Rabu, 3 Julai 2013

Pengorbanan 14 Imam Gaza Demi Survival Ramadan

Pengorbanan 14 imam Gaza demi survival Ramadan


Imam-iman dari Gaza yang akan mengimamkan solat Tarawih di negara ini demi mengumpulkan dana bagi keperluan bulan Ramadan di Palestin. Kehadiran mereka disambut oleh Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (duduk tengah). - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR


SHAH ALAM - Aman Palestin Berhad menegaskan pihaknya memerlukan dana lebih RM5 juta bagi membantu rakyat Palestin meneruskan kelangsungan hidup semasa di bulan Ramadan tidak lama lagi.

Ahli Lembaga Pengarahnya Hashimah Salleh berkata, dana itu diperlukan untuk membeli keperluan asas seperti makanan dan pakaian bagi melicinkan perjalanan ibadah puasa rakyat Palestin di sana.

Katanya, bagi mengumpul dana itu pihaknya mengambil inisiatif membawa 14 orang imam dari Gaza yang akan ditempatkan di setiap negeri di Malaysia untuk mengimamkan solat Tarawih sepanjang Ramadan.


“Seorang imam akan menjadi imam Tarawih untuk 25 masjid di beberapa daerah selain mereka akan memberi tazkirah serta berkongsi pengalaman mereka memperjuangkan kebebasan Al-Aqsa di bumi Anbiya itu.

“Cara ini sedikit sebanyak telah membantu Aman Palestin mengumpul dana pada bulan Ramadan tahun lalu. Jadi untuk tahun ini kami membawa lebih ramai berbanding lima orang pada 2012,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas membuat lawatan bersama 11 imam tersebut di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Kedatangan mereka disambut Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali sebelum memulakan lawatan dan sesi dialog bersama wartawan.

Sementara itu, Hashimah memberitahu, setiap keluarga di Palestin yang terdiri daripada 10 sehingga 12 anggota memerlukan bantuan RM500 setiap bulan dan wang itu disalurkan Aman Palestin setelah mengutip dana dari rakyat negara ini.

“Sejak sepuluh tahun Aman Malaysia ditubuhkan, kami sudah mengumpul dana lebih RM15 juta dan ia membawa perubahan kepada bumi Palestin.

“Dengan wang itu juga kami berjaya menyuburkan kembali tanah di bumi Gaza dengan membuka ladang untuk rakyatnya bercucuk tanam selepas tanah-tanah pertanian di sana ditabur bahan kimia oleh tentera Zionis," katanya.

Malah katanya, Aman Palestin juga berjaya membina beberapa buah telaga dengan kos RM50,000 bagimemastikan rakyat Palestin dapat menikmati sumber bekalan air bersih.


Sumber:sinar harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan