Khamis, 12 September 2013

Sultan Qutuz dan Kenaikan Harga Minyak



Nama Sultan Qutuz atau Sultan Muzaffar Saifuddin al-Qutuz tidaklah sepopular Sultan Salahuddin al-Ayubi atau Sultan Muhamad al-Fateh. Namun, sumbangannya terhadap Islam tidak kurang hebatnya. 

Secara umumnya, ramai yang biasa mendengar dan membaca tentang empayar Mongol, kehebatan tentera Tartar dan kejatuhan kota raya Baghdad. Tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang peperangan Ain Jalut yang mengakhiri kemaraan tentera tartar di wilayah Islam.

Pemimpin utama di pihak Islam yang berjaya menyekat tentera tartar tersebut ialah Sultan al-Qutuz. Lebih jauh lagi, ramai yang tidak tahu suatu kisah penting yang berlaku dalam kerajaannya sebelum peperangan berlaku. 

Ketika itu kota Baghdad telahpun jatuh ke tangan Tartar. Mesir yang diperintah oleh Sultan Qutuz turut berasa bahangnya. Jika baginda tidak bersiap sedia dari awal, nescaya Mesir akan mengalami nasib yang sama dengan wilayah Islam yang lain. 

Oleh hal yang demikian Sultan Qutuz membuat keputusan untuk memungut cukai tambahan daripada rakyat untuk digunakan mempersiapkan bala tentera. Namun, keputusan itu ditentang oleh seorang ulama iaitu `al-`Izz ibn `Abdis Salam. 

Al-Izz berpendapat bahawa sebelum sebarang cukai dipungut daripada rakyat mestilah terlebih dahulu segala harta di perbendaharaan negara digunakan. Jika tidak cukup, barang-barang dan harta baginda hendaklah digunakan atau dijual. Kemudian segala harta menteri dan pembesar negara turut digunakan. Jika itu juga tidak mencukupi barulah rakyat dikenakan cukai bagi membiayai peperangan tersebut.

Sultan Qutuz akhirnya akur dengan nasihat yang diberikan dan baginda akhirnya berjaya menewaskan tentera tartar daripada meneruskan niat menakluki wilayah Islam yang lain. Demikianlah, bagi saya kejayaan Sultan Qutuz ini ada kaitannya dengan sikap hormatnya kepada ulama yang jujur dan ikhlas dan sokongan padu daripada rakyat jelata.

Berbalik kepada situasi kita di Malaysia pada hari ini, adakah apa-apa pengajaran yang dapat kita kutip daripada kisah Sultan Qutuz? Bukankah kisah ini sering dijadikan bahan kuliah dan ceramah oleh para agamawan? Jika tiada apa-apa iktibar yang boleh dipelajari amatlah malang bagi umat Islam di Malaysia khusus para pemimpin.

Hal ini kerana, kisah sejarah ini menunjukkan kepada kita bahawa dalam suasana perang sekalipun, bukan semudah itu kerajaan dan pemerintah boleh mengenakan dan menaikkan cukai atas alasan kemaslahatan negara. Dibimbangi, pemungutan cukai atau kenaikan harga itu menjadi haram pula!

Apatah lagi kita di Malaysia pada hari ini tidak berperang dengan sesiapapun dan mendakwa ekonomi Malaysia dalam suasana yang kondusif. Maka amatlah tidak wajar mengurangkan subsidi rakyat pula dan menaikkan harga minyak atas alasan harganya lebih rendah berbanding negara jiran!

Hakikatnya, kerajaan Malaysia tiada alasan untuk menaikkan harga minyak dalam suasana harga minyak dunia yang tidak naik dan pada masa yang sama negara kita dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai sumber alam seperti petroleum, gas, emas, bijih besi dan berbagai lagi. Pendapatan negara hasil daripada eksport semua bahan-bahan tersebut sepatutnya tidak menjadikan Malaysia sebuah negara yang tinggi hutangnya dan miskin rakyatnya.

Bahkan, saya yakin jika semua hasil bumi dan pendapatan negara diuruskan dengan penuh amanah harga minyak petrol mungkin tidak sampai RM1 pun bagi setiap liter! Yang berlaku hari ini ialah ketirisan dan pemborosan terhadap hasil mahsul negara.

Janganlah merendah-rendahkan pemikiran rakyat dengan mencipta alasan yang remeh-temeh. Harga minyak boleh dinaikkan jika atas sebab-sebab darurat dan selepas elaun dan gaji segala menteri dipotong!

Masalahnya, adakah pemimpin Malaysia hari ini tahu tentang kisah Sultan Qutuz tersebut. Jika tahu, adakah mereka sanggup mengikutinya? Tepuk dada tanya Selera!
 
idhamlim
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan