 
 
 Wahai anak!  Nasihat itu mudah, yang sulit adalah menerimanya; kerana terasa pahit oleh hawa nafsu yang menyukai segala yang terlarang.  Terutama dikalangan penuntut ilmu yang membuang-buang waktu dalam mencari kebesaran diri dan kemegahan duniawi.  Ia mengira didalam ilmu yang tak bersari itulah terkandung keselamatan dan kebahagiaan, dan ia menyangka tak perlu beramal.  Inilah kepercayaan filsul-ahli falsafah. 
  Ia
 tidak tahu bahawa ketika ada ilmu pada seseorang, maka ada yang 
memberatkan, seperti disabdakan Rasulallah saw: "Orang yang berat 
menanggung siksa di hari kiamat ialah orang yang berilmu namun tidak 
mendapat manfaat dari ilmunya itu." 
  Wahai anak!  Janganlah engkau hidup dengan kemiskinan amal dan kehilangan kemahuan kerja.  Yakinlah bahawa ilmu tanpa amal semata-mata tidak akan menyelamatkan orang.  Jika
 disuatu medan pertempuran ada seorang yang gagah berani dengan 
persenjataan lengkap dihadapkan dengan seekor singa yang galak, dapatkah
 senjatanya melindungi dari bahaya, jika tidak diangkat, dipukulkan dan 
ditikamkan?  Tentu saja tidak akan menolong, kecuali diangkat, dipukulkan dan ditikamkan.  Demikian
 pula jika seseorang membaca dan mempelajari seratus ribu masalah 
ilmiah, jika tidak diamalkan maka tidaklah akan mendatangkan faedah. 
  Wahai anak!  Berapa malam engkau berjaga guna mengulang-ulang ilmu, membaca buku, dan engkau haramkan tidur atas dirimu.  Aku tak tahu, apa yang menjadi pendorong.  Jika
 yang menjadi pendorong itu ialah kehendak mencari material dan 
kesenangan dunia atau mengejar pangkat atau mencari kelebihan atas kawan
 semata, maka malanglah engkau.  Namun,
 jika yang mendorong adalah keinginan untuk menghidupkan syariat 
Rasulullah saw dan menyucikan budi pekertimu serta menundukkan nafsu 
yang tiada henti mengajak kepada kejahatan, maka mujurlah engkau.  Benar sekali kata seorang penyair, "Biarpun kantuk menyiksa mata, akan percuma semata-mata jika tidak kerana Allah semata". 
  Wahai anak!  Hiduplah seperti mahumu, namun ingat!  bahawasanya engkau akan mati.  Dan cintailah siapa yang engkau sukai, namun ingat!  engkau akan berpisah dengannya.  Dan berbuatlah seperti yang engkau kehendaki, namun ingat!  engkau pasti akan menerima balasannya nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan