Sabtu, 15 Mac 2014

Perang Biologi Denggi Guna Ikan Guppy Lebih Berkesan - Chong Eng



KELIHATAN jentik-jentik dimakan oleh anak-anak ikan guppy dalam bekas ujian semasa demontrasi dijalankan di sini, petang tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB



PADANG LALANG - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan MPSP-Watch petang tadi melepaskan beribu-ribu anak ikan guppy ke parit Taman Kota Permai demi memusnahkan pembiakan jentik-jentik di sini.



STEVEN Sim Chee Keong (berdiri) dan Chong Eng meneliti anak-anak ikan gupi memakan jentik-jentik secara semulajadi (biologikal) dalam bekas ujian di Lintang Kota Permai 9 di sini pada petang tadi.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng berkata, kaedah perang biologi terhadap nyamuk aedes dan wabak denggi menggunakan ikan guppy itu nampaknya lebih berkesan serta mesra habitat sungai, berbanding menggunakan  racun pemusnah jentik-jentik.

"Kaedah baru ini sebenarnya lebih berkesan. Rakyat sendiri boleh mencuba perang biologi ini di rumah masing-masing.

"Di mana jentik-jentik boleh hidup, di situ ikan guppy boleh hidup serta tidak akan menggugat ekologi hidupan lain (selain jentik-jentik)," ujar Chong Eng, yang juga Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

CHONG Eng (dua dari kanan, tunduk) dan Steven Sim Chee Keong sedang melihat Bernard Cheen melepaskan anak ikan guppy ke dalam parit di sini, yang dikenal pasti penuh dengan jentik-jentik.


Berdepan wartawan, Chong Eng bersama-sama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Che Keong dan Bernard Cheen (Pengasas pertubuhan sukarelawan MPSP Watch) turut melakukan demontrasi melepaskan anak-anak ikan guppy ke dalam bekas air ujian yang berisi jentik-jentik.

Sebelum itu, Chee Keong berkata, satu laporan oleh Asia Development Bank (ADB) dan Bank Dunia bersama-sama Kerajaan Cambodia dan Laos mendapati bahawa habitat ikan guppy (Piecillia Reticulate) boleh digunakan untuk melawan wabak denggi.

"Laporan tersebut menyatakan bahawa (seekor) ikan guppy memakan purata 102 ekor jentik-jentik setiap hari," jelas Chee Keong.

Justeru, katanya, langkah menyahpusatkan kawalan wabak denggi kepada Kerajaan Negeri perlu dipertimbang, memandangkan strategi sedia ada yang digunakan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini didakwa kurang berjaya.

"Sebagai contoh, pengagihan abate boleh dilaksanakan dengan lebih efektif sebab menggunakan rangkaian desentralisasi pejabat Ahli Parlimen, ADUN, JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti), RT (Kelab Rukun Tetangga) dan RT (Persatuan Penduduk)," jejas Chee Keong.

Tambah beliau, laporan kajian sama di Cambodia turut menyebut, 40 peratus bekas air di rumah-rumah mempunyai jentik-jentik, sebelum kaedah perang biologi menggunakan ikan guppy diperkenalkan.
(Dari kanan) CHONG Eng, Bernard Cheen dan Steven Sim Chee Keong pada satu sidang media di sini, petang tadi.

Manakala, Bernard Cheen pula pada sidang media sama berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi lain sekitar Parlimen Bukit Mertajam untuk percubaan fasa kedua Kempen Perang Biologi Denggi ini.

Sehingga 23 Februari tahun ini, 16,383 kes denggi direkodkan di seluruh Negara, dengan 29 jumlah kematian.

http://faqar.blogspot.com/

P/S : Cerita ikan guppy,teringat aku masa budak-budak dulu,aku dan geng2 -Ali, Ujang, Wan, Pie memang suka menangkap ikan guppy (ada orang cakap ini ikan taik..:) di longkang2 besar dekat Taman Nirwana, masa tu taman ni baru aje dibuka, airnya bersih, sekarang jangan cakap le...duduk tepi pun rasa loya nak muntah...Bolehlah kita pergi kedai Ikan lepas ni..harga ikan pun tak mahal boleh le kita cuba. Selamat mencuba.Wassalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan