 
 AHLI  falak yakin anak bulan akan  cukup syarat pada 29 Ogos ini untuk  memulakan bulan baharu iaitu Syawal  pada 30 Ogos ini. - Gambar hiasan 
KL: Beberapa orang ahli falak yakin umat  Islam akan  menyambut hari raya Aidilfitri pada Selasa, 30 Ogos ini  berdasarkan  kajian dan perkiraan hisab serta kedudukan anak bulan  Syawal.  Menurut Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Tuan  Syed  Kamaruzaman Syed Kabeer, andaian itu dibuat kerana penentuan awal  Syawal  1432H menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan   kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).
“Berdasarkan  perkiraan itu, anak bulan dijangka sudah cukup syarat  untuk memulakan  bulan baharu (Syawal) pada 30 Ogos ini,” jelasnya ketika  dihubungi di  sini semalam.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, tarikh sebenar  hari raya tetap  tertakluk kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar  Majlis Raja-Raja. Menurutnya, perkiraan hisab di negara ini turut  diamalkan di negara serantau seperti Indonesia dan Singapura.
Di  Melaka, Ketua Bahagian Falak Syarie Kompleks Falak Al-Khawarizmi,  Dr.  Kassim Bahali juga sependapat dengan Syed Kamaruzaman bahawa hari  raya  diramalkan jatuh pada Selasa kerana  berdasarkan hisab, kedudukan  bulan  pada 29 Ogos ini bersamaan 29 Ramadan memenuhi kriteria Imkarnur   Rukyah (kebolehnampakan).
“Hilal iaitu anak bulan dijangka memenuhi syarat minimum yang ditetapkan iaitu umur anak bulan sudah melebihi lapan jam.
“Anak bulan ialah cahaya bulan yang mula-mula kelihatan selepas   ijtimak iaitu kedudukan bumi, bulan dan matahari berada dalam satu   garisan,” katanya ketika dihubungi di Melaka semalam.
Beliau menjelaskan, berdasarkan faktor ini, 1 Syawal 1432 Hijrah dijangka jatuh pada Selasa, 30 Ogos ini.
Sementara  itu, pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam  mengumumkan  sebanyak 30 tempat ditetapkan untuk melihat anak bulan  Syawal pada 29  Ogos ini bagi menentukan tarikh Aidilfitri tahun ini. Majlis Raja-Raja  juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh  Aidilfitri adalah  berdasarkan rukyah dan hisab dan pengisytiharan tarikh  akan diumumkan  pada malam Isnin itu menerusi radio dan televisyen.
Menurut  kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja di sini,  kawasan yang  ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal ialah di Pontian  Kecil,  Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu Tanjung  Bidara,  Melaka; Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit  Melawati,  Pulau Angsa dan Bukit Jugra dan Balai Cerap Selangor di  Selangor;  Pantai Pasir Panjang, Manjong; Perak; Pusat Falak Sheikh  Tahir, Pantai  Aceh, Pulau Pinang; dan Kampung Pulau Sayak, Pemandangan  Indah Langkawi  dan Menara Alor Setar di Kedah.
Di Terengganu ialah di Bukit  Besar Kuala Terengganu, Bukit Kemuning,  Kemaman, Pulau Perhentian dan  Balai Cerap KUSZA, Setiu; Bukit Peraksi  Pasir Putih, Bukit Kampung  Tembeling Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC  Kota Baharu di Kelantan;  dan Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung  Berincang Cameron Highlands dan  Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.
Tempat melihat anak bulan  Syawal di Perlis ialah di Kuala Sungai  Baru; Menara Kuala Lumpur di ibu  negara; Pusat Konvensyen Antarabangsa  Putrajaya di Putrajaya; Tanjong  Lubang, Miri, Teluk Bandung, Kuching dan  Tanjung Batu, Bintulu di  Sarawak; Balai cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil  dan Menara Universiti  Malaysia Sabah di Sabah. (Sumber Kosmo Online) 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan