Rabu, 6 Mac 2013

Alhamdulillah - Tahun berhijrah Afdlin Shauki


Afdlin Shauki Berhijrah Selepas Ke Gaza?
RAMAI yang sudah mengetahui sumbangan pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki dalam membantu mangsa yang menghadapi kemelut peperangan di Gaza Palestin.

Tersentuh melihat penderitaan rakyat di Palestin membuatkan pemilik nama sebenar Afdlin Shauki Aksan membuat keputusan berhijrah dan mempertingkat diri khususnya dalam bidang keagamaan.

Menurutnya, penghijrahan itu bukan bermakna dia sudah berlalu terus dalam industri hiburan, sebaliknya kini mahu menghasilkan karya dan membawa mesej pengajaran pada masyarakat.

"Saya masih kekal dalam industri hiburan cuma fokus itu nanti mungkin berbeza sedikit berbanding dahulu.

"Tidak dinafikan karya-karya saya melalui filem sebelum ini banyak mengajar unsur pengajaran tetapi untuk yang akan datang ini, saya akan selitkan unsur-unsur keagamaan," jelasnya.

Jelas Afdlin lagi, sebagai langkah pertama dalam perjuangan barunya itu, katanya, dia sudah pun menyiapkan sebuah lagu untuk penyanyi, Datuk Sheila Majid.

"Lagu itu berunsurkan ketuhanan dan masa saya buat itu, memang saya terfikir untuk memberikannya pada Datuk Sheila, Alhamdulillah, lepas menghubungi dan memberitahunya tentang lagu itu, dia terus bersetuju," ujarnya.

Terdahulu, Afdlin ditemui semasa sesi tayangan filem Lawak Ke Der 2 yang bakal ditayangkan pada 7 Mac ini di seluruh negara.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kekuatan yang diperolehinya sehingga dia membuat keputusan untuk berhijrah, ujarnya, dia menganggap ia sebagai satu hidayah dari Allah.

"Saya anggap ia sebagai satu hidayah kerana lepas saya pulang dari Palestin, selama sebulan saya hidup seperti dalam satu kehilangan. 

"Saya rasa hidup saya seperti ada yang tidak kena dan ia bertambah teruk apabila saya sering memikirkan tentang kehidupan rakyat Palestin yang sengsara di negara mereka sendiri," katanya.

Gusar dengan perasaan tersebut, Afdlin akhirnya bertemu dengan salah seorang ustaz yang merupakan delegasi Aqsa Syarif untuk berkongsi pengalaman yang dialaminya itu.

"Alhamdulillah, selepas bertemu dengan ustaz, saya telah temui jalan penyelesaian untuk menguatkan diri dan menuju ke jalan Allah," jelasnya.

Tambah Afdlin, dia terfikir juga adakah dia harus meninggalkan dunia hiburan tatkala dirinya diberi hidayah untuk menuju ke jalan Allah.

Setelah perbincangan dan melalui nasihat yang diberikan, Afdlin membuat keputusan untuk tidak keluar daripada industri hiburan, sebaliknya berkarya untuk mengajak orang ke jalan yang lebih diredai.

Sejuk hati bila mendengar seorang lagi artis akan berubah dan menuju ke jalan yang lebih diredai dan harapnya, lebih ramai artis akan turut serta menyertai perjuangan ini. Tidak perlu tunggu hidayah daripada Allah pun tidak mengapa./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan