Isnin, 29 Julai 2013

Rahsia 40 tahun, Satu Permulaan atau Satu Pengakhiran


As salam..Diharapkan semua sahabat Sihat Walafiat hendaknya..Kata orang hidup seseorang itu bermula ketika berusia 40 tahun..Betulkah begitu atau apa betulnya kata-kata itu.

Bagi-ku pada umur 40 tahun yang akan menjelang pada 30.7..nanti..ia Satu Permulaan bagi menambah amalan yang banyak kita tinggalkan, yang agama unjurkan. Dan Satu Peng-akhiran selamanya untuk kerja-kerja mungkar dan melalaikan kita dari Mengingati Allah SWT serta perintah-Nya.

Akan tetapi usahlah tunggu umur menjelang 40 tahun baru nak bermula, kerana..kita semua berada di dalam genggaman Allah SWT.Kerana hari esok siapa yang tahu..adakah nadi kita semua masih lagi berdenyut..?!

Bersabda Rasulullah SAW:
Terjemahannya: Siapa saja yang mencapai umur 40 tahun tetapi kebaikannya tak dapat mengatasi kejahatannya bersiap-siaplah untuk ke Neraka.
Mengapakah hal itu boleh terjadi? Dan bagaimana kita boleh selamat daripada kemungkinan buruk itu? Apa harapan pada mereka yang kini sudah berumur 40 tahun ke atas, tapi belum melakukan amal-amal soleh yang diperintahkan oleh Allah SWT? Dengan izin Allah SWT kita kupas persoalan ini.
Sudah ditetapkan oleh Allah, bahawa semua makhluk termasuk manusia lahir ke dunia dalam keadaan belum sempurna. Kesempurnaan dicapai sesudah beberapa tahun mengalami proses pertumbuhan dan pembesaran yang berperingkat.
Manusia sendiri mengalami lima tahap:
1. Tahap bayi.
2. Tahap kanak-kanak.
3. Tahap remaja.
4. Tahap dewasa.
5. Tahap tua.

Tiap-tiap tahap mengambil masa bertahun-tahun sebelum memasuki tahap berikutnya. Hingga akhirnya manusia memasuki tahap yang menurun, yakni kembali seperti sifat asal. Akhirnya mati. Demikianlah sunnatullah yang akan terus-menerus berlaku selagi dunia belum kiamat.

Dalam setiap peringkat, manusia bukan saja mengalami perubahan-perubahan fizikal, tetapi juga akal, hati, perasaan, nafsu dan tenaga lahir mahupun batin. Proses itu berlaku dengan perlahan-lahan hingga sukar untuk dikesan. Ketika disedari, seseorang sudah beralih daripada bayi kepada kanak-kanak, kepada remaja, kepada dewasa dan tua. Apabila berlaku peralihan itu, maka yang kelihatan berubah ialah raut fizikal, saiz dan kekuatannya. Terjadi juga perubahan-perubahan yang tidak kelihatan tapi dapat dirasa, yakni fikiran, perasaan, jiwa, nafsu dan tenaga.

 Semuanya meningkat kepada kematangan yang tertinggi, kemudian menurun kepada sifat asal. Proses ini mengambil masa lebih 60 tahun untuk mencapai kesempurnaannya.Manusia yang umurnya tidak selama itu, tidak sempatlah mengalami kesempurnaan dalam pertumbuhan lahir batin-nya.

Dari lima peringkat peralihan yang dialami oleh manusia itu, peringkat kematangan yang tertinggi ialah Peringkat dewasa dan paling lemah ialah di peringkat bayi dan peringkat tua.Lihat firman Allah:

Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. (Al Insan: 1 -2)
Firman-Nya lagi: Terjemahannya: Dan barang siapa yang Kami panjangkan umurnya nescaya Kami kembalikan dia kepada kejadiannya (asal lemah dan kurang akal). Maka apakah mereka tidak memikirkan?(Yaasin: 68)

Di peringkat kanak-kanak dan remaja, manusia mengalami perkembangan paling subur dan penting. Waktu ini lah pendidikan dan ilmu pelajaran mudah diterima dan manusia dibentuk mengikut bentuk pendidikan yang diterimanya. Daya penerimaan ini bergantung pada kekuatan faktor-faktor batiniah manusia ini, yakni akalnya, jiwanya, nafsunya, tenaganya dan perasaannya. Jika akal kuat, ilmu akan didapati dengan cepat dan banyak. Jika ilmu dan pendidikan yang diterima itu ilmu dan pendidikan yang baik maka suburlah jiwanya (rohnya), dengan sifat-sifat yang baik (mahmudah).

Sebaliknya pendidikan yang salah akan meliarkan nafsu dan merosakkan jiwa. Perasaan manusia bergantung kepada baik atau buruk didikan dan ilmu yang diperolehi. Jika pendidikan baik, maka perasaan akan jadi bersih dan halus. Tapi kalau pendidikan buruk, maka perasaannya jadi kasar dan keras / "kotor". Demikianlah berlakunya per-kembangan itu sedikit demi sedikit tanpa disedari.

Manusia tidak dapat mengetahui bentuk jiwa atau akal dan nafsu seorang manusia lain, tapi hasilnya dapat dilihat pada sikap, akhlak, percakapan dan jalan hidupnya. Kalau baik batin, baiklah kehidupan lahirnya; kalau jahat batin maka jahatlah kehidupan lahirnya.

Maksud Hadis: Di dalam diri anak Adam ada sebuah daging, jika baik daging itu, baiklah manusia itu. Jika jahat, maka jahatlah dia. Ketahuilah itu lah hati. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Kalau sewaktu umur 40 tahun kekuatan tenaganya sepuluh tenaga kuda, maka sesudah itu tidak akan bertambah lagi.Demikian juga akalnya, tidak akan berkembang lagi. Kalau cerdik, cerdiklah. Kalau bodoh, bodohlah.



Tidak berlaku selepas 40 tahun orang bodoh boleh dicerdikkan. Kalau kuat jiwanya, kuatlah, tidak boleh ditukar-ganti lagi .. Nafsunya kalau baik, baik-lah, kalau jahat, jahatlah; sudah susah untuk dibentuk lagi. Demikianlah seterusnya.

Sebab itu sekiranya kita ingin mengubah hidup kita, biarlah sebelum 40 tahun; manusia sesudah itu tidak boleh dibentuk lagi. Sebab itu pepatah Melayu ada mengatakan;
"Melentur buluh biarlah daripada rebung."

Rebung lembut, boleh dilentur. Tapi buluh sudah keras, tidak boleh dilentur lagi. Itulah maksudnya.

Manusia kalau mahu mencari harta, membina hidup mewah atau pangkat tinggi atau ingin memperjuangkan kebenaran, maka usaha hendaklah dibuat pada awal-awal hidup dewasanya.Waktu itu lahir batinnya sudah cukup bersedia untuk diajak bekerja. Semua orang maklum akan hal ini. Sebab itu seorang pun tidak pernah berkata begini;

"Waktu muda ini, aku ingin berehat. Nanti tua baru mau cari harta, membuka hutan, cari ilmu dan berkebun."

Tidak masuk akal sama sekali kata-kata itu. Sebab manusia faham, apabila tua tenaga sudah lemah. Sebab itu orang-orang muda habis-habisan cari harta untuk hari tuanya. Harta-harta dikumpul-kumpul dan disimpan untuk hari tua. Tapi itu hanya untuk keperluan lahir manusia.Fahaman demikian hanya dimaksudkan pada keperluan fizikal semata-mata. Manusia tidak faham dan tidak sedar bahawa keperluan batiniah juga begitu. Sebab itu kita selalu mendengar orang berkata:

"Waktu muda ini kita enjoy dulu. Nanti apabila tua baru kita beribadah."

Mereka ingat beribadah itu mudah. Apabila teringat untuk melakukan, langsung dapat dibuat.Padahal dalam pengalaman hidup manusia, orang yang tidak dilatih beribadah sejak kanak-kanak lagi, apabila tua tidak mampu melakukannya. Walaupun keinginannya besar sekali.Kenapa?
Sebab roh dan nafsu atau batin kita turut tua bersama bapanya umur dan badan kita. Batin atau roh dan nafsu kita mengalami proses tua dan muda, bertenaga dan lemah serta meningkat dan menurun sama, seperti fizikal kita (cuma tidak dapat dilihat oleh mata kasar). 

Umpama seorang penagihan dadah, amat susah untuk menghentikannya dari ketagihan, walaupun dia memang ingin berhenti. Sebab jiwa yang sudah biasa dengan sesuatu keburukan atau kebaikan hingga sifat itu telah menjadi tabiat, sukar untuk diubah. Apalagi kalau keinginan untuk berubah itu pada waktu umur 40 tahun ke atas, ketika waktu perubahan sudah selesai.
Sama juga halnya dengan seorang yang sudah biasa makan nasi sebagai makanan asas dan utama, tiba-tiba mahu menukarnya kepada roti. Seminggu saja sudah cukup untuk dia rasa menderita kerana tidak dapat nasi. 
Demikianlah halnya dengan seseorang yang sudah 40 tahun berada di jalan syaitan dan nafsu, tidak beribadah kepada Allah. Kemudian baru tersedar dan ingin berubah, maka adalah hampir-hampir mustahil baginya untuk berubah. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahannya: Sesiapa yang menjangkau umur 40 tahun tetapi kebaikannya tidak mengatasi kejahatannya, bersiap-siaplah untuk ke Neraka.
Mengapa Rasulullah berkata demikian? Bukankah ampunan Allah dan pertolongan-Nya dapat mengatasi segala-galanya? Jawabnya ialah kerana Rasulullah mahu memberitahu kita bahawa sifat-sifat yang baik, amal-amal soleh, akhlak yang mulia, nafsu yang jinak dan tenang, iman dan taqwa itu bukannya datang sendiri secara mengejut dan tiba-tiba. la mesti dipelajari, dicari, diasuh, dididik, dilatih, diamalkan selalu sedari kecil lagi; barulah ia akan jadi sifat dan akhlak kita.

Seorang yang tidak berusaha langsung untuk mencari kebaikan, sebaliknya dihabiskan umurnya untuk merancang dan melaksanakan kehendak-kehendak duniawi, nafsu dan syaitan tentulah tidak begitu mudah untuk dimaafkan. Dan kalau sampai 40 tahun pun belum mahu berusaha mengenali Allah dan taat kepada-Nya, sedangkan segala ilmu dunia dan kekayaan dunia sudah diperjuangkan begitu lama sekali, adalah layak untuknya api neraka. 


Masakan tidak terfikir olehnya bahawa dia diciptakan oleh Allah, dan patut sekali mensyukuri nikmat itu dan berbakti pada Allah. Dan kalaulah hal itu pernah melintasi fikirannya, tapi sengaja tidak dipedulikan, kerana mahu sepuas-puasnya dengan dunia, hinggalah menjangkau 40 tahun lamanya, sungguh masuk akal bagi orang ini dijatuhkan ke dalam neraka. Tiada maaf baginya. Sesudah terasa susah payah dan lemah anggota baru teringatkan Allah sedangkan pada waktu senang, dan kuat bertenaga pula sangat derhaka pada Allah.

Waktu mula-mula kena penyakit, tidak mahu berubat konon tidak bahaya atau boleh tahan atau tunggu masa yang baik. Apabila keadaan sudah serius, baru hendak berubat, tentu doktor akan berkata "tiada harapan lagi". Doktor tak salah kerana berkata begitu. Pesakit itu sendiri yang bersalah kerana membiarkan sakit begitu lama baru ingat hendak berubat.

Demikianlah halnya jiwa yang sakit. Oleh kerana sudah lama dibiarkan, sudah sebati dengan sikap dan akhlak yang keji, tentu sukar sekali untuk diubati. Nafsu yang suda bermaharajalela dalam diri memang sukar untuk dikawal. Temuilah doktor walau pakar apa pun, namun kerana untuk proses pendidikan jiwa itu sudah tamat maka mujahadah tidak akan berbekas lagi.

Setelah 40 tahun hati tidak kenal Allah, tidak kenal akhirat, Islam, dan iman, tentu susah hendak menjadikannya yakin sesudah itu. Umpama anak yang tidak tahu siapa ibunya, tiba-tiba waktu 40 tahun diperkenalkan kepada ibunya, tentu susah untuk menanam kasih sayang dan kecintaan kepada ibu tadi. 

Sebab kasih itu sudah diberi kepada ibu angkatnya.
Begitulah susahnya, orang yang sudah 40 tahun mengekalkan sifat sombong dan besar diri, untuk mujahadah (berjuang) menjadi tawaduk atau rendah hati.

Sesudah 40 tahun mengekalkan sifat bakhil, hingga sifat itu sudah menjadi akhlak dan perangainya, bukan senang hendak mendidik hati jadi pemurah.
Sesudah 40 tahun- menjadi pemarah dan pembengis, bukan mudah untuk berubah menjadi pengasih dan lemah lembut.
Sesudah 40 tahun- iri hati dengan sesama manusia, tentu tidak mudah untuk menjadi orang yang berlapang dada dengan manusia.
Sesudah 40 tahun- tidak sabar, tidak redha, maka tentu payah untuk bertukar menjadi seorang yang sabar dan redha dengan Allah.
Sesudah 40 tahun- berpenyakit gila puji, gila pangkat, gila dunia, tentulah harapan tipis untuk bertukar menjadi seorang yang zuhud; sudah dekat hendak mati masih sebut "harta saya", "kebun saya" dan "wang saya".
Demikian seterusnya!
Umat ​​Islam perlu fahami dan sedari benar-benar akan hakikat ini agar usaha-usaha membaiki diri lahir dan batin tidak ditangguh-tangguh lagi; supaya kita tidak menyesal kemudian nanti, kerana mendapati segala-galanya sudah terlewat.
Sifat sombong kita, misalnya, yang sudah menjadi perangai dan akhlak kita sekian lama, bukan mudah untuk dibongkar. Kita sentiasa meninggi diri dengan manusia lain, merendah-rendahkan dan menyinggung perasaan mereka. Apabila kita sedar, kita pun berazam (bertekad) tidak mahu lagi mengulangi perkara yang dibenci Allah itu. Tapi apakah hanya dengan azam itu kita terus berubah? 

Jawabnya, tidak. Nafsu sombong yang sudah bertakhta dalam diri itu akan terus bekerja. Pantang ada salah silap manusia dengan kita, terus kita kata nista orang itu sepuas hati kita. Pantang lihat kelemahan orang lain, terus kita sebut-sebut dan sebarkan hingga terhinalah orang itu. 

Pantang ada orang menegur, kita kritik balik orang itu pula sampai melukakan perasaannya.
Kita sedar hal itu dibenci Allah, maka kita sangat menyesal selepas setiap kali melakukannya.Tapi penyesalan itu tidak mengubah kita. Buktinya, apabila terjadi lagi hal-hal yang menguji ego kita, kita pun mental. 

Menyesal, kemudian buat lagi. Begitulah halnya. Kita ingin untuk terus berubah tapi tidak semudah itu. Nafsu yang sudah terlalu jahat itu terasa susah sekali hendak dijinakkan. Kita selalu kalah dalam bermujahadah. Kadang-kadang mati akal dibuatnya.Terasa sakitnya berhadapan dengan kejahatan nafsu. Walhal umur kita belum 40 tahun, sudah terasa benar susahnya. Apalagi. kalau sudah tua, yang nafsu itu pun sudah tua, memang tipis harapan untuk diselamatkan.

Oleh itu pendidikan mestilah dibuat sewaktu kanak-kanak lagi. Jinakkan nafsu waktu ia belum liar. Latih anak-anak dengan segala kebaikan lahir dan batin sewaktu mereka belum pandai berbuat jahat. Kemudian lanjutkan hingga ke umur remaja dan dewasa. Insya-Allah barulah nanti kebaikan-kebaikan itu mudah dilakukan. Tidak payah mujahadah lagi. Tapi zaman sekarang, anak-anak orang Islam dari kecil dididik dengan cara Barat, sehingga besar pun dididik oleh orang-orang Barat atau dimasukkan ke sekolah yang menjalankan pendidikan sekular.

Mereka dididik agar tidak kenal Allah, Rasulullah dan alam akhirat, tidak hormat guru dan orang tua, tidak malu, sombong, iri hatii, mementingkan diri sendiri, tamak, gila dunia, gila pangkat dan pujian, bakhil / kedekut, dendam dan lain-lain lagi, secara langsung atau tidak langsung.

Ilmu sebaik mana pun kalau diberi kepada seorang yang kotor hatinya dan buruk akhlaknya, nescaya akan digunakan ke arah kejahatan pula. Sebab itu masyarakat kita ini, tidak bahagia lagi kerana berdepan dengan berbagai-bagai masalah yang dilakukan oleh manusia-manusia yang pandai dan bijak ini.
Suap-menyuap, curi, rompak, tipu, zina, korupsi, bertengkar, rebut kuasa, dadah, minuman keras, memfitnah dan lain-lain lagi. Semakin tua usia seseorang itu, bukannya semakin baik, tapi semakin rosak. Sebab nafsu dan rohnya semakin tua bersama bapanya badan. Sedangkan jiwanya yang murni tidak berfungsi kerana lemah iman dan taqwa.

Untuk memperbaiki keadaan ini, pendidikan Islam mesti-lah diterima dan dilaksanakan. Bagi yang sudah dewasa, rajin-rajinlah mendengar ceramah dakwah dan bersungguh-sungguhlah bermujahadah. Dan bagi yang sudah tua, bertaubatlah banyak-banyak dan bersungguh-sungguh kepada Allah. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dari api neraka.
Sekian./kawansejati.


Misteri Umur 40 tahun menurut Al-Quran
Dalam salah satu artikel pernah membincangkan tentang pertumbuhan otak yang terus berkembang sehingga pada umur 40-an. Kemudian terhenti ketika mencapai usia ini. Dan hari ini para pengkaji telah mengenal pasti perkara tersebut bahawa pertumbuhan otak akan mengalami penurunan setelah mencapai umur tertentu. 

Terdapat kajian baru yang diterbitkan dari "Jurnal perubatan Britain" yang melaporkan bahawa faktor usia sangat mempengaruhi perubahan kognitif seseorang. Terdapat kes-kes tertentu mengakibatkan timbulnya penyakit Alois Alzheimer atau penyakit lain dari jenis dimensia dan kadang kala bermula pada awal usia, pada pertengahan umur atau hujung 40-an.

Penyelidik mengatakan bahawa penurunan itu sangat minimum sehingga kemungkinkan kecil untuk dikesan dalam kehidupan seharian. Hal ini telah dilaporkan dalam satu penyelidikan perubatan yang melibatkan peserta setiap tiga atau empat tahun. Dari hasil penyelidikan ini sangat penting kerana membuktikan ubat tersebut berkesan sebagai penawar jika digunakan ketika muncul gejala-gejala penurunan prestasi kongnitif.

Kajian sebelum ini telah membuat kesimpulan bahawa penurunan prestasi kongnitif pada manusia terjadi sebelum usia enam puluh tahun. Akan tetapi hasil penyelidikan terkini menujukkan bahawa faktor tersebut boleh berlaku pada pertengahan usia.

Oleh itu ketika seseorang berumur 40 tahun, maka pertumbuhan otaknya telah terhenti dan selepas umur ini sel-sel otak mula rosak. Tetapi tanpa penelitian dan kajian yang terperinci serata dilengkapi dengan peralatan yang canggih adalah sangat kecil kemungkinan untuk menyedari hal tersebut.

Maha suci Allah! Bukankah Al-Quran telah memberitahu perkara ini sebelum 1400 tahun lalu, bahawa manusia ketika mencapai tahap prestasi otaknya pada usia 40 tahun akan mengalami penurunan selepas itu. 

Allah swt berfirman:

"... Sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdo'a:" Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan ... "(Surah Al-Ahqaaf: 15)

Diterjemah dari sumber islampos.com/detikislam.


Selain itu, di bawah tajuk Bila Usia Menjelang Empat Puluh, Dr Asri menyentuh tentang isu masa dan umur manusia. Menurut beliau, manusia akan menjadi matang pada usia 40 tahun. 

Usia 40 tahun adalah usia manusia bersungguh dalam hidup mereka. Di dalam usia ini, manusia telah banyak mengumpul pengalaman hidup, telah menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang segala kedangkalan usia muda, lebih santun dan berakhlak baik, lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, tidak tergopoh gapah dalam melakukan sesuatu dan sering membuat pertimbangan yang wajar sebelum melakukan sesuatu, melihat sesuatu perkara dengan hikmah dan penuh penelitian.

Menurut Dr Asri lagi, Usia 40 adalah tanda aras usia insan yang insaf , syukur, merendah diri, mempertingkatkan ibadah dan bertaubat. Pada usia ini manusia harus bersungguh-sungguh dalam memikul amanah, membuang segala kedunguan dan mengambil iktibar dari pengalaman lalu serta bertindak lebih bijaksana dan proaktif dalam menangani setiap keadaan. 

Usia 40 adalah usia matang dengan berbekalkan pengalaman hidup 4 dekad. Ramai tokoh pemimpin yang muncul pada usia yang sebegini. Bahkan Nabi Muhammad saw juga menjadi rasul pada usia 40 tahun.

Insya-Allah, 40 itu akan menemui dan menanti diri ku, kamu , setiap dari kita semua ..Amin!.Semuanya yang ku susun ini untuk kesedaran diri sendiri jua.Semoga semua sahabat mendapat manfaat darinya, harap dapat menjadi pelindung dan bekal di Sana..WallahuA'lam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan