika zaman mudanya.

Menurutnya, setiap hari ibunya berbual dengan cucu dan cicitnya mengenai pelbagai perkara, termasuk isu semasa.

Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan