Jumaat, 1 Mac 2013

Air Panas Poring Dipercayai Mungkin Boleh Sembuh Penyakit Kulit


Foto dari usabanong

RANAU, Sabah - Jika ada yang bercerita mengenai kawasan rekreasi air panas, mungkin ia perkara biasa tetapi tidak di Poring, di mana air panasnya dipercayai mungkin boleh memulihkan penyakit kulit.

Menurut penduduk setempat, Salabiah Mahmood, 45, yang telah berniaga empat tahun di hadapan kawasan Poring Hot Spring (PHS) berkata air panas itu mengandungi asid sulfurik, yang boleh menyembuhkan penyakit kulit tertentu seperti ruam atau gatal-gatal.

"Nak percaya atau tidak terpulanglah kepada individu itu sendiri kalau tak nak niat mengubati penyakit, niat sahajalah untuk beriadah pun bagus jua bah," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata, mandi air panas sekitar 32 hingga 35 darjah celcius mampu membuka ruang yang dapat mengeluarkan toksin dalam badan.

"Mandi air panas juga dipercayai dapat membantu menurunkan paras gula dalam darah selain menyembuhkan sakit otot dan menjaga usus besar supaya bekerja dengan baik.

Beliau menyarankan waktu yang sesuai untuk berendam ialah antara 10 hingga 25 minit.
  
Perkataan Poring berasal daripada bahasa masyarakat Kadazandusun yang diberikan bagi sejenis spesies pokok buluh yang tumbuh di kawasan itu.

Perjalanan dari Kota Kinabalu ke PHS mengambil masa kira-kira dua jam kerana jalannya yang bengkang-bengkok dan mencabar.

Namun, yang pasti, tidak akan ada perasaan bosan kerana di sepanjang perjalanan terbentang luas pemandangan indah Gunung Kinabalu.

PHS terletak kira-kira 40 km dari Taman Negara Kinabalu dan kira-kira 13 kilometer (km) dari Ranau dan terkenal kerana kolam air panas dan jambatan gantungnya yang unik.
  
Poring Hot Spring, yang terletak dalam Taman Kinabalu, diwartakan sebagai Taman Negara pada 1964. Manakala diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember 2000 dan menjadi satu daripada tarikan pelancongan negara.

Di Poring, para pelancong berpeluang menikmati pemandangan yang indah apabila menyusuri jambatan gantung sepanjang 157.8 m dan setinggi 41 meter di atas pokok.

Apabila berada di atas laluan kanopi pula pengunjung dapat menghayati pemandangan Hutan Borneo dan jika bernasib baik berpeluang melihat hidupan liar yang berhabitat di sekitar kawasan itu.

Terdapat tempat menarik lain yang berdekatan dengan PHS antaranya Air Terjun Kipungit dan Langganan, Gua Kelawar, Taman Kupu-Kupu dan Pusat Pemuliharaan Orkid.  - Bernama

1
Foto dari AzimAshaary

Tiada ulasan:

Catat Ulasan